Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Satu Tawarikh 21:1-30

RANGKA KANDUNGAN

  • Daud ingkar dan melakukan pembancian (1-6)

  • Yehuwa menjatuhkan hukuman (7-17)

  • Daud membina mazbah (18-30)

21  Syaitan* berhasrat untuk menentang orang Israel, maka dia mempengaruhi Daud untuk menghitung bilangan orang Israel.+  Oleh itu, Daud berkata kepada Yoab+ dan para pemimpin yang lain, “Pergilah dan hitunglah orang Israel yang ada di Beer-syeba sampai ke Dan.+ Kemudian laporkanlah jumlah mereka kepada beta.”  Tetapi Yoab berkata, “Semoga Yehuwa melipatgandakan rakyat tuanku sampai seratus kali lebih banyak daripada jumlah sekarang! Tuanku, mereka semua memang hamba tuanku. Mengapakah tuanku ingin menghitung bilangan mereka? Mengapakah segenap bangsa Israel harus menanggung akibat perbuatan tuanku ini?”  Raja tetap berpegang pada perintahnya, maka Yoab beredar dari hadapan raja lalu pergi menjelajahi seluruh negeri Israel. Kemudian dia kembali ke Yerusalem+  dan melaporkan hasil pembancian itu kepada Daud, iaitu 1,100,000 orang lelaki Israel dan 470,000 orang lelaki Yehuda yang memenuhi syarat untuk menjadi askar.+  Tetapi suku Lewi dan suku Benyamin tidak dibanci+ kerana Yoab langsung tidak setuju dengan perintah raja.+  Pembancian itu membangkitkan kemurkaan Tuhan yang benar, maka Dia menghukum orang Israel.  Daud pun berkata kepada Tuhan yang benar, “Aku telah melakukan dosa yang besar+ dengan membanci rakyat. Ampunkanlah dosa hamba-Mu ini.+ Aku telah bertindak dengan bodoh sekali.”+  Kemudian Yehuwa berfirman kepada Gad,+ iaitu orang yang menyampaikan penglihatan Tuhan kepada Daud. Tuhan berfirman, 10  “Pergilah menghadap Daud dan katakanlah, ‘Inilah firman Yehuwa: “Aku memberi engkau tiga pilihan. Pilihlah salah satu. Apa saja yang engkau pilih akan Aku lakukan kepadamu.”’” 11  Maka Gad pergi kepada Daud dan berkata kepadanya, “Inilah firman Yehuwa: ‘Buatlah pilihan. 12  Adakah engkau mahu negerimu dilanda kebuluran selama tiga tahun?+ Atau adakah engkau mahu diserang oleh pedang musuh-musuhmu dan dikalahkan oleh mereka selama tiga bulan?+ Atau adakah engkau mahu negerimu diserang oleh pedang Yehuwa selama tiga hari? Selama tiga hari itu, malaikat Yehuwa akan mendatangkan wabak penyakit atas seluruh negeri Israel.’+ Fikirlah terlebih dahulu, dan beritahulah hamba jawapan tuanku. Hamba akan menyampaikannya kepada Tuhan yang telah mengutus hamba.” 13  Daud menjawab, “Beta amat runsing! Beta tidak mahu jatuh ke dalam tangan manusia.+ Jadi lebih baik jika beta jatuh ke dalam tangan Yehuwa kerana Dia sangat berbelas kasihan.”+ 14  Oleh itu, Yehuwa mendatangkan wabak penyakit+ atas Israel, dan sebanyak 70,000 orang meninggal.+ 15  Tuhan yang benar mengutus satu malaikat ke Yerusalem untuk memusnahkan kota itu. Tetapi sebaik sahaja Yehuwa nampak malaikat itu mula mendatangkan wabak itu, Dia berasa kesal.*+ Maka Dia berkata kepada malaikat itu, “Cukuplah!+ Turunkan tanganmu.” Pada waktu itu, malaikat Yehuwa sedang berdiri dekat tempat mengirik tuaian milik Ornan,+ seorang lelaki Yebus.+ 16  Daud menengadah ke langit dan nampak malaikat Yehuwa memegang sebilah pedang yang terhunus+ ke arah Yerusalem. Maka Daud dan para pemimpin orang Israel, yang sedang memakai kain guni,+ segera bersujud ke tanah.+ 17  Daud berkata kepada Tuhan yang benar, “Bukankah aku yang menyuruh agar umat ini dihitung? Akulah yang berdosa, dan akulah yang bersalah.+ Tetapi apakah yang telah dilakukan oleh bangsa ini? Apakah kesalahan biri-biri ini? Ya Tuhan Yehuwa, biarlah tangan-Mu menghukum aku dan keluarga bapaku! Tetapi janganlah mendatangkan wabak ini atas umat-Mu.”+ 18  Maka malaikat Yehuwa menyuruh Gad+ untuk memberitahu Daud bahawa dia harus mendirikan sebuah mazbah untuk Yehuwa di tempat mengirik tuaian milik Ornan, orang Yebus itu.+ 19  Daud pun pergi ke situ, selaras dengan apa yang telah diperintahkan oleh Yehuwa melalui Gad. 20  Sementara itu, Ornan sedang mengirik gandum. Dia berpaling dan nampak malaikat itu, maka empat orang anak lelakinya yang ada bersamanya menyembunyikan diri. 21  Apabila Ornan nampak Daud datang, dia segera keluar dari tempat mengirik itu lalu berlutut dan bersujud kepada Daud. 22  Daud berkata kepadanya, “Jualkanlah tempat mengirik ini kepada beta kerana beta ingin mendirikan sebuah mazbah untuk Yehuwa di sini. Beta akan membeli tempat ini dengan harga penuh supaya wabak yang menimpa rakyat dapat dihentikan.”+ 23  Namun Ornan menjawab, “Tuanku, ambillah tempat ini dan persembahkanlah apa sahaja yang baik di mata tuanku. Inilah lembu-lembu untuk dijadikan korban bakar, dan tuanku boleh menggunakan papan mengirik+ sebagai kayu api serta gandum ini sebagai korban bijirin. Hamba memberikan semua ini kepada tuanku.” 24  Tetapi Raja Daud menjawab, “Tidak! Beta mesti membelinya daripada kamu dengan harga penuh. Beta tidak akan mengambil harta milikmu dan mempersembahkannya kepada Yehuwa. Beta juga tidak akan mempersembahkan korban bakar yang beta dapat dengan percuma.”+ 25  Maka Daud membayar 600 syekel* emas kepada Ornan untuk membeli tempat itu. 26  Daud pun mendirikan sebuah mazbah+ untuk Yehuwa lalu mempersembahkan korban bakar dan korban pendamaian di situ. Daud berseru kepada Yehuwa, lalu Tuhan menjawab seruan Daud dengan menurunkan api+ dari langit ke atas mazbah korban bakar itu. 27  Kemudian Yehuwa menyuruh malaikat itu+ menyarungkan pedangnya. 28  Daud nampak bahawa Yehuwa telah mendengar seruannya di tempat mengirik tuaian milik Ornan, orang Yebus itu. Maka dia terus mempersembahkan korban di situ. 29  Pada masa itu, khemah suci Yehuwa yang telah didirikan oleh Musa di padang belantara dan mazbah untuk korban bakar, berada di tempat tinggi di Gibeon.+ 30  Tetapi Daud tidak pergi ke sana untuk meminta petunjuk Tuhan kerana dia takut akan pedang malaikat Yehuwa.

Nota Kaki

Atau mungkin, “Penentang.”
Atau “sedih.”