Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Satu Samuel 30:1-31

RANGKA KANDUNGAN

  • Orang Amalek merompak dan membakar Ziklag (1-6)

    • Daud mendapat kekuatan daripada Tuhan (6)

  • Daud mengalahkan orang Amalek (7-31)

    • Daud menyelamatkan tawanan (18, 19)

    • Peraturan Daud tentang barang jarahan (23, 24)

30  Pada hari ketiga, Daud dan anak buahnya tiba di Ziklag.+ Orang Amalek+ telah merompak Ziklag dan kawasan-kawasan di selatan.* Mereka juga menyerang Ziklag dan membakarnya.  Mereka telah menawan semua wanita+ dan semua penduduk kota itu, daripada yang paling muda hingga yang paling tua, tetapi mereka tidak membunuh sesiapa pun. Mereka cuma mengambil tawanan lalu beredar dari situ.  Apabila Daud dan anak buahnya tiba di kota itu, mereka mendapati kota itu sudah dibakar, dan anak isteri mereka telah ditawan.  Mereka pun mula menangis dengan kuat sehingga mereka kehabisan tenaga dan tidak dapat menangis lagi.  Kedua-dua isteri Daud, iaitu Ahinoam dari Yizreel, dan Abigail, balu Nabal dari Karmel, juga telah ditawan.+  Semua orang begitu sedih dan marah kerana mereka kehilangan anak-anak mereka. Mereka hendak merejam Daud dengan batu. Maka Daud berasa sangat susah hati, tetapi dia mendapat kekuatan daripada Tuhannya, Yehuwa.+  Kemudian Daud berkata kepada Imam Abiatar+ anak Ahimelekh, “Bawalah efod ke sini.”+ Abiatar pun membawa efod itu kepada Daud.  Daud bertanya kepada Yehuwa,+ “Haruskah kami mengejar kumpulan perompak itu? Dapatkah aku mengejar mereka?” Tuhan menjawab, “Pergilah dan kejarlah mereka. Engkau pasti dapat mengejar mereka dan menyelamatkan semua orang dan harta benda.”+  Daud segera berangkat dengan 600 orang+ anak buahnya, dan mereka pergi sejauh Wadi* Besor. Tetapi sebilangan daripada mereka berhenti di situ 10  kerana mereka terlalu letih dan tidak mampu menyeberangi Wadi Besor. Maka Daud meneruskan perjalanannya dengan 400 orang anak buahnya sementara 200 orang yang lain berhenti di situ.+ 11  Mereka menjumpai seorang lelaki Mesir di padang lalu mereka membawanya kepada Daud. Mereka memberinya makanan dan minuman. 12  Selain itu, mereka memberinya sekeping kuih buah ara dan dua keping kuih kismis. Selepas dia makan, tenaganya pulih. Sebenarnya sudah tiga hari dan tiga malam dia tidak makan atau minum apa-apa pun. 13  Lalu Daud bertanya kepadanya, “Siapakah tuan kamu? Kamu dari mana?” Dia menjawab, “Aku dari Mesir, dan tuan aku ialah seorang lelaki Amalek. Tetapi tuan aku telah meninggalkan aku kerana aku jatuh sakit tiga hari yang lalu. 14  Kami telah merompak kawasan selatan* orang Kreti,+ kawasan orang Yehuda, dan kawasan selatan* Kaleb.+ Kami juga membakar Ziklag.” 15  Maka Daud berkata, “Sudikah kamu membawa kami ke tempat kumpulan perompak itu?” Dia menjawab, “Jika kamu bersumpah demi Tuhan bahawa kamu tidak akan membunuhku dan tidak akan menyerahkan aku ke dalam tangan tuan aku, aku akan membawa kamu kepada mereka.” 16  Dia pun membawa Daud kepada kumpulan perompak itu. Pada masa itu, mereka tersebar ke seluruh negeri. Mereka sedang makan minum dan berpesta kerana mereka telah merampas banyak barang dari negeri orang Filistin dan Yehuda. 17  Kemudian Daud melancarkan serangan dari awal pagi semasa hari masih gelap sehingga petang keesokan harinya. Tidak ada seorang pun yang terselamat,+ kecuali 400 orang yang melarikan diri dengan menunggang unta. 18  Daud menyelamatkan kedua-dua isterinya, dan berjaya mendapat semula semua yang dirampas oleh orang Amalek.+ 19  Tidak ada satu pun yang hilang, baik yang kecil mahupun yang besar. Mereka mendapat kembali anak-anak dan harta benda mereka.+ Ya, Daud membawa kembali segala sesuatu yang telah dirampas oleh orang Amalek. 20  Daud juga mengambil semua ternakan orang Amalek. Ternakan itu ditempatkan di hadapan ternakan mereka sendiri dan digiring oleh anak buah Daud. Mereka berkata, “Inilah jarahan Daud.” 21  Setelah itu, Daud kembali kepada 200 orang yang ditinggalkan di Wadi Besor+ kerana mereka terlalu letih untuk mengikuti dia. Mereka keluar untuk menemui Daud dan anak buahnya yang lain. Daud menghampiri mereka dan bertanya tentang keadaan mereka. 22  Tetapi dalam kalangan anak buah Daud yang mengikutinya, terdapat beberapa orang yang jahat dan tidak berguna. Mereka berkata, “Memandangkan semua orang ini tidak mengikut kita, kita tidak akan memberi mereka apa-apa pun daripada barang jarahan kita. Mereka hanya boleh mengambil anak isteri mereka lalu pergi.” 23  Daud berkata, “Hai saudara-saudaraku, Yehuwa telah melindungi kita dan menyerahkan kumpulan perompak itu ke dalam tangan kita. Tidak baik jika kita berbuat demikian dengan apa yang telah dikurniakan oleh Tuhan kepada kita.+ 24  Jika kamu bercakap buruk tentang mereka, tiada seorang pun yang akan bersetuju dengan pendapat kamu. Orang yang pergi bertempur akan menerima bahagian yang sama dengan orang yang ditinggalkan untuk menjaga barang-barang.+ Semua orang akan menerima bahagian masing-masing.”+ 25  Maka sejak hari itu, kata-kata Daud itu menjadi hukum dan peraturan orang Israel. 26  Apabila Daud pulang ke Ziklag, dia menghantar sebahagian daripada barang jarahan itu kepada kawan-kawannya, iaitu para pemimpin Yehuda. Dia berkata kepada mereka, “Inilah hadiah untukmu yang diambil daripada musuh-musuh Yehuwa.” 27  Daud menghantar hadiah itu kepada mereka yang berada di Bethel,+ di Ramot yang terletak di Negeb,* di Yatir,+ 28  di Aroer, di Sifmot, di Estemoa,+ 29  di Rakal, di kota-kota orang Yerahmeel,+ di kota-kota orang Keni,+ 30  di Horma,+ di Borasyan, di Atakh, 31  di Hebron,+ dan di semua kawasan yang pernah dikunjungi olehnya dan anak buahnya.

Nota Kaki

Atau “dan Negeb.”
Lihat Kamus.
Atau “merompak Negeb.”
Atau “dan Negeb.”
Atau “di selatan.”