Dua Raja-Raja 5:1-27

  • Elisa menyembuhkan penyakit kusta Naaman (1-19)

  • Gehazi dijangkiti kusta kerana tamak (20-27)

5  Naaman ialah ketua tentera yang berkhidmat untuk raja Siria. Dia seorang lelaki yang terkemuka dan dihargai oleh tuannya, raja Siria. Melalui Naaman, Yehuwa telah memberikan kemenangan* kepada Siria. Walaupun dia seorang pahlawan yang perkasa, dia menghidap penyakit kusta.  Pada suatu hari, semasa orang Siria menyerang negeri Israel, mereka telah menangkap seorang budak perempuan lalu menjadikannya hamba kepada isteri Naaman.  Budak perempuan itu berkata kepada isteri Naaman, “Alangkah baiknya jika tuan Naaman dapat pergi berjumpa dengan nabi+ di Samaria! Dia tentu akan menyembuhkan penyakit kusta tuan Naaman.”+  Oleh itu, dia* pergi berjumpa dengan tuannya lalu menyampaikan apa yang dikatakan oleh budak perempuan Israel itu.  Raja Siria berkata, “Pergilah! Beta akan mengirim surat kepada raja Israel.” Jadi dia pun pergi dengan membawa 10 talenta* perak, 6,000 keping emas, dan 10 pasang pakaian.  Dia memberikan surat itu kepada raja Israel. Surat itu berbunyi: “Berserta surat ini, beta mengutus hamba beta, Naaman, kepada tuanku supaya tuanku dapat menyembuhkan penyakit kustanya.”  Sebaik sahaja raja Israel membaca surat itu, dia mengoyakkan jubahnya lalu berkata, “Adakah beta Tuhan yang dapat menentukan hidup mati seseorang?+ Raja Siria mengutus lelaki ini kepada beta dan meminta beta menyembuhkannya. Lihatlah dengan mata kamu sendiri! Raja itu memang mencari gaduh dengan beta!”  Sebaik sahaja Nabi Elisa mendapat berita bahawa raja Israel telah mengoyakkan jubahnya, dia menghantar pesanan berikut kepada raja: “Mengapakah tuanku mengoyakkan jubah tuanku? Suruhlah orang itu datang kepada hamba supaya dia tahu bahawa ada seorang nabi di Israel.”+  Oleh itu, Naaman datang dengan kereta kuda dan semua kudanya lalu berhenti di depan pintu rumah Elisa. 10  Elisa mengutus seseorang untuk berkata kepada Naaman, “Pergilah mandi sebanyak tujuh kali+ di Sungai Yordan,+ maka penyakitmu akan sembuh dan kamu akan menjadi tahir.”* 11  Sambil meninggalkan tempat itu, Naaman berkata dengan marah, “Aku sangka dia akan keluar untuk bersemuka denganku. Aku fikir dia akan menyeru nama Tuhannya Yehuwa, dan menggerak-gerakkan tangannya di atas bahagian tubuhku yang dijangkiti kusta untuk menyembuhkan aku. 12  Bukankah Sungai Abana dan Sungai Parpar yang terletak di Damsyik+ lebih baik daripada semua sungai di Israel? Tidak bolehkah aku mandi di sungai-sungai itu untuk menjadi tahir?” Maka dia beredar dari sana dengan sangat marah. 13  Hamba-hamba Naaman mendekatinya lalu berkata, “Tuan, jika nabi itu menyuruh tuan untuk melakukan sesuatu yang susah, tidakkah tuan akan melakukannya? Sekarang dia hanya menyuruh tuan untuk pergi mandi di sungai supaya tuan menjadi tahir. Bukankah hal itu lebih senang dilakukan?” 14  Oleh itu, Naaman pergi ke Sungai Yordan dan membenamkan dirinya sebanyak tujuh kali ke dalam air sungai, seperti yang disuruh oleh nabi itu.+ Lalu dia menjadi tahir+ dan tubuhnya menjadi sihat seperti tubuh anak kecil.+ 15  Selepas itu, Naaman dan rombongannya kembali kepada nabi itu.+ Naaman berdiri di hadapan Elisa dan berkata, “Sekarang barulah aku tahu bahawa tiada Tuhan yang benar di seluruh dunia kecuali Tuhan orang Israel.+ Terimalah hadiah hambamu ini.” 16  Namun Elisa berkata, “Demi Yehuwa yang hidup, Tuhan yang aku sembah, aku bersumpah bahawa aku tidak akan menerimanya.”+ Naaman memujuk Elisa untuk menerima hadiah itu, tetapi Elisa tetap menolak. 17  Akhirnya Naaman pun berkata, “Kalau begitu, tolong beri hamba tanah dari negeri ini sebanyak yang dapat dibawa oleh dua ekor baghal. Mulai sekarang, hamba akan mempersembahkan korban bakar dan korban-korban lain kepada Yehuwa sahaja. Hamba tidak akan mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan lain. 18  Tetapi hamba ingin meminta ampun daripada Yehuwa atas satu perkara ini: Setiap kali raja pergi bersembahyang di kuil* Rimon, raja akan bersandar pada lengan hamba. Jadi apabila raja bersujud, hamba terpaksa bersujud bersamanya. Oleh itu, moga Yehuwa mengampuni hamba atas perbuatan hamba ini.” 19  Maka Elisa berkata, “Pergilah dengan sejahtera.” Naaman pun beredar. Apabila dia sudah agak jauh dari situ, 20  Gehazi,+ iaitu pembantu Nabi Elisa,+ berkata dalam hatinya, “Tuan aku telah membenarkan Naaman+ pergi tanpa menerima apa-apa pun daripadanya. Aku bersumpah demi Yehuwa, Tuhan yang hidup, bahawa aku akan mengejar orang Siria itu dan mendapatkan sesuatu daripadanya.” 21  Gehazi pun mengejar Naaman. Apabila Naaman nampak seseorang sedang mengejarnya, dia turun dari kereta kuda untuk menemuinya lalu bertanya, “Adakah semuanya baik?” 22  Gehazi menjawab, “Ya, tuan. Tetapi majikanku mengutus aku kepada tuan. Katanya, ‘Tadi, dua orang daripada sekumpulan nabi* dari kawasan pergunungan Efraim datang kepadaku. Oleh itu, tolonglah beri kedua-dua orang pemuda itu satu talenta perak dan dua pasang pakaian.’”+ 23  Naaman berkata, “Nah, ambillah dua talenta perak.” Dia terus mendesak Gehazi+ untuk menerima perak itu. Kemudian, dia memasukkan perak itu dan dua pasang pakaian ke dalam dua buah kantung. Dia memberikan semua itu kepada dua orang hambanya, yang berjalan mendahului Gehazi. 24  Apabila Gehazi tiba di Ofel,* dia mengambil semua itu daripada hamba-hamba tersebut lalu membawanya ke dalam rumahnya. Kemudian dia menyuruh mereka pergi. Selepas mereka beredar, 25  dia pergi menemui Elisa. Elisa bertanya kepadanya, “Kamu dari mana, Gehazi?” Dia menjawab, “Aku tidak pergi ke mana-mana, tuan.”+ 26  Maka Elisa berkata kepadanya, “Sebenarnya, aku tahu bahawa lelaki itu telah turun dari kereta kudanya untuk berjumpa dengan kamu. Adakah sekarang masa yang sesuai untuk menerima perak, pakaian, ladang zaitun, ladang anggur, bebiri, lembu, dan hamba perempuan atau hamba lelaki?+ 27  Kerana perbuatanmu itu, sekarang penyakit kusta Naaman+ akan menimpa kamu dan keturunanmu buat selama-lamanya.” Gehazi pun beredar dari hadapannya. Pada waktu itu juga, kulitnya menjadi putih seperti salji kerana dijangkiti penyakit kusta.+

Nota Kaki

Atau “penyelamatan.”
Mungkin merujuk kepada Naaman.
Atau “menjadi bersih.”
Harfiah, “rumah.”
Harfiah, “daripada anak-anak nabi.” Lihat nota kaki bagi 2Ra 2:3.
Mungkin sebuah bukit atau kubu di Samaria.