Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Bilangan 4:1-49

RANGKA KANDUNGAN

  • Tugas puak Kehat (1-20)

  • Tugas puak Gerson (21-28)

  • Tugas puak Merari (29-33)

  • Jumlah orang Lewi yang dibanci (34-49)

4  Yehuwa berfirman kepada Musa dan Harun,  “Kamu harus membanci orang Kehat+ daripada suku Lewi, menurut keluarga dan puak mereka masing-masing.  Bancilah semua lelaki yang berumur antara 30+ hingga 50 tahun,+ yang layak berkhidmat di khemah pertemuan.+  “Puak Kehat harus berkhidmat di khemah suci.+ Khidmat mereka merupakan sesuatu yang sangat suci.  Apabila orang Israel memindahkan perkhemahan mereka, Harun dan anak-anak lelakinya harus masuk ke dalam khemah suci. Mereka harus menurunkan tirai pemisah+ lalu menutup tabut perjanjian+ dengan tirai itu.  Kemudian mereka harus menutupnya lagi dengan sehelai kain yang dibuat daripada kulit anjing laut. Selepas itu, mereka harus membentangkan sehelai kain biru di atasnya, lalu memasangkan kayu pengusung+ tabut perjanjian.  “Mereka harus membentangkan sehelai kain biru di atas meja+ untuk roti yang dipersembahkan. Mereka juga harus meletakkan pinggan, mangkuk, cawan, dan kendi untuk korban wain+ di atas meja itu. Mereka harus memastikan agar roti yang dipersembahkan+ sentiasa berada di atas meja itu.  Setelah itu, mereka harus membentangkan sehelai kain merah di atas semua benda tersebut. Kemudian mereka harus menutup semuanya dengan sehelai kain yang dibuat daripada kulit anjing laut, lalu memasangkan kayu pengusung+ meja itu.  Mereka harus mengambil sehelai kain biru dan menutup kaki pelita+ serta pelita-pelitanya,+ penyepit, bekas perbaraan,+ dan semua bekas untuk minyak pelita. 10  Selepas itu, mereka harus membungkus semua itu berserta peralatan lain dengan sehelai kain yang dibuat daripada kulit anjing laut, lalu meletakkan semuanya di atas usungan. 11  Mereka harus membentangkan sehelai kain biru di atas mazbah emas.+ Setelah itu, mereka harus menutupnya dengan sehelai kain yang dibuat daripada kulit anjing laut, lalu memasangkan kayu pengusung+ mazbah itu. 12  Kemudian mereka harus mengambil semua peralatan lain+ yang digunakan dalam khidmat yang dijalankan di khemah suci, dan membungkus semuanya dengan sehelai kain biru. Mereka harus menutupnya dengan sehelai kain yang dibuat daripada kulit anjing laut, lalu meletakkan semuanya di atas usungan. 13  “Mereka harus membuang abu* yang terdapat pada mazbah+ untuk korban bakar, lalu membentangkan sehelai kain bulu yang dicelup ungu di atas mazbah itu. 14  Di atas mazbah itu, mereka harus meletakkan peralatan berikut, yang digunakan semasa mereka berkhidmat di mazbah: Bekas perbaraan, garpu, penyodok, mangkuk, dan semua peralatan lain.+ Kemudian mereka harus menutup semua itu dengan sehelai kain yang dibuat daripada kulit anjing laut, lalu memasangkan kayu pengusung+ mazbah. 15  “Apabila orang Israel memindahkan perkhemahan mereka, Harun dan anak-anak lelakinya mesti menutup semua peralatan di dalam khemah suci.+ Kemudian barulah orang Kehat boleh masuk untuk mengangkat benda-benda itu.+ Tetapi mereka tidak boleh menyentuh benda-benda suci itu. Jika mereka menyentuhnya, mereka akan mati.+ Orang Kehat ditugaskan untuk mengangkat benda-benda suci itu. 16  “Eleazar+ anak Harun harus bertanggungjawab atas seluruh khemah suci dan peralatannya, serta segala sesuatu di dalamnya, termasuk minyak pelita,+ kemenyan harum,+ minyak suci,+ dan korban bijirin yang dipersembahkan secara tetap.” 17  Yehuwa berfirman lagi kepada Musa dan Harun, 18  “Jangan biarkan puak Kehat+ dimusnahkan daripada kalangan suku Lewi. 19  Maka lakukanlah semua yang ditetapkan agar mereka tidak mati semasa menghampiri benda-benda yang sangat suci itu.+ Harun dan anak-anak lelakinya harus masuk ke dalam khemah suci dan menentukan tugas setiap orang. Mereka juga harus menunjukkan benda yang harus diangkat oleh setiap orang. 20  Puak Kehat tidak boleh masuk dan melihat benda-benda suci itu walaupun untuk seketika. Jika mereka berbuat demikian, mereka akan mati.”+ 21  Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, 22  “Kamu harus membanci orang Gerson+ menurut keluarga dan puak mereka masing-masing. 23  Daftarkanlah semua lelaki yang dibanci itu. Mereka haruslah berumur antara 30 hingga 50 tahun, dan layak berkhidmat di khemah pertemuan. 24  Inilah tugas yang harus dilakukan oleh puak Gerson:+ 25  Mereka harus mengangkat kain-kain penutup khemah suci,+ iaitu kain yang dibuat daripada linen, kain yang dibuat daripada bulu kambing, dan kain penutup yang dibuat daripada kulit bebiri jantan, serta kain penutup daripada kulit anjing laut yang diletakkan di atasnya.+ Mereka juga harus mengangkat tabir untuk pintu masuk khemah pertemuan,+ 26  tirai halaman khemah+ yang mengelilingi khemah suci dan mazbah, tirai untuk pintu masuk halaman khemah,+ tali di halaman khemah, dan semua peralatan lain yang berkaitan dengan benda-benda itu. Itulah tugas yang harus dilakukan oleh mereka. 27  Harun dan anak-anak lelakinya harus mengawasi puak Gerson+ semasa mereka menjalankan kewajipan itu. Kamu mesti mengamanahkan tugas-tugas penting itu kepada mereka, dan mereka harus melaksanakan semua tugas tersebut. 28  Itulah tugas puak Gerson di khemah pertemuan.+ Mereka harus melaksanakan tugas mereka di bawah pimpinan Itamar+ anak Harun. 29  “Kamu juga harus membanci orang Merari+ menurut keluarga dan puak mereka masing-masing. 30  Daftarkanlah semua lelaki yang dibanci itu. Mereka haruslah berumur antara 30 hingga 50 tahun, dan layak berkhidmat di khemah pertemuan. 31  Inilah tugas yang harus dilakukan+ oleh mereka di khemah pertemuan: Mereka harus mengangkat semua rangka khemah suci,+ kayu lintang,+ tiang,+ alas tiang,+ 32  pasak,+ tali, tiang+ dan alas tiang+ di halaman khemah, dan semua peralatan lain yang berkaitan dengan benda-benda itu. Kamu harus menentukan benda yang harus diangkat oleh setiap orang. 33  Itulah tugas puak Merari+ di khemah pertemuan. Mereka harus melaksanakan tugas mereka di bawah pimpinan Itamar anak Harun.”+ 34  Musa, Harun, dan para pemimpin+ orang Israel, mendaftarkan orang Kehat+ menurut keluarga dan puak mereka masing-masing. 35  Orang yang didaftarkan itu ialah lelaki yang berumur antara 30 hingga 50 tahun, yang layak berkhidmat di khemah pertemuan.+ 36  Semua lelaki yang didaftarkan menurut keluarga mereka berjumlah 2,750 orang.+ 37  Itulah bilangan orang daripada puak Kehat yang telah didaftarkan. Mereka semua layak berkhidmat di khemah pertemuan. Musa dan Harun mendaftarkan mereka menurut perintah Yehuwa yang telah disampaikan-Nya melalui Musa.+ 38  Orang Gerson+ juga didaftarkan menurut keluarga dan puak mereka masing-masing. 39  Orang yang didaftarkan itu ialah lelaki yang berumur antara 30 hingga 50 tahun, yang layak berkhidmat di khemah pertemuan. 40  Semua lelaki yang didaftarkan menurut keluarga dan puak mereka berjumlah 2,630 orang.+ 41  Itulah bilangan orang daripada puak Gerson yang telah didaftarkan. Mereka semua layak berkhidmat di khemah pertemuan. Musa dan Harun mendaftarkan mereka menurut perintah Yehuwa.+ 42  Orang Merari juga didaftarkan menurut keluarga dan puak mereka masing-masing. 43  Orang yang didaftarkan itu ialah lelaki yang berumur antara 30 hingga 50 tahun, yang layak berkhidmat di khemah pertemuan.+ 44  Semua lelaki yang didaftarkan menurut keluarga mereka berjumlah 3,200 orang.+ 45  Itulah bilangan orang daripada puak Merari yang telah didaftarkan. Musa dan Harun mendaftarkan mereka menurut perintah Yehuwa yang telah disampaikan-Nya melalui Musa.+ 46  Musa, Harun, dan para pemimpin orang Israel, mendaftarkan semua lelaki dalam suku Lewi menurut keluarga dan puak mereka masing-masing. 47  Orang yang didaftarkan itu ialah lelaki yang berumur antara 30 hingga 50 tahun, yang layak berkhidmat di khemah pertemuan. Mereka ditugaskan untuk mengangkat semua peralatan khemah pertemuan.+ 48  Jumlah keseluruhan lelaki yang didaftarkan ialah 8,580 orang.+ 49  Mereka semua didaftarkan menurut perintah Yehuwa yang telah disampaikan-Nya melalui Musa. Setiap orang ditugaskan untuk mengangkat peralatan tertentu. Demikianlah mereka semua didaftarkan sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa.

Nota Kaki

Iaitu, abu yang bercampur lemak daripada korban yang dibakar.