Daniel 1:1-21

  • Yerusalem dikepung oleh orang Babilon (1, 2)

  • Latihan khas untuk orang muda keturunan diraja (3-5)

  • Kesetiaan empat orang Ibrani diuji (6-21)

1  Pada tahun ketiga pemerintahan Yehoyakim+ sebagai raja Yehuda, Raja Nebukadnezar dari Babilon telah datang ke Yerusalem dan mengepungnya.+  Yehuwa, Tuhan yang benar, mengizinkan Nebukadnezar menawan Yehoyakim, raja Yehuda,+ dan membawa sebahagian daripada perkakas di dalam Rumah Tuhan ke kuil tuhannya di Shinar.*+ Nebukadnezar menyimpan perkakas itu di dalam tempat penyimpanan harta tuhannya.+  Kemudian Raja Nebukadnezar menyuruh Aspenas, iaitu ketua pegawai istananya, untuk membawa beberapa orang Israel kepadanya, termasuk orang yang berasal daripada keturunan raja dan bangsawan.+  Mereka haruslah muda, tidak bercacat cela, dan kacak. Selain itu, mereka harus mempunyai kebijaksanaan, pengetahuan, dan pengertian+ serta dapat berkhidmat di istana raja. Aspenas harus mengajar mereka bahasa dan tulisan orang Kasdim.  Raja juga menetapkan bahawa mereka harus diberi makanan dan wain raja setiap hari. Setelah menjalani latihan* selama tiga tahun, mereka akan berkhidmat untuk raja.  Dalam kalangan mereka ada beberapa orang daripada suku Yehuda, iaitu Daniel,*+ Hanania,* Misael,* dan Azarya.*+  Ketua pegawai istana itu memberi mereka nama-nama baharu.* Nama baharu Daniel ialah Beltesazar.+ Nama baharu Hanania ialah Sadrakh. Nama baharu Misael ialah Mesakh. Nama baharu Azarya ialah Abednego.+  Tetapi Daniel bertekad dalam hatinya untuk tidak mencemari dirinya dengan makanan dan wain raja. Maka dia meminta kebenaran ketua pegawai istana agar dia tidak diberi makanan dan minuman itu.  Tuhan yang benar menyebabkan ketua pegawai istana itu menunjukkan belas kasihan dan kebaikan hati* kepada Daniel.+ 10  Tetapi ketua pegawai istana itu berkata kepada Daniel, “Aku takut akan raja. Raja sendiri telah menentukan makan minum kamu. Jika raja nampak bahawa kamu kelihatan kurang sihat berbanding dengan anak-anak muda lain yang sebaya denganmu, raja pasti akan menghukum aku.” 11  Ketua pegawai istana itu telah melantik seorang penjaga untuk mengawasi Daniel, Hanania, Misael, dan Azarya. Maka Daniel berkata kepada penjaga itu, 12  “Ujilah kami selama 10 hari. Berilah kami sayur-sayuran dan air sebagai makanan dan minuman. 13  Selepas 10 hari, bandingkanlah rupa kami dengan rupa anak-anak muda yang diberi makanan raja. Kemudian buatlah keputusan sesuai dengan pemerhatian tuan.” 14  Dia pun bersetuju dengan cadangan mereka dan menguji mereka selama 10 hari. 15  Selepas 10 hari, mereka kelihatan lebih sihat dan kuat berbanding semua anak muda lain yang diberi makanan raja. 16  Sejak hari itu, mereka diberi sayur-sayuran dan bukannya makanan dan wain raja. 17  Tuhan yang benar memberi keempat-empat anak muda ini pengetahuan, kebijaksanaan, dan pemahaman dalam semua jenis tulisan. Daniel juga diberi kebolehan untuk memahami semua penglihatan dan mimpi.+ 18  Pada akhir tempoh masa yang ditetapkan oleh Raja Nebukadnezar, ketua pegawai istana itu membawa mereka menghadapnya.+ 19  Raja berbual dengan mereka, dan mendapati bahawa tiada sesiapa pun dalam kalangan anak-anak muda itu yang setanding Daniel, Hanania, Misael, dan Azarya.+ Maka mereka berempat mula berkhidmat kepada raja. 20  Setiap kali raja mengemukakan soalan yang memerlukan kebijaksanaan dan pengertian, raja mendapati bahawa jawapan mereka 10 kali lebih baik daripada jawapan semua imam yang mengamalkan ilmu sihir dan semua tukang tilik+ di seluruh kerajaannya. 21  Daniel terus berkhidmat di situ sehingga tahun pertama pemerintahan Raja Kores.+

Nota Kaki

Iaitu, Babilonia.
Atau mungkin, “Setelah keperluan mereka dijaga.”
Maksudnya “Tuhan ialah Hakimku.”
Maksudnya “Yehuwa Telah Menunjukkan Perkenan-Nya.”
Mungkin bermaksud “Siapakah seperti Tuhan?”
Maksudnya “Yehuwa Telah Membantu.”
Iaitu, nama-nama orang Babilon.
Atau “perkenan.”