Dua Tawarikh 12:1-16

  • Sisak menyerang Yerusalem (1-12)

  • Pemerintahan Rehabeam berakhir (13-16)

12  Tidak lama setelah kedudukan Rehabeam sebagai raja menjadi kuat dan kukuh,+ dia mengabaikan Hukum Yehuwa.+ Semua orang Israel juga berbuat demikian.  Mereka tidak setia kepada Yehuwa, maka pada tahun kelima pemerintahan Raja Rehabeam, Raja Sisak+ dari Mesir menyerang Yerusalem.  Raja Sisak membawa 1,200 buah kereta kuda dan 60,000 orang askar berkuda. Selain itu, dia juga membawa pasukan askar dari Mesir, yang terdiri daripada orang Libia, Sukiim, dan Etiopia.* Bilangan mereka tidak dapat dikira.+  Dia menawan kota-kota berkubu di Yehuda, dan akhirnya dia tiba di Yerusalem.  Rehabeam dan para pemimpin orang Yehuda berkumpul di Yerusalem kerana mereka takut kepada Sisak. Nabi Semaya+ menghadap mereka dan berkata, “Inilah firman Yehuwa: ‘Kamu telah meninggalkan Aku, maka Aku juga akan meninggalkan kamu+ dan menyerahkan kamu ke dalam tangan Sisak.’”  Maka raja dan para pemimpin itu merendahkan diri dan berkata,+ “Yehuwa melakukan apa yang benar.”  Apabila Yehuwa nampak bahawa mereka telah merendahkan diri, Yehuwa berfirman kepada Semaya, “Aku tidak akan membinasakan mereka kerana mereka telah merendahkan diri.+ Aku akan menyelamatkan mereka tidak lama lagi. Aku tidak akan menggunakan Sisak untuk melampiaskan kemurkaan-Ku atas Yerusalem.  Tetapi mereka akan menjadi hamba Sisak supaya mereka tahu perbezaan antara mengabdikan diri kepada-Ku dengan mengabdikan diri kepada raja-raja negeri lain.”  Maka Raja Sisak dari Mesir menyerang Yerusalem. Dia mengambil harta dari Rumah Yehuwa+ dan istana raja. Dia mengambil semuanya, termasuk perisai-perisai emas yang dibuat oleh Salomo.+ 10  Oleh itu, Raja Rehabeam membuat perisai-perisai tembaga untuk menggantikan perisai-perisai emas itu. Dia mempercayakan semua perisai itu kepada ketua pengawal yang menjaga pintu masuk istana raja. 11  Setiap kali raja masuk ke dalam Rumah Yehuwa, para pengawal mengiringinya sambil mengangkat perisai-perisai itu, dan kemudian mereka akan mengembalikan semuanya ke dalam bilik pengawal. 12  Oleh sebab raja merendahkan dirinya dan masih ada hal-hal yang baik di Yehuda,+ Yehuwa tidak lagi murka terhadap raja+ dan Dia tidak memusnahkan mereka sama sekali.+ 13  Raja Rehabeam mengukuhkan kedudukannya di Yerusalem dan terus memerintah sebagai raja. Rehabeam berusia 41 tahun semasa dia menjadi raja, dan dia memerintah selama 17 tahun di Yerusalem. Kota itu telah dipilih oleh Yehuwa dari seluruh kawasan suku Israel, supaya nama-Nya ada di sana. (Ibu Rehabeam ialah Naama, seorang wanita Ammon.)+ 14  Tetapi Rehabeam melakukan apa yang jahat kerana dia tidak bertekad dalam hatinya untuk mencari Yehuwa.+ 15  Rehabeam dan Yerobeam selalu berperang.+ Kisah hidup Rehabeam dari mula sampai akhir telah dicatatkan dalam daftar salasilah keluarga yang ditulis oleh Nabi Semaya+ dan Ido.+ (Ido ialah seorang lelaki yang menyampaikan penglihatan daripada Tuhan.) 16  Kemudian Rehabeam meninggal lalu dikebumikan bersama nenek moyangnya di Kota Daud,+ dan anak lelakinya yang bernama Abia+ menggantikannya sebagai raja.

Nota Kaki

Atau “Habsyah.”