Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Satu Samuel 24:1-22

RANGKA KANDUNGAN

  • Daud tidak membunuh Saul (1-22)

    • Daud menghormati orang yang dilantik Yehuwa (6)

24  Sebaik saja Saul kembali daripada mengejar orang Filistin, dia diberitahu, “Lihatlah! Daud berada di padang belantara di En-gedi.”+  Maka Saul memilih 3,000 orang daripada seluruh umat Israel, lalu pergi mencari Daud dan semua anak buahnya di tebing batu di mana terdapat kambing gunung.  Saul sampai di kandang biri-biri* di tepi jalan dan di situ terdapat sebuah gua. Dia masuk ke dalam gua itu untuk buang air. Pada masa itu, Daud dan anak buahnya sedang duduk di dalam gua itu di bahagian yang lebih dalam.+  Anak buah Daud berkata kepadanya, “Inilah harinya Yehuwa berfirman kepadamu, ‘Lihatlah! Aku menyerahkan musuhmu ke dalam tanganmu+ dan engkau boleh melakukan apa saja yang engkau mahu terhadapnya.’” Oleh itu, Daud bangun dan dengan senyap-senyap dia memotong tepi jubah Saul yang tidak berlengan.  Tetapi selepas itu, Daud berasa bersalah*+ kerana dia telah memotong tepi jubah Saul yang tidak berlengan.  Dia berkata kepada anak buahnya, “Dalam pandangan Yehuwa, aku tidak sepatutnya melakukan hal seperti itu terhadap tuanku, orang yang dilantik oleh Yehuwa. Aku tidak boleh mencederakan dia kerana dia dilantik oleh Yehuwa.”+  Demikianlah Daud menghalang* anak buahnya dengan kata-kata itu dan dia tidak membenarkan mereka menyerang Saul. Saul pula meninggalkan gua itu, lalu meneruskan perjalanannya.  Kemudian Daud bangun dan keluar dari gua itu lalu berseru kepada Saul, “Tuanku!”+ Apabila Saul menoleh ke belakang, Daud berlutut dan bersujud kepadanya.  Daud berkata kepada Saul, “Mengapa tuanku mempercayai orang yang berkata, ‘Lihatlah! Daud ingin mencederakan tuanku’?+ 10  Hari ini tuanku telah melihat sendiri bahawa di dalam gua itu, Yehuwa telah menyerahkan tuanku ke dalam tangan hamba. Tetapi apabila orang lain menyuruh hamba membunuh tuanku,+ hamba mengasihani tuanku dan memberitahunya, ‘Aku tidak akan mencederakan tuanku kerana dia dilantik oleh Yehuwa.’+ 11  Lihatlah, ayahanda! Ya, lihatlah tepi jubah tuanku yang hamba pegang ini. Semasa hamba memotong tepi jubah tuanku yang tidak berlengan ini, hamba tidak membunuh tuanku. Maka tuanku dapat lihat dan sedar bahawa hamba tidak berniat untuk memberontak atau mencederakan tuanku, dan hamba tidak berdosa terhadap tuanku.+ Meskipun begitu, tuanku mengejar hamba dan ingin membunuh hamba.+ 12  Semoga Yehuwa menjadi hakim antara tuanku dengan hamba.+ Semoga Yehuwa membalas perbuatan tuanku bagi pihak hamba.+ Namun hamba tidak akan mencederakan tuanku.+ 13  Ada pepatah kuno yang berbunyi, ‘Daripada yang jahat berasal kejahatan.’ Tetapi hamba tidak akan mencederakan tuanku. 14  Adakah raja orang Israel sedang mengejar hamba? Tetapi siapakah hamba ini? Hamba seperti seekor anjing mati, seekor kutu sahaja!+ 15  Semoga Yehuwa menjadi hakim yang akan menghakimi kita berdua. Dia akan memeriksa perkara ini dan membela hamba.+ Dia juga akan menghakimi hamba dan menyelamatkan hamba daripada tangan tuanku.” 16  Sebaik saja Daud selesai mengucapkan kata-kata itu, Saul bertanya, “Anakku Daud, adakah itu suaramu?”+ Lalu Saul mula menangis dengan kuat. 17  Dia berkata kepada Daud, “Kamu tidak bersalah, betalah yang bersalah kerana kamu berbuat baik kepada beta sedangkan beta membalas kamu dengan kejahatan.+ 18  Hari ini kamu menunjukkan bahawa kamu berbuat baik kepada beta dengan tidak membunuh beta, walaupun Yehuwa telah menyerahkan beta ke dalam tanganmu.+ 19  Siapakah yang akan melepaskan musuh yang ditemuinya tanpa mencederakannya? Yehuwa akan memberkati kamu dengan kebaikan+ kerana kamu berbuat baik terhadap beta hari ini. 20  Sekarang lihatlah! Beta tahu bahawa kamu pasti memerintah sebagai raja+ dan bahawa kerajaan Israel akan berkekalan di bawah pemerintahanmu. 21  Bersumpahlah kepada beta demi Yehuwa+ bahawa kamu tidak akan melenyapkan keturunan beta dan bahawa kamu tidak akan menghapuskan nama beta daripada keluarga ayahanda beta.”+ 22  Oleh itu, Daud bersumpah kepada Saul. Kemudian Saul kembali ke rumahnya,+ manakala Daud dan anak buahnya kembali ke tempat mereka berlindung.+

Nota Kaki

Merujuk kepada kandang yang diperbuat daripada tembok batu.
Atau “hati nurani Daud menyalahkannya.”
Atau mungkin, “menyuraikan.”