Dua Korintus 4:1-18

  • Cahaya berita baik (1-6)

    • Fikiran orang yang tidak percaya dibutakan (4)

  • Harta karun di dalam bekas tanah liat (7-18)

4  Kami mempunyai tugas suci ini kerana Tuhan berbelas kasihan terhadap kami. Oleh itu, kami tidak berputus asa.  Kami menolak hal-hal tersembunyi yang memalukan, kami tidak menggunakan tipu helah, dan kami tidak memutarbelitkan firman Tuhan.+ Sebaliknya, kami membuat kebenaran terserlah. Dengan berbuat demikian, di mata Tuhan, kami menjadi teladan baik kepada semua orang.*+  Jika berita baik yang kami khabarkan itu terselubung, berita baik itu terselubung dalam kalangan mereka yang akan dibinasakan.  Fikiran mereka yang tidak percaya telah dibutakan+ oleh tuhan sistem dunia ini.*+ Oleh itu, mereka tidak disinari cahaya+ daripada berita baik yang menakjubkan, iaitu berita tentang Kristus yang merupakan gambaran Tuhan.+  Kami tidak menyebarkan berita tentang diri kami sendiri. Sebaliknya, kami menyebarkan berita bahawa Yesus Kristus ialah Tuan kita, dan bahawa kami ialah hamba kamu demi Yesus.  Tuhan sendiri pernah berfirman, “Biarlah cahaya bersinar dari kegelapan,”+ dan melalui wajah Kristus, Tuhan telah menyinari hati kami+ dengan pengetahuan tentang-Nya yang menakjubkan.  Walaupun kami seperti bekas tanah liat,+ tugas suci yang bagaikan harta karun+ telah diberikan kepada kami. Maka jelaslah bahawa kuasa luar biasa yang kami miliki berasal daripada Tuhan dan bukannya daripada kami sendiri.+  Kami diasak dari semua arah, tetapi kami tidak terhimpit sehingga tidak dapat bergerak; kami kebingungan, tetapi bukanlah sehingga kami tidak ada jalan keluar;*+  kami dianiaya, tetapi kami tidak diabaikan;+ kami dihempas ke tanah, tetapi kami tidak dibinasakan.+ 10  Seperti Yesus, kami sentiasa menghadapi ancaman maut dengan tabah,+ supaya kehidupan Yesus menjadi nyata dalam tubuh kami. 11  Meskipun kami hidup, kami sentiasa berdepan dengan maut demi Yesus,+ agar kehidupan Yesus juga menjadi nyata dalam tubuh kami. 12  Oleh itu, meskipun kami harus menghadapi maut, kehidupan akan terhasil bagi kamu. 13  Ada tertulis, “Aku bercakap kerana aku beriman.”+ Kami juga bercakap kerana kami memperlihatkan iman yang sama. 14  Kami tahu bahawa sebagaimana Tuhan telah membangkitkan Yesus daripada kematian, Dia juga akan membangkitkan kami dan membawa kami serta kamu ke hadirat Yesus.+ 15  Semua perkara ini berlaku demi kamu. Kerana apabila semakin banyak orang bersyukur kepada Tuhan, lebih banyak orang akan menerima kebaikan hati-Nya yang unggul. Dengan demikian, Tuhan dimuliakan.+ 16  Itulah sebabnya kita tidak berputus asa. Walaupun tubuh kita beransur-ansur reput, hati dan minda kita dibaharui setiap hari. 17  Kesengsaraan* yang kita hadapi hanyalah sementara dan tidak seberapa berat, tetapi akan mendatangkan kemuliaan yang sangat unggul, besar, dan kekal.+ 18  Kita menumpukan perhatian kepada hal-hal yang tidak kelihatan dan bukannya kepada hal-hal yang kelihatan.+ Hal ini demikian kerana hal-hal yang kelihatan hanyalah sementara, tetapi hal-hal yang tidak kelihatan kekal selama-lamanya.

Nota Kaki

Harfiah, “kepada hati nurani semua orang.”
Atau “zaman ini.” Lihat Kamus, “Sistem dunia.”
Atau mungkin, “sehingga kami putus harapan.”
Atau “Cubaan.”