Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Dua Tawarikh 18:1-34

RANGKA KANDUNGAN

  • Yehosafat membentuk persekutuan dengan Ahab (1-11)

  • Nubuat Mikhaya tentang kekalahan Ahab (12-27)

  • Ahab dibunuh di Ramot-gilead (28-34)

18  Walaupun Yehosafat sangat kaya dan masyhur,+ dia masih membentuk persekutuan dengan Ahab. Dia mengahwinkan salah seorang ahli keluarganya dengan ahli keluarga Ahab.+  Beberapa tahun kemudian, dia pergi berjumpa dengan Ahab di Samaria.+ Ahab menyembelih* banyak biri-biri dan lembu untuk Yehosafat dan rombongannya. Ahab juga memujuk Yehosafat untuk menyerang Ramot-gilead bersamanya.+  Dia berkata kepada Raja Yehosafat dari Yehuda, “Adakah tuanku sudi untuk pergi ke Ramot-gilead bersama-sama beta?” Yehosafat menjawabnya, “Ya, mari kita pergi bersama-sama. Tentera beta akan bergabung dengan tentera tuanku. Kami akan menyertai tuanku.”  Namun Yehosafat berkata kepada raja Israel, “Marilah kita meminta petunjuk daripada Yehuwa terlebih dahulu.”+  Maka raja Israel mengumpulkan 400 orang nabi. Dia berkata kepada mereka, “Patutkah beta pergi menawan kota Ramot-gilead atau tidak?” Mereka menjawab, “Pergilah tuanku. Tuhan yang benar pasti akan menyerahkan kota itu ke dalam tangan tuanku.”  Tetapi Yehosafat berkata, “Tidak adakah nabi Yehuwa di sini?+ Marilah kita meminta petunjuk Tuhan daripadanya.”+  Maka raja Israel menjawab Yehosafat, “Masih ada seorang lagi+ yang boleh mendapatkan petunjuk daripada Yehuwa. Dia ialah Mikhaya anak Yimla. Tetapi beta membencinya kerana dia tidak pernah bernubuat tentang perkara yang baik bagi beta. Dia selalu bernubuat tentang hal yang buruk.”+ Tetapi Yehosafat berkata, “Tuanku tidak sepatutnya berkata demikian.”  Raja Israel memanggil seorang pegawai istana dan berkata, “Cepat, bawalah Mikhaya anak Yimla kepada beta.”+  Pada masa itu, Ahab dan Yehosafat sedang memakai pakaian diraja dan duduk di atas takhta yang terletak di tempat mengirik tuaian, iaitu dekat pintu masuk kota Samaria. Semua nabi bernubuat di hadapan mereka. 10  Kemudian Zedekia anak Kenaana membuat beberapa buah tanduk besi lalu berkata, “Inilah firman Yehuwa: ‘Engkau akan menggunakan tanduk-tanduk ini untuk menyerang* orang Siria sehingga mereka lenyap sama sekali.’” 11  Nabi-nabi yang lain juga bernubuat dan berkata, “Pergilah ke Ramot-gilead. Tuanku pasti berjaya.+ Yehuwa akan menyerahkan kota itu ke dalam tangan tuanku.” 12  Maka utusan yang pergi memanggil Mikhaya berkata kepadanya, “Nabi-nabi yang lain mengatakan hal yang baik dengan sebulat suara. Hendaklah kamu juga mengatakan hal yang baik bagi raja, seperti mereka.”+ 13  Tetapi Mikhaya berkata, “Demi Yehuwa yang hidup, aku hanya akan menyampaikan apa yang difirmankan oleh Tuhan kepadaku.”+ 14  Apabila Mikhaya menghadap raja, raja bertanya kepadanya, “Mikhaya, patutkah beta pergi menawan kota Ramot-gilead atau tidak?” Mikhaya segera menjawab, “Pergilah dan tuanku pasti berjaya. Mereka akan diserahkan ke dalam tangan tuanku.” 15  Maka raja berkata, “Berapa kalikah beta harus menyuruh kamu untuk bersumpah bahawa kamu akan berkata benar demi nama Yehuwa?” 16  Selepas itu, Mikhaya berkata, “Hamba nampak semua rakyat Israel berkeliaran di gunung-gunung seperti biri-biri tanpa gembala.+ Yehuwa telah berfirman, ‘Mereka tidak mempunyai tuan. Biarlah mereka pulang ke rumah masing-masing dengan aman.’” 17  Maka raja Israel berkata kepada Yehosafat, “Bukankah beta sudah berkata bahawa dia tidak akan bernubuat tentang perkara yang baik bagi beta? Dia hanya bernubuat tentang hal yang buruk!”+ 18  Mikhaya berkata lagi, “Dengarlah firman Yehuwa: Hamba nampak Yehuwa sedang duduk di atas takhta-Nya,+ dan seluruh angkatan tentera syurga+ berdiri di sebelah kanan dan di sebelah kiri-Nya.+ 19  Yehuwa bertanya, ‘Siapakah yang akan memperdaya Raja Ahab dari Israel supaya dia pergi ke Ramot-gilead lalu terbunuh di sana?’ Ada malaikat yang berkata begini, ada pula yang berkata begitu. 20  Kemudian satu malaikat+ tampil dan menghadap Yehuwa lalu berkata, ‘Aku akan memperdaya Ahab.’ Yehuwa bertanya kepadanya, ‘Bagaimanakah engkau akan berbuat demikian?’ 21  Malaikat itu menjawab, ‘Aku akan pergi lalu membuat semua nabi Ahab bercakap bohong.’ Maka Tuhan berfirman, ‘Pergilah dan buatlah demikian. Engkau akan memperdayanya dan engkau akan berjaya.’ 22  Oleh itu, Yehuwa mengutus malaikat itu untuk membuat nabi-nabi tuanku bercakap bohong.+ Sebenarnya Yehuwa telah berfirman bahawa tuanku akan ditimpa malapetaka.” 23  Zedekia+ anak Kenaana menghampiri Mikhaya+ lalu menampar pipinya.+ Dia bertanya, “Adakah kamu fikir bahawa kuasa suci Yehuwa telah meninggalkan aku lalu bercakap kepadamu?”+ 24  Mikhaya menjawab, “Pada hari kamu masuk ke dalam bilik belakang untuk bersembunyi, pada hari itulah kamu akan mengetahuinya.” 25  Kemudian raja Israel berkata, “Bawa Mikhaya dan serahkannya kepada Amon, penguasa kota itu, dan kepada Yoas, anak raja. 26  Beritahulah mereka, ‘Inilah perintah raja: “Masukkan orang ini ke dalam penjara.+ Beri dia sedikit roti dan air sahaja sehingga beta kembali dengan selamat.”’” 27  Mikhaya berkata, “Jika tuanku kembali dengan selamat, maksudnya Yehuwa tidak berfirman melalui hamba.”+ Dia menyambung, “Hai semua orang, dengarlah apa yang telah aku katakan ini.” 28  Maka raja Israel dan Yehosafat, raja Yehuda, pergi ke Ramot-gilead.+ 29  Raja Israel berkata kepada Yehosafat, “Apabila kita pergi bertempur, beta akan menyamar tetapi tuanku akan memakai pakaian diraja tuanku.” Oleh itu, raja Israel pun menyamar ketika mereka pergi bertempur. 30  Raja Siria telah mengarahkan ketua-ketua pasukan kereta kudanya dengan berkata, “Janganlah menyerang sesiapa pun, baik panglima tentera mahupun askar biasa. Seranglah raja Israel sahaja.” 31  Sebaik sahaja ketua-ketua itu nampak Yehosafat, mereka berkata kepada satu sama lain, “Itu raja Israel!” Maka mereka pergi menyerang dia, dan Yehosafat mula berteriak meminta tolong.+ Yehuwa segera membantu Yehosafat dan mengalihkan serangan itu ke arah lain. 32  Apabila mereka sedar bahawa dia bukan raja Israel, mereka segera berundur dan tidak mengejarnya lagi. 33  Salah seorang askar Siria melepaskan anak panah, dan kebetulan anak panah itu menusuk Raja Ahab di antara sambungan baju zirahnya. Maka raja berkata kepada pemandu kereta kudanya, “Berundurlah dan bawalah beta keluar dari medan pertempuran ini kerana beta cedera parah.”+ 34  Pertempuran itu berlangsung sepanjang hari. Sementara itu, orang lain memegang raja Israel sehingga petang agar dia dapat berdiri di dalam kereta kudanya sambil menghadap orang Siria, dan dia mati ketika matahari terbenam.+

Nota Kaki

Atau “mengorbankan.”
Atau “menolak; menanduk.”