Satu Samuel 25:1-44

  • Samuel meninggal (1)

  • Nabal menghalau anak buah Daud (2-13)

  • Abigail bertindak bijak (14-35)

    • Yehuwa melindungi nyawa (29)

  • Nabal dibunuh oleh Yehuwa (36-38)

  • Abigail menjadi isteri Daud (39-44)

25  Kemudian Samuel+ meninggal dan semua orang Israel berkumpul untuk meratapinya dan untuk mengebumikannya berdekatan rumahnya di Rama.+ Selepas itu, Daud berangkat ke padang belantara Paran.  Ada seorang penduduk Maon+ yang bekerja di Karmel.*+ Dia sangat kaya dan memiliki 3,000 ekor biri-biri serta 1,000 ekor kambing. Pada masa itu, dia sedang menggunting bulu biri-biri di Karmel.  Lelaki itu daripada keturunan Kaleb.+ Dia bernama Nabal+ dan isterinya bernama Abigail.+ Isterinya bijak dan cantik, tetapi dia kasar dan berkelakuan buruk.+  Daud yang berada di padang belantara mendengar bahawa Nabal sedang menggunting bulu biri-birinya.  Oleh itu, Daud mengutus 10 orang anak buahnya kepada Nabal. Dia berkata kepada mereka, “Pergilah ke Karmel dan apabila kamu berjumpa dengan Nabal, sampaikanlah salamku kepadanya.  Kemudian beritahulah dia kata-kata ini: ‘Semoga tuan berumur panjang dan sejahtera.* Semoga rumah tangga tuan dan segala milik tuan dalam keadaan baik.  Aku mendengar bahawa tuan sedang menggunting bulu biri-biri tuan. Semasa para gembala tuan berada bersama kami, kami tidak mencederakan mereka.+ Mereka pun tidak kehilangan apa-apa selama mereka berada di Karmel.  Tanyalah mereka dan mereka akan memberitahu tuan. Semoga anak buahku mendapat perkenan di mata tuan, kerana kami datang pada hari yang baik.* Berilah aku dan hamba-hambaku apa sahaja yang dapat tuan berikan.’”+  Oleh itu, anak buah Daud pergi dan menyampaikan kata-kata Daud kepada Nabal. Setelah mereka selesai bercakap, 10  Nabal berkata kepada mereka, “Siapakah Daud? Siapakah anak Isai itu? Sekarang, ada banyak hamba yang melarikan diri daripada tuan mereka.+ 11  Patutkah aku mengambil rotiku, air minumanku, dan daging yang aku sembelih untuk para penggunting bulu biri-biriku, lalu memberikannya kepada orang yang entah dari mana?” 12  Maka anak buah Daud kembali dan menyampaikan semua kata-kata itu kepadanya. 13  Dengan segera, Daud berkata kepada anak buahnya, “Ikatlah pedang kamu di pinggang masing-masing!”+ Oleh itu, mereka mengikat pedang mereka, dan Daud juga mengikat pedangnya. Kira-kira 400 orang pergi bersama Daud, sedangkan 200 orang lagi tinggal untuk menjaga barang-barang. 14  Sementara itu, salah seorang hamba Nabal berkata kepada Abigail, isteri Nabal, “Lihatlah! Daud telah menghantar utusan dari padang belantara untuk menyampaikan salam kepada tuan kami. Tetapi dia menghina mereka+ 15  padahal mereka sangat baik terhadap kami. Mereka tidak pernah mencederakan kami, dan kami tidak kehilangan apa-apa pun selama kami berada bersama mereka di padang belantara.+ 16  Sepanjang masa kami menggembala ternakan berdekatan mereka, mereka seperti tembok yang melindungi kami siang dan malam. 17  Sekarang, putuskanlah apa yang puan mahu lakukan, kerana hal ini tentu mendatangkan bencana kepada tuan Nabal dan seluruh rumah tangganya.+ Dia memang tidak berguna+ dan tiada sesiapa pun yang berani bercakap dengannya.” 18  Dengan segera, Abigail+ mengambil 200 ketul roti, dua buah bekas besar berisi wain, lima ekor biri-biri yang telah disembelih, lima buah bekas* biji-bijian yang telah dipanggang, 100 keping kuih kismis, dan 200 keping kuih buah ara. Dia memuatkan semua itu ke atas keldai-keldai.+ 19  Kemudian dia berkata kepada hamba-hambanya, “Pergilah mendahului aku. Aku akan menyusul.” Tetapi dia tidak memberitahu apa-apa kepada suaminya Nabal. 20  Semasa Abigail sedang menunggang keldainya, Daud dan anak buahnya sedang turun menuju ke arahnya. Mereka tidak dapat melihatnya kerana dia terlindung oleh gunung. Sebelum Abigail bertemu dengan mereka, 21  Daud telah berkata, “Sia-sia saja aku menjaga segala milik orang itu di padang belantara. Tiada satu pun miliknya yang hilang,+ namun dia membalas kebaikanku dengan kejahatan.+ 22  Jika aku tidak membunuh semua lelaki dalam rumah tangga Nabal sebelum esok pagi, biarlah Tuhan melakukan pembalasan terhadap musuh-musuhku* dan melipatgandakan hukuman-Nya atas mereka.” 23  Ketika Abigail nampak Daud, dia segera turun dari keldai. Dia berlutut dan bersujud di hadapan Daud. 24  Kemudian dia bersujud di kaki Daud dan berkata, “Tuan! Biarlah aku yang menanggung kesalahan itu. Benarkanlah hamba perempuanmu ini bercakap dan dengarkanlah kata-kata hamba. 25  Janganlah pedulikan Nabal, orang yang tidak berguna itu,+ kerana seperti namanya, demikianlah dia. Namanya Nabal* dan orangnya juga tidak berakal. Aku tidak ada di situ ketika utusan-utusan tuan tiba. 26  Sekarang, aku bersumpah demi Yehuwa yang hidup dan demi tuan, bahawa Yehuwalah yang telah mencegah tuan+ daripada menanggung hutang darah+ atau membalas dendam. Semoga musuh-musuh tuan dan orang yang ingin mencederakan tuan menjadi seperti Nabal. 27  Terimalah pemberian+ yang hamba bawa ini supaya tuan dapat memberikannya kepada anak buah yang mengikut tuan.+ 28  Ampunkanlah kesalahan hambamu ini. Tentu Yehuwa akan memastikan keturunan tuan memerintah sebagai raja untuk masa yang lama,*+ kerana tuan berjuang untuk Yehuwa+ dan tuan tidak melakukan apa-apa kejahatan seumur hidup tuan.+ 29  Apabila seseorang bangkit untuk mengejar dan memburu nyawa tuan, Yehuwa, Tuhan tuan, akan melindungi tuan sebagaimana seseorang melindungi barang berharga yang dibalut di dalam sebuah kantung. Namun, nyawa musuh-musuh tuan akan dilemparkan jauh-jauh oleh Tuhan, seperti batu yang dilontarkan dengan ali-ali. 30  Apabila Yehuwa menunaikan segala kebaikan yang dijanjikan-Nya kepada tuan dan melantik tuan sebagai pemimpin umat Israel,+ 31  tuan tidak akan berasa bersalah atau menyesal, kerana tuan tidak menumpahkan darah tanpa alasan atau membalas dendam.+ Apabila Yehuwa memberkati tuan, ingatlah akan hamba.” 32  Maka Daud berkata kepada Abigail, “Pujilah Yehuwa, Tuhan orang Israel, yang telah mengutus kamu kepadaku pada hari ini! 33  Diberkatilah kamu kerana kebijaksanaanmu! Semoga kamu diberkati kerana mencegahku daripada menanggung hutang darah+ atau membalas dendam pada hari ini. 34  Demi Yehuwa, Tuhan orang Israel yang hidup, yang mencegahku daripada mencederakan kamu,+ aku bersumpah bahawa jika kamu tidak datang kepadaku dengan segera,+ sudah tentu semua lelaki dalam rumah tangga Nabal akan mati sebelum esok pagi.”+ 35  Daud menerima pemberian Abigail lalu berkata kepadanya, “Pulanglah ke rumahmu dengan damai. Aku telah mendengar kata-katamu dan aku akan menunaikan permintaanmu.” 36  Kemudian Abigail kembali ke rumahnya. Pada waktu itu, Nabal sedang menikmati jamuan seperti seorang raja. Nabal bersuka ria dan mabuk. Oleh itu, Abigail tidak memberitahu apa-apa pun kepadanya sehingga keesokan pagi. 37  Pada waktu pagi, apabila Nabal tidak mabuk lagi, isterinya memberitahunya segala perkara. Lalu jantung Nabal menjadi lemah dan dia terbaring lumpuh seperti batu. 38  Kira-kira 10 hari kemudian, Yehuwa menyebabkan Nabal mati. 39  Apabila Daud mendengar bahawa Nabal sudah mati, dia berkata, “Pujilah Yehuwa! Dia telah membela aku+ setelah aku dihina oleh Nabal.+ Yehuwa mencegah hamba-Nya daripada melakukan kejahatan+ dan Dia menyebabkan Nabal ditimpa kejahatannya sendiri!” Selepas itu, Daud mengirim utusan untuk melamar Abigail. 40  Maka hamba-hamba Daud pergi kepada Abigail di Karmel lalu berkata kepadanya, “Daud mengutus kami kepadamu untuk melamarmu.” 41  Abigail segera bersujud dan berkata, “Aku sudi menjadi seorang hamba yang mencuci kaki+ hamba-hamba tuan.” 42  Kemudian Abigail+ segera bangun lalu menunggang keldainya dan lima orang hamba perempuannya berjalan di belakangnya. Dia pergi bersama para utusan Daud lalu menjadi isteri Daud. 43  Daud juga mengahwini Ahinoam+ dari Yizreel.+ Mereka berdua menjadi isteri Daud.+ 44  Namun Saul telah memberikan anak perempuannya Mikhal,+ iaitu isteri Daud, kepada Palti+ anak Lais dari Galim.

Nota Kaki

Sebuah kota di Yehuda; tidak sama dengan Gunung Karmel.
Atau “memiliki kedamaian.”
Atau “masa yang menggembirakan.”
Harfiah, “5 seah.” Lihat Lampiran B14.
Atau mungkin, “terhadap Daud.”
Maksudnya “Tidak Berakal; Bodoh.”
Harfiah, “akan membina sebuah rumah yang berkekalan untuk tuan.”