Dua Tawarikh 35:1-27

  • Aturan Yosia untuk merayakan Paska secara besar-besaran (1-19)

  • Yosia dibunuh oleh Firaun Nekho (20-27)

35  Yosia menyambut Perayaan Paska+ untuk Yehuwa di Yerusalem, dan mereka menyembelih korban Paska+ pada hari ke-14 bulan pertama.+  Dia menyuruh para imam menjalankan tugas masing-masing dan menggalakkan mereka untuk berkhidmat di Rumah Yehuwa.+  Kemudian dia berkata kepada orang Lewi, iaitu guru-guru Israel+ yang telah disucikan untuk Yehuwa, “Letakkanlah tabut suci di dalam Rumah Tuhan yang telah dibina oleh Salomo anak Daud, raja Israel.+ Tidak usah lagi kamu mengangkatnya di bahu kamu.+ Sekarang, hendaklah kamu berkhidmat kepada Tuhanmu Yehuwa dan umat-Nya Israel.  Bersedialah untuk menjalankan khidmat kamu menurut puak dan kumpulan bertugas kamu, sesuai dengan perintah yang ditulis oleh Raja Daud+ dan anaknya Salomo.+  Hai orang Lewi, berdirilah di tempat suci mengikut puak masing-masing. Aturkanlah supaya satu puak daripada kamu dapat membantu satu puak daripada orang Israel.  Sembelihlah korban Paska,+ dan sucikanlah diri kamu. Buatlah persediaan supaya saudara-saudara kamu dapat melaksanakan firman Yehuwa yang disampaikan melalui Musa.”  Raja Yosia mengambil 30,000 ekor anak bebiri jantan dan anak kambing jantan serta 3,000 ekor lembu daripada ternakannya sendiri. Kemudian dia memberikan semua binatang itu kepada rakyat yang hadir di situ supaya mereka dapat mempersembahkan korban Paska.+  Para pemimpin juga memberikan sumbangan secara sukarela kepada rakyat, para imam, dan orang Lewi. Para pemimpin di rumah Tuhan yang benar, iaitu Hilkia,+ Zakharia, dan Yehiel, memberikan 2,600 ekor korban Paska dan 300 ekor lembu kepada imam.  Selain itu, ketua-ketua orang Lewi, iaitu Konania dan saudara-saudaranya Semaya dan Netanel, serta Hasabia, Yeiel, dan Yozabad, memberikan 5,000 ekor korban Paska dan 500 ekor lembu kepada orang Lewi. 10  Ketika segala persiapan sudah selesai, para imam pun berdiri di tempat masing-masing dan orang Lewi juga berdiri dalam kumpulan mereka,+ seperti yang diperintahkan oleh raja. 11  Mereka menyembelih korban-korban Paska+ lalu memberikan darah korban itu kepada para imam.+ Kemudian para imam memercikkan darah itu sementara orang Lewi sedang menguliti binatang-binatang itu.+ 12  Setelah itu, mereka menyediakan korban-korban bakar untuk diedarkan kepada rakyat yang telah berkumpul mengikut puak masing-masing. Hal ini demikian supaya rakyat dapat mempersembahkan semua korban itu kepada Yehuwa menurut apa yang tertulis dalam kitab Musa. Mereka juga melakukan hal yang sama dengan lembu-lembu itu. 13  Mereka memasak* korban Paska di atas api menurut adat.+ Mereka juga memasak persembahan suci di dalam periuk, belanga, dan kuali leper, lalu memberikannya kepada rakyat dengan segera. 14  Selepas itu, barulah orang Lewi menyediakan korban Paska untuk mereka sendiri dan untuk imam-imam keturunan Harun. Mereka membuat persediaan itu untuk mereka sendiri dan untuk para imam kerana para imam itu mempersembahkan korban bakar dan lemak binatang sehingga senja. 15  Para penyanyi, iaitu keturunan Asaf,+ bertugas di tempat masing-masing, seperti yang telah diperintahkan oleh Daud,+ Asaf,+ Heman, dan Yedutun,+ iaitu nabi yang menyampaikan penglihatan daripada Tuhan kepada raja. Para penjaga pintu pula mengawal di pintu-pintu gerbang.+ Mereka tidak perlu meninggalkan tugas mereka kerana saudara mereka, iaitu orang Lewi, telah membuat persediaan untuk mereka. 16  Demikianlah pada hari itu, mereka menyempurnakan semua tugas yang dikehendaki oleh Yehuwa untuk menyambut Paska.+ Korban-korban bakar juga dipersembahkan di atas mazbah Yehuwa, sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Raja Yosia.+ 17  Pada waktu itu, orang Israel yang hadir menyambut Paska. Kemudian mereka juga menyambut Perayaan Roti Tidak Beragi selama tujuh hari.+ 18  Mereka belum pernah merayakan Paska seperti ini sejak zaman Nabi Samuel, dan belum pernah ada raja-raja Israel yang lain yang pernah menyambut Paska seperti yang telah dilakukan oleh Yosia,+ para imam, orang Lewi, semua orang Yehuda dan Israel yang hadir, dan semua penduduk Yerusalem. 19  Demikianlah mereka menyambut Paska ini pada tahun ke-18 pemerintahan Yosia. 20  Setelah Yosia melakukan segala hal itu bagi Rumah Tuhan, Raja Nekho+ dari Mesir datang untuk berperang di Karkemis, yang terletak berhampiran Sungai Efrat. Yosia pun pergi menyerangnya.+ 21  Maka Nekho menghantar utusan kepada Yosia dengan pesanan berikut: “Wahai raja Yehuda, perang ini tidak berkaitan dengan tuanku. Beta bukannya datang untuk melawan tuanku, tetapi melawan bangsa lain. Tuhan telah menyuruh beta bertindak dengan cepat, dan Dia sendiri memihak kepada beta. Oleh itu, demi kebaikan tuanku sendiri, janganlah melawan kehendak Tuhan. Jika tidak, Tuhan akan memusnahkan tuanku.” 22  Tetapi Yosia berkeras untuk menyerang Nekho. Dia enggan mendengar firman Tuhan yang disampaikan melalui Nekho. Dia menyamar+ lalu pergi ke Dataran Megido+ untuk berperang dengan Nekho. 23  Di situ, Raja Yosia terkena anak panah lalu dia berkata kepada hamba-hambanya, “Bawalah beta keluar dari sini kerana beta cedera parah.” 24  Maka mereka memindahkan Raja Yosia dari kereta kudanya ke dalam kereta kudanya yang kedua, lalu membawanya ke Yerusalem. Dia meninggal dan dikebumikan di makam nenek moyangnya.+ Seluruh Yehuda dan Yerusalem berkabung kerana kematian Yosia. 25  Yeremia+ menyanyikan lagu ratapan untuk Yosia. Semua penyanyi lelaki dan perempuan+ menyanyikan lagu ratapan tentang Yosia sehingga hari ini. Keputusan telah dibuat agar lagu-lagu ratapan ini dinyanyikan di Israel. Lagu-lagu ini juga dimasukkan dalam buku ratapan. 26  Berkenaan kisah hidup Yosia yang lain dan bagaimana dia menunjukkan kasih setia sesuai dengan apa yang tertulis dalam Hukum Yehuwa 27  serta apa yang dilakukannya dari mula sampai akhir, semuanya tertulis dalam Buku Raja-Raja Israel dan Yehuda.+

Nota Kaki

Atau mungkin, “memanggang.”