Dua Samuel 18:1-33

  • Absalom dikalahkan dan dibunuh (1-18)

  • Daud mendapat berita tentang kematian Absalom (19-33)

18  Daud mengira bilangan anak buahnya lalu membahagikan mereka menjadi beberapa pasukan yang terdiri daripada 1,000 orang dan 100 orang. Dia juga melantik beberapa orang untuk mengetuai pasukan-pasukan itu.+  Setelah itu, Daud menyuruh mereka berangkat dalam tiga kumpulan. Satu kumpulan dipimpin oleh Yoab,+ satu kumpulan dipimpin oleh abang Yoab, iaitu Abisai+ anak Zeruya,+ dan satu lagi kumpulan dipimpin oleh Itai,+ orang Gat itu. Raja berkata kepada mereka, “Beta juga akan pergi bersama kamu.”  Tetapi mereka berkata, “Janganlah ikut kami, tuanku.+ Jika kami melarikan diri atau separuh daripada bilangan kami mati, musuh tidak kisah, kerana nyawa tuanku lebih bernilai daripada nyawa 10,000 orang askar.+ Jadi lebih baik tuanku menghantar bantuan kepada kami dari kota.”  Raja menjawab, “Baiklah, terserahlah kepada kamu. Beta akan lakukan apa yang kamu inginkan.” Kemudian raja berdiri di sisi pintu gerbang kota, sementara anak buahnya keluar dalam pasukan yang terdiri daripada 1,000 dan 100 orang.  Raja memberikan perintah berikut kepada Yoab, Abisai, dan Itai: “Demi beta, janganlah berlaku kasar terhadap Absalom, anak muda itu.”+ Semua orang mendengar raja memberikan perintah ini kepada para ketua pasukan.  Mereka maju untuk bertempur dengan tentera Israel, dan mereka bertempur di hutan Efraim.+  Anak buah Daud mengalahkan tentera Israel+ dan banyak orang yang mati. Sebanyak 20,000 orang terkorban pada hari itu.  Pertempuran tersebar ke seluruh kawasan itu, dan pada hari itu, lebih banyak orang yang mati di dalam hutan daripada yang mati dibunuh dengan pedang.  Akhirnya Absalom bertemu dengan anak buah Daud. Pada waktu itu, Absalom sedang menunggang seekor baghal, dan baghal itu lalu di bawah sebatang pokok besar yang banyak dahannya. Rambut Absalom tersangkut pada dahan pokok itu, tetapi baghal itu terus berlari sedangkan Absalom tergantung di situ. 10  Seorang lelaki nampak hal ini berlaku lalu berkata kepada Yoab,+ “Tuan, tadi aku nampak Absalom tergantung pada sebatang pokok yang besar.” 11  Yoab menjawab, “Kalau kamu nampak dia, mengapa kamu tidak terus membunuhnya di situ? Pasti aku akan memberi kamu 10 keping perak dan seutas tali pinggang.” 12  Tetapi lelaki itu berkata, “Biarpun aku diberi 1,000 keping perak, aku tidak akan mengapa-apakan anak raja, kerana kami telah mendengar apa yang diperintahkan oleh raja kepada tuan, Abisai, dan Itai. Raja telah berkata, ‘Tiada sesiapa pun yang boleh mencederakan Absalom, anak muda itu.’+ 13  Jika aku mengingkari raja dan membunuh Absalom, tentu hal itu akan diketahui oleh raja, dan tuan pasti tidak akan membelaku.” 14  Yoab berkata, “Ah, sudahlah! Buang masa saja bercakap dengan kamu!” Maka Yoab mengambil tiga batang kayu yang tajam* dan menikam jantung Absalom sewaktu dia masih hidup dan tergantung pada pokok besar itu. 15  Kemudian 10 orang hamba yang membawa senjata Yoab datang dan memukul Absalom sehingga dia mati.+ 16  Yoab meniup trompet agar askar-askarnya kembali. Demikianlah Yoab menyuruh mereka berhenti mengejar tentera orang Israel. 17  Mereka mengambil mayat Absalom dan membuangnya ke dalam sebuah lubang yang besar di hutan lalu menimbuni mayatnya dengan banyak batu.+ Sementara itu, semua orang Israel melarikan diri ke rumah masing-masing. 18  Semasa Absalom masih hidup, dia telah mengambil sebuah tugu dan mendirikan tugu itu di Lembah* Raja+ untuk dirinya. Katanya, “Aku tidak mempunyai anak lelaki yang akan membuat namaku terus diingati.”+ Itulah sebabnya dia menamakan tugu itu menurut namanya sendiri. Tugu itu dipanggil Tugu Absalom sehingga hari ini. 19  Ahimaas+ anak Zadok berkata, “Benarkanlah aku pergi untuk menyampaikan berita ini kepada raja, kerana Yehuwa telah memberikan keadilan kepada baginda. Dia telah menyelamatkan baginda daripada musuh.”+ 20  Tetapi Yoab menjawab, “Kamu tidak boleh menyampaikan berita pada hari ini. Kamu boleh melakukannya pada hari lain, tetapi bukan hari ini, kerana anak raja telah meninggal.”+ 21  Kemudian Yoab berkata kepada seorang lelaki Kus,+ “Pergilah kepada raja dan beritahulah baginda apa yang telah kamu nampak.” Lelaki itu bersujud di hadapan Yoab lalu beredar dengan cepat. 22  Ahimaas anak Zadok berkata sekali lagi kepada Yoab, “Biar apa pun yang terjadi, benarkanlah aku berlari mengikut orang Kus itu.” Yoab berkata, “Mengapakah kamu masih mahu pergi sedangkan tiada berita yang dapat kamu sampaikan?” 23  Ahimaas berkata lagi, “Biar apa pun yang terjadi, benarkanlah aku pergi.” Maka Yoab berkata, “Jika begitu, pergilah!” Ahimaas pun berlari dan mengambil jalan yang melalui daerah Yordan, dan dia berjaya mendahului orang Kus itu. 24  Daud sedang duduk di ruang antara pintu gerbang sebelah dalam dengan pintu gerbang sebelah luar kota,+ dan seorang pengawal+ naik ke bumbung pintu gerbang yang bersambung dengan tembok. Semasa pengawal itu melayangkan pandangannya, dia nampak seorang lelaki berlari. 25  Dia berseru dan memberitahukan hal itu kepada raja. Raja berkata, “Jika dia datang seorang diri, maksudnya dia membawa berita.” Apabila lelaki yang berlari itu semakin hampir, 26  pengawal itu nampak seorang lagi lelaki berlari. Kemudian pengawal itu berkata kepada penjaga pintu, “Lihat! Ada seorang lagi lelaki yang sedang berlari!” Raja berkata, “Lelaki ini juga membawa berita.” 27  Pengawal itu berkata, “Lelaki yang pertama itu mungkin Ahimaas+ anak Zadok. Hamba tahu daripada cara dia berlari.” Raja berkata, “Dia orang yang baik, tentu dia membawa berita yang baik.” 28  Tidak lama kemudian, Ahimaas berseru kepada raja, “Hamba membawa berita baik!” Kemudian dia membongkok dan bersujud kepada raja lalu berkata, “Terpujilah Yehuwa, Tuhan tuanku! Dia telah menyerahkan pemberontak-pemberontak itu ke dalam tangan tuanku.”+ 29  Raja bertanya, “Adakah anakku Absalom selamat?” Ahimaas menjawab, “Ketika Yoab mengutus hamba dan seorang lagi utusan raja, hamba nampak kekecohan yang besar. Tetapi hamba tidak tahu apa yang berlaku.”+ 30  Oleh itu, raja berkata, “Pergilah ke tepi dan berdirilah di sana.” Ahimaas pun pergi ke tepi dan berdiri di situ. 31  Kemudian orang Kus itu sampai+ dan berkata kepada raja, “Hamba membawa berita ini kepada tuanku: Hari ini, Yehuwa telah memberikan keadilan kepada tuanku. Dia telah menyelamatkan tuanku daripada cengkaman para pemberontak.”+ 32  Raja bertanya kepada orang Kus itu, “Adakah anakku Absalom selamat?” Orang Kus itu menjawab, “Semoga semua musuh tuanku dan semua pemberontak yang ingin mencelakakan tuanku mendapat akibat yang sama seperti anak muda itu!”+ 33  Setelah raja mendengar hal itu, dia berasa sangat sedih. Dia pergi ke sebuah bilik di atas bumbung pintu gerbang. Sambil berjalan, dia menangis dan berkata, “Anakku Absalom, oh anakku Absalom! Lebih baik aku yang mati, anakku! Oh anakku Absalom!”+

Nota Kaki

Atau mungkin, “damak; tombak.”
Atau “Dataran Rendah.”