Dua Samuel 12:1-31

  • Natan menegur Daud (1-15a)

  • Anak Bat-syeba mati (15b-23)

  • Bat-syeba melahirkan Salomo (24, 25)

  • Kota orang Ammon, iaitu Raba, ditawan (26-31)

12  Yehuwa mengutus Natan+ kepada Daud. Natan menghadap Daud+ dan berkata, “Ada dua orang lelaki yang tinggal di sebuah kota, yang seorang kaya dan yang seorang lagi miskin.  Si kaya mempunyai banyak biri-biri dan lembu.+  Tetapi si miskin tidak mempunyai apa-apa, kecuali seekor anak biri-biri betina.+ Dia telah membeli biri-biri itu dan memeliharanya. Biri-biri itu membesar bersama dia dan anak-anak lelakinya. Walaupun dia tidak mempunyai banyak makanan, dia akan berkongsi makanan dengan biri-birinya. Biri-biri itu juga minum dari cawannya dan tidur dalam pangkuannya. Ya, biri-biri itu diperlakukan seperti anak perempuannya sendiri.  Pada suatu hari, ada tetamu yang datang kepada si kaya. Tetapi si kaya tidak mahu mengambil biri-biri atau lembunya untuk dihidangkan kepada tetamunya itu. Sebaliknya, dia mengambil anak bebiri si miskin lalu memasaknya untuk tetamu itu.”+  Setelah Daud mendengar hal itu, dia begitu marah terhadap lelaki kaya itu. Dia berkata kepada Natan, “Demi Yehuwa, Tuhan yang hidup,+ beta bersumpah bahawa lelaki itu patut mati!  Dia mesti membayar ganti rugi empat kali ganda untuk anak biri-biri itu,+ kerana perbuatannya itu dan kerana dia tidak berbelas kasihan.”  Maka Natan berkata kepada Daud, “Tuankulah lelaki itu! Yehuwa, Tuhan orang Israel, berfirman kepada tuanku, ‘Aku telah mengurapi engkau menjadi raja Israel+ dan menyelamatkan engkau daripada tangan Saul.+  Aku juga telah memberikan seisi rumah Saul+ dan isteri-isterinya+ kepadamu. Aku menjadikan engkau raja orang Israel dan Yehuda.+ Jika semua ini masih tidak cukup, Aku rela memberi engkau lebih banyak berkat.+  Mengapakah engkau menghina firman Yehuwa dan melakukan perbuatan jahat itu? Engkau telah membunuh Uria, orang Het itu, dengan pedang!+ Engkau mengambil isterinya+ selepas engkau membunuhnya dengan pedang orang Ammon.+ 10  Oleh sebab engkau menghina Aku dan mengambil isteri Uria, keluargamu+ akan sentiasa dilanda malapetaka.’* 11  Inilah firman Yehuwa: ‘Aku akan menimpa engkau dengan malapetaka yang disebabkan oleh keluargamu sendiri.+ Aku akan mengambil isteri-isterimu dari depan matamu, dan memberikan mereka kepada lelaki lain.+ Lelaki itu akan meniduri mereka di hadapan semua orang.+ 12  Meskipun engkau bertindak secara sembunyi-sembunyi,+ Aku akan berbuat demikian di hadapan semua orang Israel secara terang-terangan.’” 13  Daud berkata kepada Natan, “Sesungguhnya beta telah berdosa terhadap Yehuwa.”+ Natan menjawab, “Yehuwa mengampunkan dosa tuanku.+ Tuanku tidak akan mati.+ 14  Tetapi memandangkan tuanku telah menghina Yehuwa dengan melakukan hal itu, anak lelaki tuanku yang baru lahir itu akan mati.” 15  Kemudian Natan pulang ke rumahnya. Yehuwa menyebabkan anak yang dilahirkan oleh isteri Uria itu jatuh sakit. 16  Daud merayu kepada Tuhan yang benar supaya anak itu sembuh. Dia berpuasa dan masuk ke biliknya lalu berbaring di atas lantai sepanjang malam.+ 17  Para pemimpin di istana menghampiri Daud dan mencuba membangunkannya dari lantai. Tetapi dia tidak mahu bangun dan dia juga enggan makan bersama mereka. 18  Anak itu mati pada hari yang ketujuh. Tetapi para pegawai Daud tidak berani memberitahukan hal ini kepadanya. Mereka berkata, “Semasa anak itu masih hidup, baginda tidak mahu mendengar cakap kita. Apalagi sekarang, bagaimana mungkin kita memberitahu baginda bahawa anak itu sudah mati? Jangan-jangan baginda akan melakukan sesuatu yang buruk.” 19  Apabila Daud nampak mereka berbisik-bisik, dia sedar bahawa anaknya sudah mati. Dia pun berkata kepada mereka, “Adakah anak itu sudah mati?” Mereka menjawab, “Ya tuanku.” 20  Dia pun bangun dari lantai, dan pergi mandi lalu menyapu minyak pada badannya.+ Dia menyalin pakaian dan pergi ke rumah+ Yehuwa untuk beribadat. Kemudian dia kembali ke istana dan meminta orang menghidangkan makanan supaya dia dapat makan. 21  Mereka berkata kepada Daud, “Sewaktu anak itu masih hidup, tuanku berpuasa dan asyik menangis. Tetapi sebaik sahaja anak itu mati, tuanku bangun lalu makan. Mengapakah tuanku berbuat demikian?” 22  Dia menjawab, “Sewaktu anak itu masih hidup, beta berpuasa+ dan asyik menangis kerana beta berfikir, ‘Mungkin Yehuwa akan berbelas kasihan terhadap beta dan membiarkan anak itu hidup.’+ 23  Tetapi memandangkan anak itu sudah mati, mengapa pula beta harus berpuasa? Dapatkah beta membawanya kembali?+ Beta akan pergi kepadanya,+ tetapi dia tidak akan kembali kepada beta.”+ 24  Daud menghiburkan hati isterinya, Bat-syeba.+ Kemudian dia bersetubuh dengan isterinya, dan beberapa lama kemudian, isterinya melahirkan seorang anak lelaki. Anak itu dinamakan Salomo,*+ dan Yehuwa mengasihi anak itu.+ 25  Yehuwa menyuruh Nabi Natan+ menamakan anak itu Yedidiya,* kerana Dia mengasihinya. 26  Yoab terus menyerang Raba,+ kota orang Ammon,+ sehingga dia berjaya menawan kota diraja itu.+ 27  Oleh itu, dia menghantar utusan kepada Daud dengan pesanan: “Hamba telah menyerang Raba+ dan berjaya menawan kota air* itu. 28  Sekarang tuanku, kumpulkanlah askar-askar lain dan kepunglah kota itu supaya tuanku dapat menaklukinya. Jika tidak, hamba akan melakukannya dan orang akan berkata bahawa hambalah yang menakluki kota itu.”* 29  Daud pun mengumpulkan semua askarnya dan menyerang Raba sehingga dia berjaya menaklukinya. 30  Kemudian dia mengambil mahkota Malkam* dari kepalanya lalu memakainya. Mahkota itu diperbuat daripada kira-kira 34 kilogram* emas, dan dihiasi dengan batu-batu berharga. Selain itu, Daud mengambil banyak barang jarahan+ dari kota itu.+ 31  Dia juga membawa semua penduduk kota itu keluar dan menyuruh mereka bekerja. Ada yang disuruh memotong batu, ada yang disuruh bekerja dengan menggunakan alat-alat besi yang tajam dan kapak besi, dan ada juga yang disuruh membuat batu bata. Itulah yang dilakukan oleh Daud kepada penduduk di semua kota orang Ammon. Kemudian Daud dan seluruh tenteranya kembali ke Yerusalem.

Nota Kaki

Harfiah, “pedang tidak akan meninggalkan keluargamu.”
Daripada perkataan Ibrani yang bermaksud “Aman.”
Maksudnya “Dikasihi Yehuwa.”
Mungkin merujuk kepada sumber air kota itu.
Harfiah, “dan kota itu akan dinamakan dengan nama hamba.”
Lihat Kamus.
Harfiah, “1 talenta.” Lihat Lampiran B14.