Satu Samuel 9:1-27

  • Samuel bertemu dengan Saul (1-27)

9  Ada seorang lelaki yang sangat kaya daripada suku Benyamin+ yang bernama Kish.+ Dia daripada keturunan Abiel. (Abiel ialah anak Zeror, dan Zeror ialah anak Bekhorat. Bekhorat berasal daripada keturunan Afiah.)  Kish mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Saul,+ seorang pemuda yang kacak. Tiada seorang lelaki dalam kalangan orang Israel yang lebih kacak dan lebih tinggi daripadanya.*  Pada suatu hari, keldai-keldai kepunyaan Kish, bapa Saul, telah hilang. Oleh itu, Kish berkata kepada anaknya Saul, “Bawalah seorang hamba dan pergilah mencari keldai-keldai itu.”  Mereka melalui kawasan pergunungan Efraim dan kawasan Salisa, tetapi tidak menjumpai keldai-keldai itu. Kemudian mereka meneruskan perjalanan melalui kawasan Shaalim, tetapi keldai-keldai itu pun tidak ada di sana. Mereka melalui seluruh negeri orang Benyamin tetapi masih gagal menjumpai keldai-keldai itu.  Apabila mereka tiba di kawasan Zuf, Saul berkata kepada hamba yang ada bersamanya, “Marilah kita pulang. Jangan-jangan bapaku lebih khuatir berfikir tentang kita daripada keldai-keldai itu.”+  Tetapi hamba itu berkata, “Lihatlah, di kota yang berdekatan ada seorang hamba Tuhan yang sangat dihormati. Segala yang dikatakannya pasti menjadi kenyataan.+ Marilah kita pergi ke sana sekarang juga. Mungkin dia dapat memberitahu kita ke mana kita harus pergi.”  Saul berkata kepada hambanya, “Jika kita pergi, apakah yang dapat kita berikan kepadanya? Apakah yang kita miliki? Tiada roti di dalam kantung kita, dan kita tiada apa-apa pun untuk diberikan sebagai hadiah kepada hamba Tuhan yang benar.”  Maka hamba Saul berkata lagi, “Aku mempunyai sekeping wang perak yang kecil* di dalam tanganku. Aku akan memberikannya kepada hamba Tuhan yang benar supaya dia dapat memberitahu kita ke mana kita harus pergi.”  (Pada zaman dahulu, seorang nabi dipanggil pelihat. Maka di Israel, jika seseorang ingin meminta bimbingan Tuhan, dia akan berkata, “Marilah kita berjumpa dengan pelihat.”)+ 10  Lalu Saul berkata kepada hambanya, “Baiklah, mari kita pergi.” Maka mereka pergi ke kota tempat hamba Tuhan yang benar itu berada. 11  Semasa mereka menaiki lereng bukit yang menuju ke kota itu, mereka bertemu dengan gadis-gadis yang keluar untuk menimba air. Jadi mereka bertanya, “Adakah pelihat+ itu berada di sini?” 12  Gadis-gadis itu menjawab, “Ya, dia baru saja berjalan mendahului kamu. Jika kamu cepat, mungkin kamu dapat berjumpa dengan dia. Dia telah datang ke kota hari ini kerana rakyat sedang mempersembahkan korban+ di tempat tinggi.+ 13  Dia sedang dalam perjalanan ke tempat tinggi untuk makan. Jika kamu cepat, kamu akan menjumpainya sebaik sahaja kamu tiba di kota. Kamu mungkin dapat bertemu dengan dia sebelum dia naik ke situ untuk memberkati korban dan sebelum rakyat mula makan, kerana mereka yang telah dijemput hanya boleh makan setelah dia berbuat demikian.” 14  Oleh itu, mereka pergi ke kota itu. Semasa mereka hampir tiba di tengah-tengah kota, Samuel datang untuk bertemu dengan mereka lalu mereka naik ke tempat tinggi itu bersama-sama. 15  Sehari sebelum Saul datang, Yehuwa telah berfirman kepada Samuel, 16  “Esok kira-kira pada waktu begini, Aku akan mengutus seorang lelaki dari wilayah suku Benyamin kepadamu.+ Engkau harus mengurapinya sebagai pemimpin umat Israel.+ Dia akan menyelamatkan umat-Ku daripada tangan orang Filistin. Aku telah melihat penderitaan umat-Ku dan Aku sudah mendengar rintihan mereka.”+ 17  Apabila Samuel nampak Saul, Yehuwa memberitahunya, “Inilah lelaki yang Aku maksudkan semasa Aku berfirman, ‘Dialah yang akan memerintah umat-Ku.’”*+ 18  Kemudian Saul menghampiri Samuel di pintu gerbang lalu berkata, “Tolonglah beritahu aku, di manakah rumah pelihat itu?” 19  Samuel menjawab, “Akulah pelihat itu. Pergilah mendahuluiku ke tempat tinggi dan hari ini kamu akan makan bersamaku.+ Esok pagi, aku akan menghantar kamu pergi dari sini dan aku akan menjawab segala pertanyaanmu.* 20  Janganlah risau tentang keldai-keldai yang hilang tiga hari yang lalu kerana keldai-keldai itu sudah dijumpai.+ Lagipun, bukankah semua harta berharga orang Israel kepunyaanmu dan seluruh keluarga bapamu?”+ 21  Lalu Saul menjawab, “Tuan, aku daripada suku Benyamin, iaitu suku yang terkecil antara semua suku Israel,+ dan keluargaku juga paling tidak penting antara semua keluarga dalam suku Benyamin. Jadi mengapakah tuan berkata begitu kepadaku?” 22  Kemudian Samuel membawa Saul dan hambanya ke ruang makan dan memberi mereka tempat yang utama dalam kalangan para jemputan yang berjumlah kira-kira 30 orang. 23  Samuel berkata kepada tukang masak, “Hidangkanlah daging yang aku berikan kepadamu dan yang aku suruh kamu simpan.” 24  Maka tukang masak itu menghidangkan daging paha kepada Saul. Samuel berkata, “Makanlah, kerana apa yang dihidangkan di hadapanmu telah disimpan untukmu. Aku telah memberitahu mereka bahawa aku ada menjemput tetamu, dan mereka telah menyimpan daging ini untukmu supaya kamu dapat memakannya pada hari yang penting ini.” Jadi Saul makan bersama Samuel pada hari itu. 25  Selepas itu, mereka turun dari tempat tinggi lalu pergi ke kota.+ Samuel terus bercakap dengan Saul di atas bumbung rumah.* 26  Mereka bangun awal dan apabila fajar menyingsing Samuel memanggil Saul yang berada di atas bumbung rumah. Dia berkata, “Bersiaplah, supaya aku dapat menghantar kamu pergi.” Maka Saul bersiap lalu mereka berdua keluar. 27  Ketika mereka turun menuju ke bahagian luar kota, Samuel berkata kepada Saul, “Suruhlah hambamu+ pergi mendahului kita.” Maka hamba itu pun berbuat demikian. Samuel berkata lagi, “Tetapi kamu tunggulah di sini supaya aku dapat menyampaikan firman Tuhan kepadamu.”

Nota Kaki

Atau “dan kepala semua orang sampai pada bahunya sahaja.”
Harfiah, “satu perempat syekel perak.” Lihat Lampiran B14.
Atau “memastikan umat-Ku tidak melampaui batas.”
Harfiah, “akan memberitahu kamu segala isi hatimu.”
Pada masa itu, kebanyakan rumah mempunyai bumbung yang rata. Orang boleh berjalan, tidur, atau menyambut tetamu, di situ.