Dua Tawarikh 16:1-14

  • Asa membuat perjanjian dengan Siria (1-6)

  • Hanani menegur tindakan Asa (7-10)

  • Kematian Asa (11-14)

16  Pada tahun ke-36 pemerintahan Asa, Raja Baesa+ dari Israel menyerang Yehuda, dan mula memperkukuh kota Rama+ agar tidak ada sesiapa pun yang dapat keluar atau masuk ke wilayah Asa, raja Yehuda.+  Maka Asa mengambil perak dan emas dari tempat penyimpanan harta di Rumah Yehuwa+ dan di istana raja, lalu memberikannya kepada Ben-hadad, iaitu raja Siria+ yang tinggal di Damsyik. Asa berkata kepada Ben-hadad,  “Kita telah membuat perjanjian seperti yang telah dilakukan oleh ayahanda beta dengan ayahanda tuanku. Beta menghantar semua perak dan emas ini kepada tuanku. Batalkanlah perjanjian tuanku dengan Raja Baesa dari Israel agar raja itu berundur dari wilayah beta.”  Ben-hadad mendengar kata-kata Raja Asa lalu mengutus beberapa orang ketua pasukan tenteranya untuk menyerang kota-kota Israel. Mereka telah menakluki Iyon,+ Dan,+ Abel-maim, dan semua tempat penyimpanan bekalan di kota-kota Naftali.+  Semasa Baesa mendengar tentang hal itu, dia segera berhenti memperkukuh kota Rama lalu mengabaikan projek itu.  Raja Asa mewajibkan semua penduduk Yehuda untuk mengangkut batu-batu dan kayu-kayu dari Rama+ yang telah digunakan oleh Baesa.+ Kemudian dia menggunakan bahan-bahan itu untuk memperkukuh kota Geba+ dan kota Mizpa.+  Pada waktu itu, Nabi* Hanani+ menghadap Asa, raja Yehuda, dan berkata kepadanya, “Tuanku bergantung pada raja Siria, dan bukannya pada Yehuwa, Tuhan tuanku. Oleh itu, peluang untuk mengalahkan tentera raja Siria terlepas daripada tangan tuanku.+  Dahulu bukankah tuanku berhadapan dengan tentera Etiopia* dan Libia yang besar bilangannya? Bukankah mereka mempunyai banyak kereta kuda dan askar berkuda? Pada masa itu, tuanku telah bergantung pada Yehuwa, maka Dia menyerahkan mereka ke dalam tangan tuanku.+  Yehuwa sentiasa mengawasi seluruh bumi+ untuk mencari orang yang menyembah-Nya dengan sepenuh hati agar Dia dapat menunjukkan kekuatan-Nya* kepada mereka.+ Tetapi sekarang, tuanku telah bertindak dengan bodoh. Maka mulai hari ini tuanku akan sentiasa berperang.”+ 10  Asa tersinggung dan begitu marah dengan nabi* itu sehingga dia memasukkan nabi* itu ke dalam penjara.* Asa juga mula menindas sebilangan rakyatnya. 11  Kisah hidup Asa, dari mula sampai akhir, semuanya tertulis dalam Buku Raja-Raja Yehuda dan Israel.+ 12  Pada tahun ke-39 pemerintahannya, kaki Asa dijangkiti penyakit dan keadaannya menjadi semakin parah. Biarpun begitu, dia tidak meminta bantuan Yehuwa, sebaliknya dia meminta pertolongan daripada tabib. 13  Asa meninggal pada tahun ke-41 pemerintahannya.+ 14  Dia dikebumikan di sebuah makam yang terletak di Kota Daud.+ Makam itu sangat mewah, dan dibina oleh dirinya sendiri. Mayatnya diletakkan di atas tempat yang penuh dengan minyak balsam dan campuran rempah dan wangi-wangian yang istimewa.+ Selain itu, unggun api yang sangat besar dinyalakan untuk menghormatinya.*

Nota Kaki

Atau “Pelihat.”
Atau “Habsyah.”
Atau “dapat memberikan bantuan.”
Atau “pelihat.”
Atau “pelihat.”
Atau “dia mengenakan pasung pada nabi itu.”
Nampaknya mereka membakar rempah-rempah, dan bukannya mayat Asa.