Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Dua Raja-Raja 22:1-20

RANGKA KANDUNGAN

  • Yosia, raja Yehuda (1, 2)

  • Arahan tentang kerja membaiki Rumah Tuhan (3-7)

  • Kitab Hukum Musa ditemukan (8-13)

  • Hulda menubuatkan malapetaka (14-20)

22  Yosia+ berusia lapan tahun apabila dia menjadi raja, dan dia memerintah selama 31 tahun di Yerusalem.+ Ibunya ialah Yedida anak Adaya dari Bozkat.+  Yosia melakukan apa yang benar di mata Yehuwa dan mengikut haluan Daud, nenek moyangnya.+ Dia tidak pernah mengingkari hukum Tuhan.*  Pada tahun ke-18 pemerintahan Raja Yosia, dia menyuruh setiausahanya, iaitu Safan anak Azalia, cucu Mesulam, pergi ke Rumah Yehuwa.+ Raja berkata,  “Berjumpalah dengan Imam Agung Hilkia.+ Suruhlah dia mengumpulkan semua wang yang telah dibawa ke Rumah Yehuwa,+ iaitu wang yang diterima oleh para penjaga pintu daripada rakyat.+  Kemudian wang itu harus diberikan kepada beberapa orang yang dilantik untuk mengawasi kerja pembaikan Rumah Yehuwa. Suruhlah mereka memberikan wang itu kepada para pekerja yang membaiki kerosakan* yang ada pada Rumah Yehuwa,+  iaitu jurubina, tukang batu, dan tukang-tukang yang mahir. Mereka akan menggunakan wang itu untuk membeli kayu dan batu yang sudah dipotong untuk membaiki kerosakan yang ada pada Rumah Tuhan.+  Janganlah mempersoalkan cara mereka menggunakan wang itu kerana mereka dapat dipercayai.”+  Kemudian Imam Agung Hilkia berkata kepada Safan, setiausaha itu,+ “Aku telah menjumpai kitab Hukum Musa+ di dalam Rumah Yehuwa.” Hilkia memberikan kitab itu kepada Safan lalu Safan membacanya.+  Safan menghadap raja dan berkata kepadanya, “Hamba-hamba tuanku telah mengambil wang yang ada di Rumah Yehuwa, dan memberikannya kepada mereka yang dilantik untuk mengawasi kerja pembaikan rumah itu.”+ 10  Safan juga memberitahu raja, “Imam Hilkia telah memberikan kitab+ ini kepada hamba.” Lalu Safan membaca kitab itu di hadapan raja. 11  Sebaik sahaja raja mendengar kata-kata dalam kitab itu, dia mengoyakkan jubahnya.+ 12  Kemudian dia memberikan perintah kepada Imam Hilkia, Ahikam+ anak Safan, Akhbor anak Mikhaya, Safan, iaitu setiausaha itu, dan Asaya, iaitu pegawai raja. Raja berkata, 13  “Pergilah minta petunjuk daripada Yehuwa tentang kata-kata dalam kitab yang telah ditemui ini. Mintalah petunjuk-Nya bagi pihak beta, bagi pihak rakyat, dan bagi pihak semua orang Yehuda. Nenek moyang kita tidak mematuhi kata-kata dalam kitab ini, dan mereka tidak melakukan semua yang tercatat dalamnya. Itulah sebabnya Yehuwa sangat murka terhadap kita.”+ 14  Maka Imam Hilkia, Ahikam, Akhbor, Safan, dan Asaya pergi berjumpa dengan seorang nabi wanita yang bernama Hulda.+ Hulda ialah isteri Salum anak Tikwa, cucu Harhas. (Salum ialah pengurus tempat penyimpanan pakaian.) Hulda menetap di Wilayah Kedua di Yerusalem, maka mereka pergi ke situ untuk bercakap dengannya.+ 15  Dia berkata kepada mereka, “Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel: ‘Beritahulah orang yang telah mengutus kamu kepada-Ku, 16  “Inilah firman Yehuwa, ‘Aku akan mendatangkan malapetaka atas tempat ini dan penduduknya sebagaimana yang tertulis dalam kitab yang telah dibaca oleh raja Yehuda.+ 17  Mereka telah meninggalkan Aku dan mempersembahkan korban* kepada tuhan-tuhan lain.+ Segala perbuatan mereka telah membangkitkan kemurkaan-Ku.+ Maka Aku murka terhadap tempat ini, dan api kemurkaan-Ku tidak akan reda.’”+ 18  Tetapi beritahulah raja Yehuda yang telah menyuruh kamu untuk meminta petunjuk daripada Yehuwa, “Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel: ‘Engkau telah mendengar kata-kata dalam kitab itu. 19  Aku telah berfirman bahawa penduduk tempat ini akan dikutuk dan orang yang nampak mereka akan berasa takut. Tetapi setelah mendengar firman-Ku berkenaan tempat ini dan penduduknya, engkau bertaubat* dan merendahkan diri+ di hadapan Yehuwa, serta mengoyakkan jubahmu+ dan menangis di hadapan-Ku. Oleh itu, Aku akan mendengar doamu, firman Yehuwa. 20  Engkau akan meninggal dengan tenteram lalu dikuburkan. Engkau tidak akan melihat semua malapetaka yang akan Aku timpakan atas tempat ini.’”’” Kemudian mereka menyampaikan pesanan itu kepada raja.

Nota Kaki

Atau “tidak pernah menyimpang ke kanan atau ke kiri.”
Atau “keretakan.”
Atau “membakar korban sehingga asap naik.”
Harfiah, “hatimu menjadi lembut.”