Dua Tawarikh 13:1-22

  • Abia, raja Yehuda (1-22)

    • Abia mengalahkan Yerobeam (3-20)

13  Pada tahun ke-18 pemerintahan Raja Yerobeam, Abia menjadi raja Yehuda.+  Dia memerintah di Yerusalem selama tiga tahun. Ibunya ialah Mikhaya+ anak Uriel dari Gibea.+ Abia dan Yerobeam berperang dengan satu sama lain.+  Pernah sekali, Abia pergi berperang dengan membawa 400,000 orang pahlawan yang gagah dan terlatih.+ Yerobeam pula membawa 800,000 orang pahlawan yang gagah dan terlatih lalu mengatur barisan tentera untuk menentang Abia.  Abia naik ke Gunung Zemaraim, yang terletak di kawasan pergunungan Efraim, dan berseru, “Wahai Yerobeam dan semua orang Israel! Dengarlah kata-kata beta ini!  Kamu semua tahu bahawa Yehuwa, Tuhan orang Israel, telah membuat satu perjanjian kekal*+ dengan Daud bahawa dia dan keturunannya akan memerintah kerajaan Israel buat selama-lamanya.+  Tetapi Yerobeam+ anak Nebat, seorang hamba kepada Salomo anak Daud, telah bangkit melawan tuannya.+  Kemudian orang yang menganggur dan orang yang tidak berguna menyertainya. Akhirnya mereka berjaya mengalahkan Rehabeam anak Salomo, yang ketika itu masih muda dan lemah, dan tidak dapat mempertahankan dirinya.  “Adakah kamu fikir bahawa kamu dapat melawan kerajaan Yehuwa yang telah diberikan kepada keturunan Daud? Janganlah berfikir bahawa kamu akan berjaya kerana bilanganmu banyak, atau kerana kamu memiliki patung anak lembu emas yang dibuat oleh Yerobeam untuk dijadikan sebagai tuhan kamu.+  Kamu telah menghalau imam-imam Yehuwa,+ iaitu keturunan Harun dan orang Lewi. Kemudian kamu melantik imam sendiri seperti yang dilakukan oleh bangsa-bangsa negeri lain.+ Kamu menerima sesiapa sahaja yang datang dengan membawa seekor anak lembu jantan dan tujuh ekor biri-biri jantan, dan melantik mereka menjadi imam untuk sesuatu yang bukannya Tuhan. 10  Tetapi bagi kami, Yehuwalah Tuhan kami.+ Kami tidak meninggalkan-Nya. Imam-imam kami daripada keturunan Harun dan mereka berkhidmat kepada Yehuwa, dan dibantu oleh orang Lewi. 11  Setiap pagi dan petang, mereka mempersembahkan korban kepada Yehuwa dan membakarnya sehingga asap naik.+ Mereka juga membakar kemenyan yang harum,+ meletakkan roti-roti berlapis*+ di atas meja emas tulen, dan menyalakan pelita-pelita pada kaki pelita emas+ setiap petang.+ Kami memenuhi kewajipan kami terhadap Yehuwa, Tuhan kami, sedangkan kamu meninggalkan Dia. 12  Lihatlah! Tuhan yang benar ada bersama kami, dan Dia sedang memimpin kami. Para imam-Nya ada di sini untuk meniup trompet sebagai isyarat perang. Hai orang Israel, janganlah menentang Yehuwa, Tuhan nenek moyangmu! Kamu tidak akan menang!”+ 13  Yerobeam menyuruh sebahagian pasukan askarnya untuk melancarkan serangan hendap dari belakang askar Yehuda. Dengan demikian, mereka menyerang askar Yehuda dari depan dan dari belakang. 14  Ketika askar Yehuda menoleh ke belakang, mereka sedar bahawa mereka diserang dari depan dan dari belakang. Maka mereka mula berseru kepada Yehuwa,+ dan para imam meniup trompet dengan kuat. 15  Kemudian askar Yehuda meneriakkan laungan perang. Pada saat mereka berbuat demikian, Tuhan yang benar mengalahkan Yerobeam dan semua askar Israel di depan mata Abia dan askar Yehuda. 16  Askar Israel melarikan diri daripada askar Yehuda, dan Tuhan menyerahkan mereka ke dalam tangan orang Yehuda. 17  Abia dan askarnya membunuh banyak orang Israel, sebanyak 500,000 orang askar Israel yang terlatih mati dibunuh. 18  Demikianlah orang Israel kalah dan orang Yehuda menang kerana mereka bergantung pada Yehuwa, Tuhan nenek moyang mereka.+ 19  Abia terus mengejar Yerobeam dan merampas kota-kota miliknya, iaitu Bethel+ dan pekan-pekan di sekelilingnya, Yesyana dan pekan-pekan di sekelilingnya, dan Efrain+ dan pekan-pekan di sekelilingnya. 20  Yerobeam tidak dapat memulihkan kekuasaannya selama pemerintahan Abia. Akhirnya Yerobeam mati dibunuh oleh Yehuwa.+ 21  Kekuasaan Abia semakin bertambah. Dia mempunyai 14 orang isteri+ dan 22 orang anak lelaki serta 16 orang anak perempuan. 22  Berkenaan kisah hidup Abia yang lain, iaitu perbuatan dan kata-kata yang diucapkannya, semuanya tertulis dalam buku* Nabi Ido.+

Nota Kaki

Harfiah, “perjanjian garam.”
Iaitu, roti yang dipersembahkan.
Atau “ulasan; huraian.”