Satu Yohanes 4:1-21

  • Ujilah pernyataan yang diilhami (1-6)

  • Mengenal dan mengasihi Tuhan (7-21)

    • “Tuhan itu kasih” (8, 16)

    • Kasih mengusir rasa takut (18)

4  Saudara-saudara yang dikasihi, janganlah kamu mempercayai setiap pernyataan yang diilhami.+ Sebaliknya, ujilah pernyataan-pernyataan yang diilhami itu untuk mengetahui sama ada pernyataan itu berasal daripada Tuhan atau tidak,+ kerana banyak nabi palsu telah muncul di dunia.+  Beginilah caranya kamu mengenal pasti pernyataan yang diilhami oleh Tuhan: Setiap pernyataan yang mengakui bahawa Yesus Kristus telah datang sebagai manusia berasal daripada Tuhan.+  Namun, setiap pernyataan yang tidak mengakui bahawa Yesus telah datang sebagai manusia tidak berasal daripada Tuhan,+ tetapi berasal daripada musuh Kristus.* Kamu sudah mendengar bahawa pernyataan sedemikian akan datang,+ dan sekarang pernyataan sedemikian sudah ada di dunia.+  Anak-anak yang dikasihi, kamu berasal daripada Tuhan, dan kamu sudah mengalahkan nabi-nabi palsu itu,+ kerana Dia yang bersatu dengan kamu+ itu lebih besar daripada dia yang bersatu dengan dunia.+  Nabi-nabi palsu itu berasal daripada dunia.+ Itulah sebabnya apa yang dikatakan oleh mereka berasal daripada dunia, dan dunia juga mendengarkan mereka.+  Tetapi kita berasal daripada Tuhan. Sesiapa yang mengenal Tuhan, mendengarkan kita.+ Sesiapa yang tidak berasal daripada Tuhan, tidak mendengarkan kita.+ Begitulah caranya kita mengenal pasti sama ada pernyataan yang diilhami itu benar atau palsu.+  Saudara-saudara yang dikasihi, marilah kita terus mengasihi satu sama lain,+ kerana kasih berasal daripada Tuhan. Sesiapa yang mempunyai kasih merupakan anak Tuhan dan dia mengenal Tuhan.+  Sesiapa yang tidak mempunyai kasih, belum lagi mengenal Tuhan, kerana Tuhan itu kasih.+  Inilah caranya Tuhan menunjukkan kasih kepada kita: Tuhan telah mengutus Anak tunggal-Nya+ ke dunia supaya melalui Anak-Nya kita memperoleh kehidupan.+ 10  Inilah kasih yang dimaksudkan: Tuhan mengutus Anak-Nya sebagai korban pendamaian*+ untuk dosa kita,+ bukan kerana kita telah mengasihi Tuhan, tetapi kerana Dia mengasihi kita. 11  Saudara-saudara yang dikasihi, jika Tuhan mengasihi kita dengan cara sedemikian, kita pun mesti mengasihi satu sama lain.+ 12  Tiada seorang pun pernah melihat Tuhan.+ Jika kita terus mengasihi satu sama lain, maka Tuhan tetap ada dalam diri kita, dan kasih-Nya disempurnakan dalam diri kita.+ 13  Kerana Tuhan telah memberi kita kuasa suci-Nya, kita tahu bahawa kita tetap bersatu dengan Tuhan dan Tuhan tetap bersatu dengan kita. 14  Selain itu, Bapa telah mengutus Anak-Nya sebagai Penyelamat dunia.+ Kami sendiri telah melihat hal itu dan sekarang kami memberikan kesaksian tentangnya. 15  Jika seseorang mengakui bahawa Yesus ialah Anak Tuhan,+ maka Tuhan tetap bersatu dengannya dan dia tetap bersatu dengan Tuhan.+ 16  Kita sudah tahu dan percaya bahawa Tuhan mengasihi kita.+ Tuhan itu kasih.+ Sesiapa yang sentiasa menunjukkan kasih tetap bersatu dengan Tuhan, dan Tuhan tetap bersatu dengannya.+ 17  Demikianlah caranya kasih disempurnakan dalam diri kita, supaya kita dapat bercakap dengan berani*+ pada hari penghakiman nanti, kerana hidup kita di dunia ini seperti hidup Kristus. 18  Rasa takut akan mengongkong kita. Namun orang yang mengasihi Tuhan tidak berasa takut,+ kerana kasih yang sempurna dapat mengusir rasa takut. Jika seseorang berasa takut, kasihnya belum lagi sempurna.+ 19  Kita menunjukkan kasih, kerana Tuhan menunjukkan kasih kepada kita terlebih dahulu.+ 20  Jika sesiapa berkata, “Aku mengasihi Tuhan,” tetapi membenci saudaranya, orang itu pendusta.+ Hal ini demikian kerana jika dia tidak mengasihi saudaranya yang dapat dilihatnya,+ dia tidak dapat mengasihi Tuhan yang tidak pernah dilihatnya.+ 21  Inilah perintah yang diberikannya* kepada kita: Sesiapa yang mengasihi Tuhan mesti mengasihi saudaranya juga.+

Nota Kaki

Lihat Kamus, “Anti-Kristus.”
Atau “korban untuk memohon pengampunan.”
Atau “supaya kita memiliki keyakinan.” Lihat Kamus, “Bercakap dengan berani.”
Boleh merujuk kepada Yesus atau Tuhan.