Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Satu Tawarikh 11:1-47

RANGKA KANDUNGAN

  • Semua orang Israel mengurapi Raja Daud (1-3)

  • Daud berjaya menawan Sion (4-9)

  • Pahlawan-pahlawan Daud yang gagah (10-47)

11  Beberapa lama kemudian, semua orang Israel pergi kepada Daud di Hebron+ dan berkata kepadanya, “Hamba sekalian ialah darah daging* tuanku.+  Semasa Saul menjadi raja, tuankulah yang telah memimpin orang Israel dalam peperangan.+ Tuhan Yehuwa telah berfirman kepada tuanku, ‘Engkau akan menggembala umat-Ku Israel, dan engkau akan memimpin mereka.’”+  Oleh itu, semua pemimpin orang Israel pergi kepada Raja Daud di Hebron, dan dia membuat perjanjian dengan mereka di hadapan Yehuwa. Kemudian mereka mengurapi Daud dan menjadikannya raja Israel.+ Hal ini berlaku selaras dengan apa yang difirmankan oleh Yehuwa menerusi Samuel.+  Daud dan semua orang Israel bertolak ke Yerusalem, iaitu Yebus,+ tempat tinggal orang Yebus.+  Penduduk Yebus mencabar Daud dengan berkata, “Tidak mungkin kamu dapat masuk ke sini!”+ Tetapi Daud menakluki kubu mereka di Sion,+ dan kini kubu itu dinamakan Kota Daud.+  Maka Daud berkata, “Orang pertama yang menyerang orang Yebus akan menjadi ketua tentera beta.” Yoab+ anak Zeruya ialah orang pertama yang melancarkan serangan, maka dia dilantik menjadi ketua tentera Daud.  Daud mula tinggal di kubu itu. Itulah sebabnya kubu itu dinamakan Kota Daud.  Daud membangunkan kota itu dan kawasan di sekitarnya, bermula dari tempat perlindungan* itu sampai ke kawasan di sekelilingnya. Yoab juga membina semula bahagian-bahagian lain kota itu.  Daud menjadi semakin kuat+ dan dia disertai Yehuwa, ketua angkatan syurga. 10  Ketua-ketua yang memimpin pahlawan gagah Daud dan umat Israel yang lain memberikan sokongan yang padu kepada kerajaan Daud. Mereka juga membantunya untuk menjadi raja, seperti apa yang dijanjikan oleh Yehuwa kepada orang Israel.+ 11  Inilah senarai nama pahlawan Daud yang paling gagah: Yasobeam,+ anak kepada seorang lelaki Hakhmoni, ialah salah seorang daripada tiga orang pahlawan Daud yang paling gagah,+ dan dia ialah ketua mereka. Pernah sekali, dia membunuh 300 orang dengan tombaknya.+ 12  Seterusnya ialah Eleazar+ anak Dodo, seorang lelaki Ahohi.+ Dia juga salah seorang daripada tiga orang pahlawan yang paling gagah itu. 13  Dia ada bersama Daud di Pas-damim+ ketika orang Filistin berkumpul di situ untuk berperang. Di situ, terdapat sebuah ladang yang penuh dengan barli. Pada masa itu, orang ramai telah melarikan diri daripada orang Filistin 14  tetapi Eleazar berdiri di tengah-tengah ladang itu dan terus melawan orang Filistin untuk mempertahankan ladang itu. Maka Yehuwa memberikan kemenangan* yang besar kepada orang Israel.+ 15  Pada suatu hari, 3 orang daripada 30 orang ketua pahlawan pergi ke gunung batu untuk berjumpa dengan Daud di sebuah gua di Adulam.+ Pada masa itu, tentera Filistin sedang berkhemah di Lembah* Refaim,+ 16  dan sepasukan tentera mereka ada di Betlehem. Daud pula sedang berlindung di sebuah kubu. 17  Dia meluahkan hasratnya dengan berkata, “Alangkah baiknya jika beta dapat minum air dari perigi dekat pintu gerbang Betlehem!”+ 18  Setelah mendengar hal itu, tiga orang pahlawan Daud yang paling gagah menyerbu perkhemahan orang Filistin. Mereka menimba air dari perigi dekat pintu gerbang Betlehem lalu membawanya kepada Daud. Tetapi Daud enggan meminumnya lalu menuangkan air itu ke tanah demi Yehuwa. 19  Daud berkata, “Tidak mungkin beta minum air ini kerana beta takut kepada Tuhan beta. Mereka telah mempertaruhkan nyawa mereka hanya untuk membawa air ini.+ Jika beta meminumnya, beta seolah-olah minum darah orang yang telah mempertaruhkan nyawa mereka.” Itulah sebabnya Daud enggan meminumnya. Demikianlah hal-hal yang dilakukan oleh tiga orang pahlawan Daud yang paling gagah itu. 20  Selain itu, terdapat tiga orang lagi pahlawan yang gagah. Salah seorang daripada mereka ialah Abisai,+ abang Yoab,+ dan dia merupakan ketua mereka. Dia pernah membunuh 300 orang dengan tombaknya, dan kemasyhurannya setanding dengan tiga orang pahlawan Daud yang paling gagah.+ 21  Abisai menjadi ketua kerana dialah yang paling handal. Tetapi dia tidak mendapat kedudukan yang sama dengan tiga orang pahlawan Daud yang paling gagah itu. 22  Benaya+ ialah anak kepada Yehoyada, seorang lelaki yang berani. Benaya telah banyak kali menunjukkan kegagahannya di Kabzeel.+ Dia membunuh dua orang anak lelaki Ariel dari Moab. Pada suatu hari, ketika salji turun, dia turun ke sebuah lubang dan membunuh seekor singa.+ 23  Dia juga membunuh seorang lelaki Mesir yang berbadan besar, yang tingginya lebih daripada dua meter.*+ Meskipun tombak yang dipegang oleh lelaki itu sebesar kayu pada alat tenun,+ Benaya menyerang lelaki itu dengan sebatang kayu dan merampas tombaknya dari tangannya, lalu membunuhnya dengan tombak itu.+ 24  Itulah hal-hal yang dilakukan oleh Benaya anak Yehoyada, dan kemasyhurannya setanding dengan tiga orang pahlawan yang gagah itu. 25  Walaupun dia lebih handal daripada 30 orang pahlawan yang lain, dia tidak mendapat kedudukan yang sama dengan tiga orang pahlawan yang paling gagah itu.+ Namun Daud melantik dia untuk menjadi ketua pengawal peribadinya. 26  Berikut merupakan para pahlawan yang gagah dalam pasukan tentera Daud: Asael,+ iaitu adik Yoab; Elhanan anak Dodo dari Betlehem;+ 27  Syamot, orang Harori; Heles, orang Peloni; 28  Ira+ anak Ikes, orang Tekoa; Abi-ezer,+ orang Anatot; 29  Sibekai,+ orang Husa; Ilai, orang Ahohi; 30  Maharai,+ orang Netofa; Heled+ anak Baanah, orang Netofa; 31  Itai anak Ribai dari Gibea, yang terletak di kawasan orang Benyamin;+ Benaya, orang Piraton; 32  Hurai dari wadi* Gaas;+ Abiel, orang Bet-araba; 33  Azmawet, orang Bahurim; Eliahba, orang Saalboni; 34  anak-anak lelaki Hasyem, orang Gizoni; Yonatan anak Sage, orang Harari; 35  Ahiam anak Sakar, orang Harari; Elifal anak Ur; 36  Hefer, orang Mekhera; Ahia, orang Peloni; 37  Hezro, orang Karmel; Naarai anak Ezbai; 38  Yoel, saudara lelaki Natan; Mibhar anak Hagri; 39  Zelek, orang Ammon; Naharai, orang Berot, pembawa senjata Yoab anak Zeruya; 40  Ira, orang Itri; Gareb, orang Itri; 41  Uria,+ orang Het; Zabad anak Ahlai; 42  Adina anak Siza, orang Ruben, seorang ketua yang memimpin 30 orang; 43  Hanan anak Maakha; Yosafat, orang Mitni; 44  Uzia, orang Asytarot; Syama dan Yeiel, anak-anak lelaki Hotam, orang Aroer; 45  Yediael anak Simri, dan saudara lelakinya Yoha, orang Tizi; 46  Eliel, orang Mahawim; Yeribai dan Yosawia, anak-anak lelaki Elnaam; Yitma, orang Moab; 47  dan Eliel, Obed, dan Yaasiel, orang Mezobaya.

Nota Kaki

Atau “ialah saudara-mara.”
Ibrani, mil·lohʹ yang bermaksud “timbunan tanah.” Lihat Kamus.
Atau “penyelamatan.”
Atau “Dataran Rendah.”
Harfiah, “5 hasta.” Lihat Lampiran B14.
Lihat Kamus.