Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Dua Tawarikh 24:1-27

RANGKA KANDUNGAN

  • Pemerintahan Yehoas (1-3)

  • Yehoas memperbaiki Rumah Tuhan (4-14)

  • Yehoas meninggalkan Tuhan (15-22)

  • Yehoas dibunuh (23-27)

24  Yehoas menjadi raja ketika dia berumur tujuh tahun,+ dan dia memerintah selama 40 tahun di Yerusalem. Ibunya ialah Zibya yang berasal dari Beer-syeba.+  Selama Imam Yehoyada masih hidup, Yehoas melakukan apa yang benar di mata Yehuwa.+  Yehoyada memilih dua orang isteri untuk Yehoas, dan Yehoas mendapat anak-anak lelaki dan perempuan.  Beberapa lama kemudian, Yehoas berhasrat untuk memperbaiki Rumah Yehuwa.+  Maka dia mengumpulkan para imam dan orang Lewi lalu berkata, “Pergilah ke kota-kota Yehuda dan kumpulkanlah wang daripada semua orang Israel untuk membaiki Rumah Tuhan+ setiap tahun. Bertindaklah dengan segera.” Tetapi orang Lewi masih berlengah-lengah.+  Oleh itu, raja memanggil Ketua Imam Yehoyada dan berkata kepadanya,+ “Mengapakah kamu tidak menyuruh orang Lewi untuk mengumpulkan cukai suci dari Yehuda dan Yerusalem? Cukai suci ini telah diwajibkan oleh Musa,+ hamba Yehuwa. Orang Israel haruslah membayar cukai ini untuk khemah suci.+  Selain itu, anak-anak Atalya,+ perempuan yang zalim itu, telah menceroboh masuk ke dalam rumah Tuhan yang benar+ dan menggunakan semua perkakas suci di Rumah Yehuwa untuk menyembah Baal.”  Kemudian raja memberikan perintah agar sebuah peti+ dibuat dan diletakkan di luar pintu gerbang Rumah Yehuwa.+  Dia juga menyuruh semua orang di Yehuda dan Yerusalem untuk membawa cukai suci kepada Yehuwa.+ Cukai ini telah diwajibkan oleh Musa, hamba Tuhan yang benar, semasa orang Israel berada di padang belantara dahulu. 10  Semua pemimpin dan rakyat bersukacita,+ lalu mereka membawa sumbangan mereka dan memasukkannya ke dalam peti sumbangan sehingga peti itu penuh.* 11  Apabila orang Lewi nampak bahawa peti itu sudah penuh dengan wang, mereka akan membawa peti itu kepada raja. Kemudian setiausaha raja dan pembantu imam agung akan mengeluarkan wang yang ada di dalam peti itu+ lalu mengembalikan peti itu ke tempatnya. Itulah yang dilakukan oleh mereka setiap hari dan mereka telah mengumpulkan banyak wang. 12  Raja Yehoas dan Yehoyada akan memberikan wang itu kepada para penyelia yang mengawasi kerja-kerja di Rumah Yehuwa. Mereka akan mengupah pemotong batu dan tukang-tukang lain untuk memperbaiki Rumah Yehuwa.+ Mereka juga mengupah tukang besi dan tembaga untuk membaiki Rumah Yehuwa. 13  Maka para penyelia itu pun mula bekerja, dan kerja pembaikan berjalan dengan lancar di bawah pengawasan mereka. Hasilnya rumah Tuhan yang benar diperkukuh dan dipulihkan sehingga menjadi baik seperti dahulu. 14  Sebaik sahaja kerja pembaikan selesai, mereka memberikan lebihan wang kepada raja dan Yehoyada. Wang itu digunakan untuk membuat perkakas bagi Rumah Yehuwa, cawan-cawan, perkakas bagi kerja suci, perkakas yang digunakan untuk mempersembahkan korban, dan perkakas emas dan perak.+ Selama Yehoyada masih hidup, korban bakar+ sentiasa dipersembahkan di Rumah Yehuwa. 15  Yehoyada menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika berusia 130 tahun. Dia telah menikmati umur yang panjang dan puas hati dengan kehidupannya. 16  Dia dikebumikan di Kota Daud bersama raja-raja+ kerana jasa baiknya terhadap orang Israel,+ terutamanya dalam hal yang berkaitan dengan Tuhan yang benar dan Rumah-Nya. 17  Selepas Yehoyada meninggal, para pemimpin Yehuda menghadap Raja Yehoas dan bersujud kepadanya. Raja pun mendengarkan mereka. 18  Mereka mengabaikan Rumah Yehuwa, Tuhan nenek moyang mereka, dan mula menyembah tiang-tiang suci* dan patung berhala. Maka Tuhan murka terhadap Yehuda dan Yerusalem kerana dosa mereka itu. 19  Yehuwa selalu mengutus nabi-nabi untuk memberikan amaran kepada mereka agar mereka kembali kepada-Nya. Tetapi mereka tidak mahu mendengar.+ 20  Zakharia, iaitu anak Imam Yehoyada,+ dipenuhi kuasa suci Tuhan. Maka dia berdiri di tempat yang tinggi dan berkata kepada orang ramai, “Tuhan yang benar telah berfirman, ‘Mengapakah kamu melanggar perintah Yehuwa dan mencelakakan diri sendiri? Kamu telah meninggalkan Yehuwa, maka Dia akan meninggalkan kamu juga.’”+ 21  Tetapi mereka berpakat untuk menentang Zakharia.+ Atas perintah raja, mereka merejamnya dengan batu di halaman Rumah Yehuwa.+ 22  Raja Yehoas melupakan kasih setia yang ditunjukkan oleh Yehoyada, bapa Zakharia. Pada saat kematiannya, Zakharia berseru, “Semoga Yehuwa menghukum tuanku atas perbuatan tuanku!”+ 23  Pada awal tahun, tentera Siria datang melawan Yehoas. Mereka menyerang Yehuda dan Yerusalem.+ Kemudian mereka membunuh semua pemimpin+ dan menghantar barang jarahan kepada raja Damsyik. 24  Pada waktu itu, tentera Yehuda sangat besar dan hanya sekumpulan kecil askar Siria datang untuk menyerang Yehuda. Meskipun begitu, Yehuwa memberikan kemenangan kepada Siria.+ Hal ini demikian kerana orang Yehuda telah meninggalkan Yehuwa, Tuhan nenek moyang mereka. Ya, tentera Siria telah menghukum Yehoas. 25  Semasa tentera Siria berundur dari sana, Yehoas berada dalam keadaan yang tenat.* Kemudian para pegawai Yehoas berpakat untuk membunuhnya kerana dia telah membunuh anak-anak* Imam Yehoyada.+ Mereka membunuh Yehoas di tempat tidurnya.+ Kemudian mereka mengebumikannya di Kota Daud,+ tetapi mereka tidak mengebumikannya di makam diraja.+ 26  Orang yang berpakat+ untuk menentang Yehoas ialah Zabad dan Yehozabad. (Ibu Zabad ialah Simeat, orang Ammon, dan ibu Yehozabad ialah Simrit, orang Moab.) 27  Kisah tentang anak-anak Yehoas dan kutukan yang diterimanya+ serta bagaimana dia memperbaiki rumah Tuhan yang benar,+ semuanya dicatatkan dalam ulasan* Buku Raja-Raja. Amazia, anak lelakinya, menggantikannya sebagai raja.

Nota Kaki

Atau mungkin, “sehingga mereka semua telah membayar cukai.”
Lihat Kamus.
Atau “menghidap banyak penyakit.”
Atau “anak.” Kata jamak mungkin digunakan untuk menunjukkan keunggulan Zakharia.
Atau “tulisan; huraian.”