Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Dua Tawarikh 32:1-33

RANGKA KANDUNGAN

  • Sanherib mengancam Yerusalem (1-8)

  • Sanherib menghina Yehuwa (9-19)

  • Malaikat membunuh tentera Assyria (20-23)

  • Penyakit Hizkia dan keangkuhannya (24-26)

  • Kejayaan Hizkia dan kematiannya (27-33)

32  Selepas Hizkia melakukan hal-hal itu dengan setia,+ Raja Sanherib dari Assyria datang untuk menyerang Yehuda. Dia mengepung kota-kota berkubu di situ dan ingin menembusi pertahanan kota-kota itu untuk menawannya.+  Apabila Raja Hizkia mengetahui bahawa Sanherib datang untuk menyerang Yerusalem,  dia berbincang dengan para pemimpinnya dan pahlawan-pahlawannya. Dia membuat keputusan untuk menutup mata air di luar kota,+ dan mereka bersetuju untuk membantunya.  Banyak orang datang berkumpul untuk menutup semua mata air dan menghentikan aliran air di negeri itu. Mereka berkata, “Kami tidak mahu raja-raja Assyria mempunyai bekalan air yang melimpah semasa mereka datang.”  Dengan penuh semangat, Hizkia juga membina semula tembok yang sudah runtuh dan mendirikan menara-menara di atasnya. Selain itu, dia membina satu lapis tembok lagi di sebelah luarnya. Dia membaiki tempat perlindungan*+ di Kota Daud dan membuat banyak perlengkapan senjata dan perisai.  Selepas itu, dia melantik ketua-ketua angkatan tentera lalu mengumpulkan rakyat di kawasan lapang* dekat pintu gerbang kota. Dia menguatkan semangat mereka dengan berkata,  “Hendaklah kamu berani dan teguh. Janganlah takut atau gentar terhadap raja Assyria+ dan angkatan tenteranya yang besar, kerana yang menyertai kita lebih banyak daripada yang menyertai mereka.+  Raja itu bergantung pada kekuatan manusia, tetapi kita bergantung pada Yehuwa, Tuhan kita. Dia akan membantu kita dan berjuang demi kita.”+ Demikianlah seluruh rakyat dikuatkan dengan kata-kata Hizkia, raja Yehuda.+  Semasa Raja Sanherib dari Assyria dan seluruh angkatan tenteranya berada di Lakhis,+ dia menghantar para pegawainya ke Yerusalem. Mereka menyampaikan pesanan berikut kepada Raja Hizkia dan kepada semua orang Yehuda di Yerusalem:+ 10  “Inilah kata-kata Raja Sanherib dari Assyria: ‘Seluruh Yerusalem sudah dikepung. Mengapakah kamu masih tinggal di sini? Kamu mengharapkan bantuan siapa?+ 11  Bukankah Hizkia sedang menipu kamu? Dia berkata, “Yehuwa, Tuhan kita, akan menyelamatkan kita daripada tangan raja Assyria.” Tetapi Hizkia akan membiarkan kamu mati kelaparan dan kehausan.+ 12  Bukankah dia yang menyingkirkan tempat ibadat Tuhan kamu?+ Bukankah dia yang meruntuhkan mazbah-mazbah-Nya+ lalu memberitahu Yehuda dan Yerusalem, “Kamu harus bersujud di hadapan satu mazbah sahaja dan mempersembahkan korban* di situ”?+ 13  Tidakkah kamu tahu bagaimana beta dan nenek moyang beta memperlakukan bangsa-bangsa di negeri lain?+ Dapatkah tuhan-tuhan mereka menyelamatkan negeri mereka daripada tangan beta?+ 14  Bukankah nenek moyang beta telah membinasakan semua bangsa itu? Tidak ada satu tuhan pun yang dapat menyelamatkan umatnya daripada tangan beta. Jadi mengapa pula kamu percaya bahawa Tuhan kamu dapat menyelamatkan kamu daripada tangan beta?+ 15  Janganlah biarkan Hizkia menipu atau menyesatkan kamu!+ Janganlah percaya kepadanya! Belum pernah tuhan bangsa mana pun menyelamatkan negerinya daripada tangan beta dan tangan nenek moyang beta. Apatah lagi Tuhan kamu itu! Dia pasti tidak dapat menyelamatkan kamu daripada tangan beta!’”+ 16  Para pegawai Sanherib terus menghina Yehuwa, Tuhan yang benar, dan hamba-Nya, Hizkia. 17  Sanherib juga menulis surat+ untuk mencela Yehuwa, Tuhan orang Israel,+ dan mengutuk-Nya dengan berkata, “Tuhan bangsa lain tidak dapat menyelamatkan umatnya daripada tangan beta.+ Demikian juga Tuhan Hizkia tidak dapat menyelamatkan umat-Nya daripada tangan beta.” 18  Mereka berseru dengan kuat dalam bahasa orang Yahudi supaya penduduk Yerusalem yang berada di tembok kota berasa takut dan gentar. Mereka berbuat demikian kerana mereka ingin menawan kota itu.+ 19  Mereka mencemuh Tuhan orang Yerusalem sebagaimana mereka mencemuh tuhan-tuhan di bumi yang dibuat oleh manusia. 20  Tetapi Raja Hizkia dan Nabi Yesaya+ anak Amoz terus berseru kepada Tuhan di syurga dan berdoa meminta bantuan-Nya.+ 21  Oleh itu, Yehuwa mengutus satu malaikat untuk membunuh semua ketua, pemimpin, dan pahlawan yang gagah+ di perkhemahan tentera raja Assyria. Raja Assyria pun pulang ke negerinya dengan malu. Pada suatu hari, ketika raja itu masuk ke dalam kuil tuhannya, beberapa orang anak lelakinya membunuhnya dengan pedang.+ 22  Demikianlah Yehuwa menyelamatkan Hizkia dan Yerusalem daripada tangan Raja Sanherib dan daripada musuh-musuh yang lain. Tuhan mengurniai mereka kedamaian di seluruh negeri itu. 23  Ramai orang membawa pemberian kepada Yehuwa di Yerusalem. Mereka juga membawa benda-benda yang berharga kepada Hizkia, raja Yehuda.+ Sejak hari itu, Raja Hizkia disanjung tinggi oleh semua bangsa. 24  Beberapa lama kemudian, Hizkia jatuh sakit dan hampir meninggal. Maka dia berdoa kepada Yehuwa.+ Tuhan menjawab doanya dan memberinya satu tanda.+ 25  Tetapi Hizkia tidak bersyukur atas segala perbuatan baik Tuhan, dan hatinya menjadi angkuh. Oleh itu, Tuhan murka terhadap Hizkia dan penduduk Yehuda serta penduduk Yerusalem. 26  Tetapi kemudiannya, Hizkia merendahkan diri dan hatinya tidak lagi angkuh.+ Semua penduduk Yerusalem juga merendahkan diri. Maka Yehuwa tidak lagi murka terhadap mereka selama Hizkia masih hidup.+ 27  Kemudian Hizkia menjadi kaya-raya dan orang sangat menghormatinya.+ Dia membina gudang-gudang+ untuk menyimpan perak, emas, batu-batu berharga, minyak balsam, perisai, dan semua barangan yang bernilai. 28  Dia juga membina gudang-gudang untuk menyimpan hasil bijirin, wain baharu, dan minyak, serta kandang-kandang untuk biri-biri, kambing, dan pelbagai jenis ternakan yang lain. 29  Selain itu, dia membina banyak kota dan memperoleh banyak ternakan, lembu, biri-biri, dan kambing. Tuhan memberikan banyak sekali harta kepadanya. 30  Hizkia juga menutup sumber air+ di Gihon+ yang ada di atas tanah dan menyalurkan airnya ke bawah, ke sebelah barat Kota Daud.+ Hizkia berjaya dalam apa sahaja yang dibuatnya. 31  Apabila jurucakap yang diutus oleh para pemimpin Babilon datang kepada Hizkia untuk bertanya tentang kejadian luar biasa*+ yang telah berlaku di negerinya,+ Tuhan yang benar membiarkan dia bertindak sendiri untuk menguji dia+ dan mengetahui apa yang ada dalam hatinya.+ 32  Berkenaan kisah hidup Hizkia yang lain dan bagaimana dia menunjukkan kasih setia,+ semuanya tertulis dalam catatan penglihatan Nabi Yesaya+ anak Amoz, dalam Buku Raja-Raja Yehuda dan Israel.+ 33  Hizkia meninggal dan dikebumikan di lereng bukit yang menuju ke tempat perkuburan anak-anak Daud.+ Semua penduduk Yehuda dan Yerusalem memberikan penghormatan kepada Hizkia ketika dia meninggal. Kemudian Manasye, anak lelakinya, menggantikannya sebagai raja.

Nota Kaki

Ibrani, mil·lohʹ yang bermaksud “timbunan tanah.” Lihat Kamus.
Atau “dataran kota.”
Atau “membakar korban sehingga asap naik.”
Atau “tentang tanda.”