Dua Tawarikh 10:1-19

  • Orang Israel memberontak terhadap Rehabeam (1-19)

10  Rehabeam telah pergi ke kota Sikhem+ kerana semua orang Israel telah berkumpul di Sikhem untuk menjadikannya raja.+  (Pada masa itu, Yerobeam+ anak Nebat masih berada di Mesir. Dia melarikan diri ke situ disebabkan Raja Salomo.)+ Sebaik sahaja Yerobeam mendengar tentang hal itu, dia bertolak dari Mesir  kerana dia disuruh pulang. Yerobeam dan segenap umat Israel menghadap Rehabeam dan berkata,  “Ayahanda tuanku telah memberi hamba sekalian beban yang berat.+ Sekarang jika tuanku meringankan beban hamba sekalian dan tidak memperlakukan hamba sekalian dengan kasar, hamba sekalian akan mengabdi kepada tuanku.”  Maka raja berkata kepada mereka, “Datanglah kepada beta selepas tiga hari.” Jadi semua orang pun pergi dari situ.+  Selepas itu, Raja Rehabeam meminta nasihat daripada para orang tua.* Mereka telah berkhidmat sebagai penasihat bapanya Salomo ketika bapanya masih hidup. Rehabeam bertanya, “Bagaimanakah beta harus menjawab mereka? Apakah nasihat kamu?”  Para orang tua itu menjawab, “Jika tuanku baik terhadap mereka, menggembirakan hati mereka, dan memberikan jawapan yang menyenangkan hati mereka, mereka akan sentiasa menjadi hamba-hamba tuanku.”  Tetapi dia menolak nasihat para orang tua itu. Dia meminta nasihat daripada pemuda-pemuda yang telah membesar bersamanya dan kini berkhidmat sebagai pembantunya.+  Dia bertanya kepada mereka, “Apakah nasihat kamu? Mereka memohon beta untuk meringankan beban berat yang telah dikenakan oleh ayahanda beta. Jadi apakah yang harus kita katakan kepada mereka?” 10  Pemuda-pemuda itu berkata, “Rakyat telah memohon, ‘Ringankan beban yang dikenakan oleh ayahanda tuanku atas hamba sekalian.’ Maka tuanku harus memberitahu mereka, ‘Jari kelengkeng beta lebih besar daripada pinggang ayahanda beta. 11  Ayahanda beta memberi kamu beban yang berat, tetapi beta akan memberi kamu beban yang lebih berat. Ayahanda beta menyebat kamu dengan cambuk, tetapi beta akan berbuat demikian dengan cambuk yang berduri besi.’” 12  Pada hari ketiga, Yerobeam dan semua orang datang menghadap Rehabeam. Hal ini demikian kerana Rehabeam telah berkata, “Datanglah kepada beta pada hari ketiga.”+ 13  Tetapi raja menjawab rakyat dengan kasar. Raja Rehabeam menolak nasihat yang diberikan oleh para orang tua. 14  Dia menjawab mereka menurut nasihat yang diberikan oleh pemuda-pemuda itu. Katanya, “Beta akan menambah beban kamu. Ya, beta akan memberi kamu beban yang lebih berat. Ayahanda beta menyebat kamu dengan cambuk, tetapi beta akan berbuat demikian dengan cambuk yang berduri besi.” 15  Demikianlah raja telah menolak permintaan rakyatnya. Yehuwalah yang menyebabkan hal-hal ini terjadi supaya firman Tuhan yang benar+ yang disampaikan oleh Ahia+ orang Silo kepada Yerobeam anak Nebat menjadi kenyataan. 16  Memandangkan raja enggan mendengarkan permintaan orang Israel, mereka pun berkata, “Apakah kaitan kami dengan Daud? Kami tidak mendapat warisan daripada anak Isai. Hai orang Israel, kembalilah kepada tuhan kamu masing-masing! Hai keturunan Daud, jagalah dirimu sendiri!”+ Setelah itu, mereka semua pulang.+ 17  Oleh itu, Rehabeam hanya dapat memerintah orang Israel yang tinggal di kota-kota Yehuda.+ 18  Kemudian Raja Rehabeam+ mengutus Hadoram kepada orang Israel. Hadoram bertanggungjawab atas orang yang diwajibkan untuk bekerja bagi raja, tetapi orang Israel merejamnya sampai mati. Raja Rehabeam pun segera menaiki kereta kudanya dan melarikan diri ke Yerusalem.+ 19  Sejak itu, orang Israel memberontak terhadap keluarga Daud.

Nota Kaki

Atau “para penatua.”