Dua Raja-Raja 9:1-37

  • Yehu diurapi sebagai raja Israel (1-13)

  • Yehu membunuh Yehoram dan Ahazia (14-29)

  • Izebel dibunuh; anjing makan mayatnya (30-37)

9  Nabi Elisa memanggil seorang daripada sekumpulan nabi* lalu berkata kepadanya, “Ikatlah jubahmu pada pinggangmu.* Selepas itu, ambillah botol yang berisi minyak ini lalu pergilah ke Ramot-gilead+ dengan segera.  Apabila kamu sampai di sana, carilah Yehu+ anak Yehosafat, cucu Nimsi. Yehu ada bersama saudara-saudaranya. Suruhlah dia meninggalkan mereka lalu bawalah dia ke bilik yang paling belakang.  Kemudian, ambillah botol itu lalu tuangkanlah minyak ke atas kepalanya. Katakan kepadanya, ‘Inilah firman Yehuwa: “Aku melantik engkau sebagai raja Israel.”’+ Selepas itu, bukalah pintu dan larilah dari sana tanpa berlengah-lengah.”  Maka anak nabi itu berangkat ke Ramot-gilead.  Semasa dia tiba, panglima-panglima tentera sedang duduk di sana. Dia berkata, “Tuan panglima, aku membawa pesanan bagimu.” Yehu bertanya, “Untuk siapa?” Dia menjawab, “Untuk tuan.”  Yehu pun berdiri lalu masuk ke dalam rumah. Anak nabi itu menuangkan minyak ke atas kepala Yehu lalu berkata, “Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel: ‘Aku melantik engkau sebagai raja atas seluruh umat Yehuwa, iaitu umat Israel.+  Engkau mesti membunuh semua ahli keluarga Ahab, tuanmu. Aku, Yehuwa, akan melakukan pembalasan bagi semua hamba dan nabi-Ku yang telah mati di tangan Izebel.+  Seluruh rumah tangga Ahab akan dibinasakan. Aku akan melenyapkan semua lelaki Israel yang berasal daripada keluarga Ahab, termasuk yang lemah dan yang tidak berdaya.+  Aku akan menyebabkan keluarga Ahab menjadi seperti keluarga Yerobeam+ anak Nebat dan keluarga Baesa+ anak Ahia. 10  Berkenaan Izebel, anjing-anjing akan memakan mayatnya di sebidang tanah di Yizreel,+ dan dia tidak akan dikebumikan.’” Kemudian, anak nabi itu membuka pintu lalu lari dari situ.+ 11  Semasa Yehu kembali kepada para panglima itu, mereka bertanya, “Apakah yang terjadi? Mengapakah orang gila itu datang mencari kamu?” Yehu menjawab, “Kamu tahulah orang seperti itu selalu cakap perkara yang bukan-bukan.” 12  Tetapi mereka berkata, “Janganlah bohong! Beritahulah kami.” Yehu pun memberitahu mereka apa yang dikatakan oleh anak nabi itu. Katanya, “Anak nabi itu berkata, ‘Inilah firman Yehuwa: “Aku akan melantik engkau sebagai raja Israel.”’”+ 13  Kemudian, mereka segera menanggalkan jubah masing-masing lalu meletakkannya di atas anak tangga+ untuk Yehu. Mereka juga meniup trompet dan berkata, “Yehu telah menjadi raja!”+ 14  Demikianlah Yehu+ anak Yehosafat, cucu Nimsi berkomplot untuk melawan Yehoram. Yehoram dan seluruh tentera Israel sedang berada di Ramot-gilead+ untuk mempertahankan Israel daripada serangan Hazael,+ raja Siria. 15  Tetapi Raja Yehoram telah dicederakan oleh orang Siria semasa dia melawan Hazael.+ Maka dia pulang ke Yizreel+ supaya luka-lukanya sembuh. Yehu berkata, “Jika kamu berpihak kepada beta, jangan biarkan sesiapa pun keluar dari kota untuk melaporkan hal ini di Yizreel.” 16  Selepas itu, Yehu menaiki kereta kudanya lalu berangkat ke Yizreel. Pada masa itu, Yehoram masih berbaring kerana kecederaannya, dan Raja Ahazia dari Yehuda berada di situ untuk melawatnya. 17  Seorang pengawal yang bertugas di menara di Yizreel nampak Yehu dan sekumpulan besar pengikutnya sedang datang. Dia segera berkata, “Hamba nampak sekumpulan besar orang.” Yehoram berkata, “Panggillah seorang askar berkuda dan utuslah dia kepada mereka untuk bertanya, ‘Adakah kamu datang dengan niat baik?’” 18  Maka, seorang askar berkuda keluar menemui Yehu lalu berkata, “Raja bertanya, ‘Adakah kamu datang dengan niat baik?’” Tetapi Yehu menjawab, “Hal ini bukan urusan kamu. Ikutlah kami dari belakang!” Pengawal menara itu melaporkan, “Utusan tuanku sampai kepada mereka, tetapi dia tidak kembali.” 19  Maka raja mengutus seorang lagi askar berkuda. Askar itu pergi kepada mereka dan berkata, “Raja bertanya, ‘Adakah kamu datang dengan niat baik?’” Tetapi Yehu menjawab, “Hal ini bukan urusan kamu. Ikutlah kami dari belakang!” 20  Sekali lagi, pengawal menara itu melaporkan, “Utusan tuanku sampai kepada mereka, tetapi dia tidak kembali. Orang itu membawa kereta kudanya seperti Yehu cucu* Nimsi, yang memandu seperti orang gila.” 21  Maka Yehoram berkata, “Siapkanlah kereta kuda beta!” Setelah kereta kudanya siap, dia dan Raja Ahazia+ dari Israel berangkat dengan kereta kuda masing-masing untuk bertemu dengan Yehu. Mereka bertembung dengan Yehu di tanah milik Nabot,+ orang Yizreel itu. 22  Semasa Yehoram nampak Yehu, dia berkata, “Yehu, adakah kamu datang dengan niat baik?” Yehu menjawabnya, “Mana mungkin aku datang dengan niat baik! Ibumu Izebel+ asyik melakukan perbuatan cabul* dan mengamalkan pelbagai ilmu sihir.”+ 23  Yehoram segera membelokkan kereta kudanya dan melarikan diri. Dia berkata kepada Ahazia, “Ahazia, kita telah ditipu!” 24  Yehu mengambil busurnya lalu memanah Yehoram. Anak panah itu terkena Yehoram di antara bahunya sehingga menembusi jantungnya, lalu dia rebah di dalam kereta kudanya. 25  Kemudian Yehu berkata kepada Bidkar, pegawai tenteranya, “Angkatlah mayat Yehoram dan buangkannya di tanah milik Nabot, orang Yizreel itu.+ Adakah kamu masih ingat apa yang berlaku semasa kita berdua membawa kereta kuda di belakang bapanya Ahab? Waktu itu, Yehuwa telah mengumumkan hal berikut berkenaan Ahab:+ 26  ‘Yehuwa berfirman, “Kelmarin Aku nampak darah Nabot+ dan darah keturunannya.” Yehuwa juga berfirman, “Aku akan membalas perbuatanmu+ di tanah ini.”’ Sekarang, angkatlah mayat Yehoram dan buangkannya ke tanah itu kerana hal ini telah difirmankan oleh Yehuwa.”+ 27  Apabila Raja Ahazia+ dari Yehuda nampak apa yang sedang berlaku, dia melarikan diri mengikut jalan yang berdekatan sebuah taman. (Kemudian Yehu mengejarnya dan berkata, “Bunuhlah dia juga!” Maka mereka menyerang Ahazia semasa dia menaiki kereta kudanya ke Gur, yang berdekatan Yibleam.+ Tetapi dia berjaya melarikan diri sampai ke Megido dan akhirnya mati di sana. 28  Lalu hamba-hamba Ahazia membawa mayatnya ke Yerusalem dengan kereta kuda. Mereka mengebumikan Ahazia bersama nenek moyangnya di Kota Daud.+ 29  Ahazia+ menjadi raja Yehuda pada tahun ke-11 pemerintahan Yehoram anak Ahab.) 30  Ketika Izebel+ mendengar bahawa Yehu telah datang ke Yizreel,+ dia memakai celak mata* dan menghias rambutnya. Selepas itu, dia memandang ke luar jendelanya. 31  Semasa Yehu memasuki pintu gerbang, Izebel berkata kepadanya, “Mahukah kamu menjadi seperti Zimri yang telah membunuh tuannya?”+ 32  Yehu melihat ke atas, iaitu ke arah jendela, lalu berkata, “Siapakah yang berpihak kepada beta? Siapa?”+ Dua atau tiga orang pegawai istana melihat ke bawah dengan serta-merta. 33  Yehu berkata, “Tolaklah dia ke bawah!” Maka mereka menolak Izebel ke bawah sehingga darahnya terpercik pada tembok dan pada kuda-kuda Yehu, lalu dia diinjak-injak oleh kuda-kuda itu. 34  Kemudian Yehu masuk lalu makan dan minum. Selepas itu, dia berkata, “Uruskanlah mayat perempuan yang terkutuk itu dan kuburkanlah dia, kerana dia ialah puteri raja.”+ 35  Mereka pergi untuk menguburkannya tetapi mereka hanya menemui tengkorak dan kaki serta telapak tangannya.+ 36  Apabila mereka kembali kepada Yehu dan memberitahunya apa yang telah terjadi, dia berkata, “Hal ini berlaku seperti yang telah difirmankan oleh Yehuwa+ melalui hamba-Nya Elia, orang Tisbi itu. Dia pernah berkata, ‘Anjing-anjing akan memakan mayat Izebel di sebidang tanah di Yizreel.+ 37  Mayatnya akan menjadi seperti baja di atas permukaan tanah di Yizreel sehingga tiada seorang pun dapat berkata, “Inilah Izebel.”’”

Nota Kaki

Harfiah, “daripada anak-anak nabi.” Lihat nota kaki bagi 2Ra 2:3.
Perbuatan ini menggambarkan seseorang yang bersedia untuk melakukan kerja.
Harfiah, “anak lelaki.”
Atau “asyik menyembah berhala.”
Atau “pembayang mata.”