Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Satu Raja-Raja 1:1-53

RANGKA KANDUNGAN

  • Daud dan Abisag (1-4)

  • Adonia mencuba merampas takhta (5-10)

  • Natan dan Bat-syeba bertindak (11-27)

  • Daud mengarahkan agar Salomo diurapi (28-40)

  • Adonia lari ke mazbah (41-53)

1  Raja Daud sudah tua+ dan lanjut usia. Meskipun mereka menutupinya dengan selimut, dia masih kesejukan.  Maka para pegawainya berkata, “Tuanku, utuslah orang untuk mencari seorang anak dara supaya dia dapat melayan dan menjaga tuanku. Dia akan berbaring dekat tuanku dan memanaskan badan tuanku.”  Oleh itu, mereka pergi ke seluruh negeri Israel untuk mencari seorang gadis yang cantik lalu menjumpai Abisag,+ seorang gadis Sunem.+ Kemudian mereka membawa dia kepada raja.  Gadis itu cantik sekali, dan dia menjaga raja. Tetapi raja tidak bersetubuh dengannya.  Sementara itu, Adonia,+ anak lelaki Hagit, meninggikan diri dengan berkata, “Aku akan menjadi raja!” Dia mempersiapkan sebuah kereta kuda dan para penunggang kuda untuk dirinya. Selain itu, dia juga menyuruh 50 orang untuk berlari di hadapannya.+  Tetapi bapanya tidak pernah menegurnya dengan berkata, “Mengapa kamu berbuat demikian?” Adonia juga sangat kacak, dan dia lahir selepas Absalom.  Dia mendapatkan nasihat daripada Yoab anak Zeruya, dan daripada Imam Abiatar.+ Mereka menyokong Adonia dan menawarkan bantuan kepadanya.+  Tetapi Imam Zadok,+ Benaya+ anak Yehoyada, Nabi Natan,+ Simei,+ Rei, dan para askar Daud yang gagah+ tidak menyokong Adonia.  Adonia mempersembahkan+ korban biri-biri, lembu, dan binatang yang gemuk di Batu Zohelet, yang terletak dekat En-rogel. Dia menjemput semua putera, iaitu adik-beradiknya, dan semua pegawai raja dari Yehuda. 10  Tetapi dia tidak menjemput Nabi Natan, Benaya, para askar Daud yang gagah, dan adiknya Salomo. 11  Maka Natan+ berkata kepada Bat-syeba,+ ibu Salomo,+ “Adakah permaisuri tahu bahawa Adonia+ anak Hagit telah menjadi raja? Daud, tuan kita, tidak tahu tentang hal itu. 12  Jadi sekarang biarlah hamba memberi permaisuri nasihat yang dapat menyelamatkan nyawa permaisuri dan nyawa Salomo, anak permaisuri.+ 13  Pergilah kepada Raja Daud dan katakanlah kepada baginda, ‘Tuanku telah bersumpah kepada hamba, “Anakmu Salomo akan duduk di atas takhta beta dan menggantikan beta sebagai raja.”+ Jadi sekarang mengapa Adonia pula yang menjadi raja?’ 14  Semasa permaisuri masih bercakap dengan raja, hamba akan masuk dan mengesahkan kata-kata permaisuri.” 15  Maka Bat-syeba pun pergi menghadap raja di dalam biliknya. Raja sudah sangat tua, dan Abisag,+ iaitu gadis dari Sunem, sedang menjaganya. 16  Bat-syeba membongkok lalu bersujud di hadapan raja. Raja pun bertanya, “Apakah permintaanmu?” 17  Bat-syeba menjawab, “Tuanku telah bersumpah kepada hamba demi nama Yehuwa, Tuhan tuanku, ‘Anakmu Salomo akan duduk di atas takhta beta dan menggantikan beta sebagai raja.’+ 18  Tetapi sekarang Adonia sudah menjadi raja, dan tuanku sama sekali tidak tahu tentang hal itu.+ 19  Adonia mempersembahkan banyak lembu jantan, binatang yang gemuk, dan biri-biri sebagai korban. Selepas itu, dia menjemput semua putera dan Imam Abiatar serta Yoab, ketua tentera tuanku.+ Tetapi dia tidak menjemput putera* tuanku, Salomo.+ 20  Sekarang umat Israel sedang menunggu keputusan tuanku tentang siapa yang akan duduk di atas takhta tuanku, untuk menggantikan tuanku sebagai raja. 21  Jika tuanku tidak berbuat demikian, sebaik sahaja tuanku meninggal,* hamba dan anak hamba, Salomo, pasti akan dianggap sebagai pengkhianat.” 22  Semasa dia masih bercakap kepada raja, Nabi Natan pun masuk.+ 23  Dengan segera, raja diberitahu, “Nabi Natan sudah sampai!” Lalu Natan menghadap raja dan bersujud di hadapannya. 24  Natan berkata, “Tuanku, adakah tuanku berkata, ‘Adonia akan duduk di atas takhta beta dan menggantikan beta sebagai raja’?+ 25  Hamba bertanya kerana pada hari ini, Adonia telah mempersembahkan+ banyak lembu jantan, binatang yang gemuk, dan biri-biri sebagai korban. Dia juga menjemput semua putera, ketua-ketua tentera, dan Imam Abiatar.+ Mereka sedang makan dan minum bersamanya sambil berkata, ‘Daulat Tuanku Raja Adonia!’ 26  Tetapi dia tidak menjemput hamba, Imam Zadok, Benaya+ anak Yehoyada, atau putera tuanku, Salomo. 27  Adakah semua ini berlaku dengan izin tuanku? Tuanku belum memberitahu hamba tentang siapa yang akan duduk di atas takhta tuanku, untuk menggantikan tuanku sebagai raja.” 28  Raja Daud berkata, “Panggillah Bat-syeba.” Lalu dia masuk menghadap raja. 29  Maka raja bersumpah, “Demi Yehuwa yang hidup, yang menyelamatkan beta daripada segala kesusahan beta,+ 30  beta telah bersumpah kepadamu demi nama Yehuwa, Tuhan orang Israel, bahawa anakmu Salomo akan duduk di atas takhta beta dan menggantikan beta sebagai raja. Maka itulah yang akan beta lakukan hari ini.” 31  Bat-syeba membongkok lalu bersujud di hadapan raja dan berkata, “Semoga tuanku Raja Daud hidup selama-lamanya!” 32  Dengan serta-merta, Raja Daud berkata, “Panggillah Imam Zadok, Nabi Natan, dan Benaya+ anak Yehoyada.”+ Maka mereka pun datang menghadap raja. 33  Raja berkata kepada mereka, “Bawalah para pegawai beta, dan aturkanlah supaya putera beta, Salomo, menunggang seekor baghal.+ Kemudian bawalah dia ke Gihon.+ 34  Di situ, Imam Zadok dan Nabi Natan akan mengurapinya+ sebagai raja orang Israel. Selepas itu, tiuplah trompet tanduk dan berseru, ‘Daulat Tuanku Raja Salomo!’+ 35  Kemudian iringilah dia kembali ke sini. Dia akan duduk di atas takhta beta kerana dia akan menggantikan beta sebagai raja, dan beta akan menjadikannya pemimpin Israel dan Yehuda.” 36  Dengan segera, Benaya anak Yehoyada berkata, “Amin! Semoga Yehuwa, Tuhan kepada tuanku, mengesahkan hal ini. 37  Sepertimana Yehuwa menyertai tuanku, semoga Dia juga menyertai Salomo,+ dan menjadikan takhtanya lebih besar daripada takhta tuanku Raja Daud.”+ 38  Kemudian Imam Zadok, Nabi Natan, Benaya+ anak Yehoyada, orang Kreti, dan orang Pleti+ mengiringi Salomo. Dia menunggang baghal Raja Daud,+ dan mereka membawa dia ke Gihon.+ 39  Imam Zadok mengambil tanduk yang berisi minyak+ daripada khemah suci+ lalu mengurapi Salomo+ dengan minyak itu. Kemudian trompet tanduk ditiup dan semua orang mula berseru, “Daulat Tuanku Raja Salomo!” 40  Selepas itu, semua orang mengiringi Raja Salomo sambil meniup seruling dan bersorak-sorak dengan gembira. Suara mereka begitu kuat sehingga bumi seakan-akan terbelah.+ 41  Adonia dan para tetamu yang ada bersamanya baru sahaja selesai makan lalu mereka terdengar bunyi bising itu.+ Apabila Yoab mendengar bunyi trompet tanduk, dia berkata, “Mengapakah suasana kota begitu bising?” 42  Sementara dia masih bercakap, Yonatan,+ iaitu anak kepada Imam Abiatar, datang. Kemudian Adonia berkata, “Masuklah. Kamu orang yang baik. Sudah tentu kamu membawa berita yang baik.” 43  Tetapi Yonatan menjawab, “Tidak! Tuan kita Raja Daud telah melantik Salomo menjadi raja. 44  Raja Daud mengutus Imam Zadok, Nabi Natan, Benaya anak Yehoyada, orang Kreti, dan orang Pleti untuk mengiringi Salomo yang menunggang baghal raja.+ 45  Di Gihon, Imam Zadok dan Nabi Natan mengurapinya menjadi raja. Kemudian mereka semua pergi dari situ dengan penuh sukacita sehingga kota menjadi riuh sekali. Bunyi itulah yang kamu dengar tadi. 46  Sekarang Salomo sudah duduk di atas takhta raja. 47  Selain itu, para pegawai raja telah datang untuk mengucapkan tahniah kepada Raja Daud. Mereka berkata, ‘Semoga Tuhan tuanku menjadikan nama Salomo lebih mulia daripada nama tuanku. Semoga Dia menjadikan takhta Salomo lebih besar daripada takhta tuanku!’ Pada waktu itu, raja yang berada di atas katil menundukkan kepalanya 48  lalu berkata, ‘Terpujilah Yehuwa, Tuhan orang Israel. Hari ini, Engkau telah melantik seseorang untuk duduk di atas takhtaku, dan Engkau telah membenarkan aku melihatnya dengan mataku sendiri!’” 49  Semua tetamu Adonia menjadi takut. Mereka berdiri lalu meninggalkan tempat itu, masing-masing pergi mengikut jalan sendiri. 50  Adonia juga takut akan Salomo. Maka dia berdiri lalu pergi ke mazbah dan memegang tanduk mazbah.+ 51  Salomo diberitahu, “Adonia takut akan tuanku Raja Salomo. Dia pergi ke mazbah lalu memegang tanduk mazbah dan berkata, ‘Mintalah Raja Salomo untuk bersumpah kepada hamba terlebih dahulu bahawa baginda tidak akan membunuh hamba dengan pedangnya.’” 52  Oleh itu, Salomo berkata, “Jika dia berpegang pada janjinya, tidak ada sehelai pun daripada rambutnya yang akan gugur ke tanah. Tetapi jika dia berbuat jahat, dia akan dihukum mati.”+ 53  Maka Raja Salomo mengutus orang untuk menurunkannya dari mazbah. Kemudian Adonia menghadap Raja Salomo lalu bersujud di hadapannya. Salomo berkata kepadanya, “Pulanglah ke rumahmu.”

Nota Kaki

Harfiah, “hamba.”
Harfiah, “dibaringkan bersama nenek moyang tuanku.”