Dua Samuel 11:1-27

  • Daud berzina dengan Bat-syeba (1-13)

  • Rancangan Daud untuk membunuh Uria (14-25)

  • Daud menjadikan Bat-syeba isterinya (26, 27)

11  Pada awal tahun,* iaitu pada masa raja-raja biasanya pergi berperang, Daud mengutus Yoab, para pegawainya, dan seluruh tentera Israel untuk melenyapkan orang Ammon. Mereka mengepung Raba+ sementara Daud tinggal di Yerusalem.+  Pada suatu petang,* Daud bangun daripada tidur dan pergi berjalan-jalan di atas bumbung istananya. Dari situ, dia nampak seorang wanita sedang mandi, dan wanita itu sangat cantik.  Daud menyuruh orang menanyakan siapa wanita itu. Orang itu menjawab, “Wanita itu ialah Bat-syeba,+ anak perempuan Eliam.+ Dia ialah isteri Uria,+ orang Het+ itu.”  Daud menyuruh para utusan untuk membawa Bat-syeba kepadanya.+ Maka Bat-syeba datang kepada Daud, dan Daud menidurinya.+ (Hal ini terjadi ketika Bat-syeba sedang menjalani upacara penyucian diri.*)+ Selepas itu, Bat-syeba pulang ke rumahnya.  Bat-syeba mendapati dirinya hamil, dan dia menghantar pesanan kepada Daud untuk memberitahu Daud tentang hal itu.  Maka Daud mengirim pesanan kepada Yoab, “Suruhlah Uria, orang Het itu, untuk datang kepada beta.” Yoab pun menyuruh Uria pergi menghadap Daud.  Apabila Uria sampai, Daud bertanya kepadanya tentang keadaan Yoab, keadaan pasukan tentera, dan keadaan peperangan.  Kemudian Daud berkata kepada Uria, “Pulanglah ke rumahmu dan berehatlah.”* Setelah Uria meninggalkan istana, hadiah raja* dihantar kepadanya.  Tetapi Uria tidak pulang ke rumahnya. Dia tidur di pintu masuk istana bersama semua hamba Daud yang lain. 10  Daud mendapat laporan bahawa Uria tidak pulang ke rumah. Oleh itu, dia berkata kepada Uria, “Bukankah kamu baru pulang dari perjalanan? Mengapa kamu tidak pulang ke rumahmu?” 11  Uria menjawab, “Orang Israel dan orang Yehuda sedang tinggal di dalam khemah, dan tabut perjanjian+ ada bersama mereka. Yoab dan anak buahnya juga sedang berkhemah di padang rumput. Maka patutkah hamba kembali ke rumah sendiri untuk makan minum dan tidur dengan isteri hamba?+ Selagi tuanku masih hidup dan bernafas, hamba tidak akan berbuat demikian!” 12  Daud berkata kepada Uria, “Tinggallah di sini juga pada hari ini, dan esok barulah beta akan menghantar kamu pergi.” Jadi Uria tinggal di Yerusalem pada hari itu dan hari yang berikutnya. 13  Daud memanggil Uria untuk makan dan minum bersama-samanya. Lalu Daud membuatnya mabuk. Tetapi pada petang itu, Uria tidak pulang ke rumahnya. Dia tidur di atas katil di samping hamba-hamba Daud. 14  Pada waktu pagi, Daud menulis surat kepada Yoab dan menyuruh Uria membawa surat itu. 15  Surat itu berbunyi, “Tempatkan Uria di barisan hadapan, kerana di situlah pertempuran paling sengit. Kemudian berundurlah dari belakang Uria supaya dia terbunuh.”+ 16  Yoab sedang mengawasi kota musuh, dan dia tahu di mana pahlawan-pahlawan yang gagah berkawal. Maka dia menempatkan Uria di situ. 17  Apabila musuh keluar dari kota untuk menyerang Yoab, beberapa orang pegawai Daud terbunuh, termasuk Uria, orang Het itu.+ 18  Kemudian Yoab menghantar utusan kepada Daud untuk melaporkan keadaan peperangan. 19  Dia memberitahu utusan itu, “Setelah kamu menceritakan keadaan peperangan itu kepada raja, 20  raja mungkin akan marah dan bertanya, ‘Mengapa kamu pergi begitu dekat dengan kota itu ketika berperang? Tidakkah kamu tahu bahawa mereka boleh memanah kamu dari atas tembok? 21  Siapakah yang telah membunuh Abimelekh+ anak Yerubesyet?+ Bukankah dia terbunuh kerana terkena batu kisaran yang dijatuhkan oleh seorang wanita dari atas tembok di Tebes? Sekarang mengapa pula kamu pergi begitu dekat dengan tembok kota?’ Jika raja bertanya demikian, kamu harus berkata, ‘Uria, orang Het itu, turut terkorban, tuanku.’” 22  Utusan itu pergi menghadap Daud dan melaporkan semua yang telah diperintahkan oleh Yoab. 23  Dia berkata, “Musuh lebih kuat daripada kami. Mereka keluar dan menyerang kami di padang. Tetapi kami membalas serangan mereka dan berjaya memaksa mereka mundur ke pintu gerbang kota. 24  Kemudian mereka memanah kami dari atas tembok kota, dan beberapa orang pegawai tuanku terbunuh, termasuk Uria, orang Het itu.”+ 25  Setelah mendengar hal itu, Daud berkata, “Sampaikanlah pesanan ini kepada Yoab: ‘Janganlah susah hati kerana hal ini, kerana pasti ada yang terkorban dalam setiap pertempuran. Lancarkanlah serangan yang lebih hebat sampai kamu berjaya menawan kota itu.’+ Demikianlah kamu harus kuatkan semangatnya.” 26  Ketika Bat-syeba mendengar bahawa suaminya sudah meninggal, dia berkabung baginya. 27  Sebaik sahaja masa berkabung tamat, Daud menjemput Bat-syeba ke istananya. Bat-syeba menjadi isteri Daud+ dan melahirkan seorang anak lelaki. Tetapi Yehuwa sangat membenci apa yang telah dilakukan oleh Daud.+

Nota Kaki

Iaitu, pada musim bunga.
Atau “awal petang.”
Barangkali dia sedang menyucikan diri selepas datang haid.
Harfiah, “dan basuhlah kakimu.”
Iaitu, hadiah yang diberikan oleh tuan rumah kepada tetamu yang dihormati.