Dua Samuel 19:1-43

  • Daud meratapi kematian Absalom (1-4)

  • Yoab menegur Daud (5-8a)

  • Daud pulang ke Yerusalem (8b-15)

  • Simei meminta ampun (16-23)

  • Mefiboset didapati tidak bersalah (24-30)

  • Barzilai diberi penghormatan (31-40)

  • Pertengkaran antara suku (41-43)

19  Yoab mendapat laporan bahawa raja sedang berkabung dan meratapi kematian Absalom.+  Kegembiraan atas kemenangan* pada hari itu bertukar menjadi perkabungan bagi semua orang kerana mereka mendengar bahawa raja sedang berkabung untuk anaknya.  Mereka pulang ke kota+ dengan senyap, seperti askar yang malu kerana sudah lari dari pertempuran.  Raja menutupi mukanya dan terus meraung dengan kuat, “Anakku Absalom! Oh anakku Absalom!”+  Yoab menghadap raja dan berkata, “Hari ini, tuanku telah memalukan semua hamba tuanku yang telah menyelamatkan nyawa tuanku, anak-anak tuanku,+ isteri tuanku, dan gundik-gundik tuanku.+  Tuanku mengasihi orang yang membenci tuanku, dan membenci orang yang mengasihi tuanku. Tuanku telah menunjukkan bahawa para pemimpin dan hamba-hamba tuanku sama sekali tidak penting di mata tuanku. Nampaknya tuanku lebih suka jika Absalom masih hidup dan kami semua mati.  Sekarang tuanku perlu bangun dan pergi berjumpa dengan para hamba tuanku dan menenteramkan hati mereka. Hamba bersumpah demi Yehuwa bahawa jika tuanku tidak pergi berjumpa dengan mereka, tiada seorang pun yang akan terus berada di sisi tuanku malam ini. Hal ini jauh lebih buruk daripada semua malapetaka yang pernah menimpa tuanku sejak masa muda tuanku.”  Raja pun bangun dan pergi duduk di pintu gerbang, dan semua orang mendengar bahawa raja sedang duduk di situ. Maka mereka datang menghadap raja. Orang Israel yang lain telah melarikan diri dan balik ke rumah masing-masing.+  Semua orang daripada semua suku Israel bertengkar sesama sendiri. Mereka berkata, “Raja telah menyelamatkan kita daripada musuh kita.+ Baginda telah menyelamatkan kita daripada orang Filistin. Tetapi sekarang baginda telah melarikan diri daripada Absalom dan meninggalkan negeri ini.+ 10  Kita telah melantik Absalom menjadi raja kita,+ tetapi dia sudah mati dalam pertempuran.+ Jadi sekarang, mengapa kamu tidak berusaha untuk membawa raja kembali?” 11  Raja Daud menghantar pesanan berikut kepada Imam Zadok+ dan Imam Abiatar:+ “Tanyalah para pemimpin orang Yehuda,+ ‘Mengapakah kamu berlambat-lambat untuk membawa beta kembali ke istana beta? Beta telah dimaklumkan di tempat kediaman beta bahawa semua orang Israel ingin membawa beta kembali. 12  Kamulah saudara-saudara beta, dan kamulah darah daging* beta. Mengapakah kamu orang terakhir yang ingin membawa beta pulang?’ 13  Selain itu, katakanlah kepada Amasa:+ ‘Bukankah kamu darah daging beta? Beta melantik kamu untuk menggantikan Yoab sebagai ketua tentera. Biarlah Tuhan menghukum beta, dan melipatgandakan hukuman-Nya atas beta, jika hal ini tidak terjadi.’”+ 14  Demikianlah raja mengambil hati semua orang Yehuda, dan mereka menghantar pesanan kepada raja, “Tuanku pulanglah bersama-sama semua hamba tuanku.” 15  Raja berangkat dan sampai di Sungai Yordan. Orang Yehuda pergi ke Gilgal+ untuk berjumpa dengan raja dan mengiringinya menyeberangi sungai itu. 16  Simei+ anak Gera, orang Benyamin dari Bahurim, segera datang bersama orang Yehuda untuk berjumpa dengan Raja Daud. 17  Dia juga membawa 1,000 orang Benyamin bersamanya. Selain itu, Ziba,+ iaitu hamba keluarga Saul, cepat-cepat pergi ke Sungai Yordan bersama 15 orang anak lelakinya dan 20 orang hambanya. Mereka tiba di sungai itu lebih awal daripada raja. 18  Ziba* menyeberangi sungai itu untuk mengiringi seisi keluarga raja dan untuk melakukan segala perintah raja. Apabila raja hendak menyeberangi Sungai Yordan, Simei anak Gera bersujud di hadapannya. 19  Dia berkata, “Ampun tuanku, maafkanlah kesalahan hamba. Hamba mohon agar tuanku melupakan kesalahan yang hamba lakukan+ pada hari tuanku meninggalkan Yerusalem. Janganlah ambil hati dengan apa yang telah hamba lakukan, 20  kerana hamba sedar bahawa hamba telah berdosa. Itulah sebabnya pada hari ini, hambalah orang pertama dalam keluarga Yusuf yang tiba di sini untuk berjumpa dengan tuanku.” 21  Abisai+ anak Zeruya+ segera berkata, “Simei patut dibunuh, kerana dia telah mengutuk orang yang diurapi Yehuwa!”+ 22  Tetapi Daud berkata, “Wahai anak-anak Zeruya,+ jangan masuk campur! Mengapa pula kamu menentang kehendak beta? Betalah raja Israel dan tiada seorang pun yang akan dihukum mati pada hari ini!” 23  Raja berkata kepada Simei, “Kamu tidak akan mati.” Raja juga bersumpah kepadanya.+ 24  Mefiboset,+ cucu Saul, juga datang untuk berjumpa dengan raja. Dia tidak mencuci kaki dan bajunya atau menggunting misainya sejak raja meninggalkan kota sehingga raja pulang dengan selamat. 25  Apabila dia datang ke* Yerusalem untuk menghadap raja, raja bertanya kepadanya, “Mefiboset, mengapa kamu tidak ikut bersama beta?” 26  Dia menjawab, “Tuanku, hamba tempang,+ maka hamba berkata kepada pelayan hamba,+ ‘Pasangkanlah pelana pada keldaiku supaya aku dapat menunggang keldai itu dan mengikut raja.’ Tetapi pelayan itu telah menipu hamba. 27  Pelayan itu juga memfitnah hamba di hadapan tuanku.+ Namun tuanku seperti malaikat Tuhan yang benar. Maka lakukanlah apa sahaja yang tuanku mahu. 28  Seisi rumah tangga bapa hamba sepatutnya dihukum mati, tetapi tuanku membenarkan hamba makan di meja tuanku.+ Jadi hamba langsung tidak berhak untuk memohon apa-apa lagi daripada tuanku.” 29  Raja berkata, “Sudahlah, jangan bercakap lagi. Inilah keputusan beta: Kamu dan Ziba akan berkongsi tanah itu.”+ 30  Mefiboset pun berkata, “Tuanku, biarlah Ziba mengambil semuanya. Hamba sudah puas hati kerana tuanku sudah pulang ke istana dengan sejahtera.” 31  Kemudian Barzilai,+ orang Gilead itu, datang dari Rogelim ke daerah Yordan untuk mengiringi raja ke Sungai Yordan. 32  Barzilai sudah sangat tua. Dia berumur 80 tahun, dan dia seorang lelaki yang sangat kaya. Semasa raja tinggal di Mahanaim,+ dia membekalkan makanan kepada raja. 33  Oleh itu, raja berkata kepada Barzilai, “Ikutlah beta. Kamu akan makan di meja beta di Yerusalem.”+ 34  Barzilai menjawab, “Hamba tidak akan hidup lama lagi. Jadi apa gunanya hamba ikut tuanku ke Yerusalem? 35  Sekarang hamba sudah berusia 80 tahun.+ Dapatkah hamba menilai apa yang baik dan apa yang buruk? Dapatkah hamba merasai apa yang hamba makan dan minum? Adakah hamba masih dapat mendengar suara para penyanyi lelaki dan wanita?+ Hamba hanya akan menjadi beban kepada tuanku. 36  Tuanku tidak perlu memberikan ganjaran ini kepada hamba. Hamba sudah bersyukur kerana dapat mengiringi tuanku ke Sungai Yordan. 37  Izinkanlah hamba pulang, tuanku. Biarlah hamba mati di kota hamba, dekat kuburan ibu bapa hamba.+ Ini dia Kimham.+ Benarkanlah dia mengikuti tuanku, dan lakukanlah apa sahaja yang tuanku mahu terhadapnya.” 38  Raja berkata, “Baiklah, Kimham akan mengikut beta, dan beta akan melakukan apa saja baginya menurut kehendakmu. Beta akan menunaikan segala permintaanmu.” 39  Semua orang pun menyeberangi Sungai Yordan. Apabila raja menyeberangi sungai itu, dia mencium Barzilai+ lalu memberkatinya. Kemudian Barzilai pulang ke rumahnya. 40  Raja menyeberangi sungai dan pergi ke Gilgal.+ Kimham pun mengikutnya. Semua orang Yehuda dan separuh daripada orang Israel juga menyeberangi sungai itu bersama raja.+ 41  Selepas itu, semua orang Israel yang lain menghampiri raja dan berkata kepadanya, “Mengapakah saudara kami, orang Yehuda, telah membawa tuanku pergi secara senyap-senyap? Mengapakah mereka membawa tuanku, seisi rumah tuanku, dan semua anak buah tuanku ke seberang Sungai Yordan?”+ 42  Semua orang Yehuda menjawab, “Kerana raja ialah saudara dekat kami.+ Mengapa pula kamu semua marah-marah? Kami bukannya memakan makanan yang dibeli oleh raja, atau menerima hadiah daripadanya.” 43  Tetapi orang Israel berkata, “Kami lebih berhak terhadap raja, kerana kami mempunyai 10 buah suku. Jadi mengapakah kamu menghina kami? Bukankah kami yang pertama-tama harus membawa raja kembali?” Namun kata-kata orang Yehuda lebih tajam dan keras daripada kata-kata orang Israel.

Nota Kaki

Atau “penyelamatan.”
Atau “keluarga.”
Atau mungkin, “Mereka.”
Atau mungkin, “datang dari.”