Satu Korintus 7:1-40

  • Nasihat bagi orang yang belum berkahwin dan orang yang sudah berkahwin (1-16)

  • Tetap dalam keadaan seperti pada masa dipanggil (17-24)

  • Orang yang belum berkahwin dan para balu (25-40)

    • Kelebihan tidak berkahwin (32-35)

    • Berkahwin hanya dengan pengikut Tuan (39)

7  Berkenaan dengan soalan yang kamu tulis, adalah lebih baik jika seorang lelaki tidak menyentuh* seorang wanita.  Namun, memandangkan begitu ramai orang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral,* hendaklah setiap lelaki mempunyai isteri sendiri,+ dan hendaklah setiap wanita mempunyai suami sendiri.+  Hendaklah suami memenuhi kewajipannya kepada isterinya, dan hendaklah isteri juga memenuhi kewajipannya kepada suaminya.+  Isteri tidak berkuasa atas tubuh sendiri, sebaliknya suamilah yang berkuasa atas tubuh isteri. Begitu juga, suami tidak berkuasa atas tubuh sendiri, tetapi isterilah yang berkuasa atas tubuh suami.  Janganlah suami atau isteri mengabaikan kewajipan terhadap satu sama lain. Biarpun kamu berdua bersetuju untuk mengetepikan kewajipan ini buat suatu jangka waktu kerana ingin mengekhaskan masa untuk berdoa, kamu harus bersatu semula selepas itu, supaya Syaitan tidak terus menggoda kamu kerana kamu tidak dapat mengawal diri.  Namun, aku mengatakan hal-hal ini bukan sebagai perintah. Kamu boleh memilih sama ada kamu ingin melakukannya atau tidak.  Aku berharap semua orang menjadi seperti aku. Walau bagaimanapun, setiap orang menerima kurnia masing-masing+ daripada Tuhan. Ada yang menerima kurnia ini dan ada yang menerima kurnia itu.  Kepada mereka yang belum berkahwin dan mereka yang sudah menjadi balu, beginilah nasihatku: Adalah lebih baik jika mereka meneruskan kehidupan mengikut keadaan mereka sekarang seperti aku.+  Namun jika mereka tidak dapat mengawal diri, biarlah mereka berkahwin. Lebih baik berkahwin daripada membiarkan nafsu berahi berkobar-kobar.+ 10  Kepada orang yang sudah berkahwin, beginilah arahanku. Sebenarnya ini bukan arahanku tetapi arahan Tuan kita. Seorang isteri tidak patut berpisah dengan suaminya.+ 11  Namun, jika dia berpisah dengan suaminya, dia harus tetap tidak berkahwin. Jika tidak, dia harus berbaik semula dengan suaminya. Seorang suami juga tidak patut meninggalkan isterinya.+ 12  Kepada orang lain aku berkata begini (ini merupakan kata-kataku sendiri, dan bukannya kata-kata Tuan kita):+ Jika seorang saudara mempunyai isteri yang tidak seiman, dan isterinya itu bersetuju untuk tinggal bersamanya, dia tidak patut meninggalkan isterinya. 13  Jika seorang wanita mempunyai suami yang tidak seiman, dan suaminya itu bersetuju untuk tinggal bersamanya, dia tidak patut meninggalkan suaminya. 14  Hal ini demikian kerana suami yang tidak seiman itu sudah disucikan kerana hubungannya dengan isterinya. Demikian juga, isteri yang tidak seiman itu sudah disucikan kerana hubungannya dengan suaminya yang percaya. Jika tidak, anak-anak kamu akan menjadi najis di mata Tuhan, tetapi sekarang mereka menjadi suci. 15  Namun, jika pihak yang tidak seiman memilih untuk meninggalkan* pasangannya, biarlah dia berbuat demikian. Dalam keadaan sebegini, seorang saudara atau saudari tidak diwajibkan untuk terus hidup bersama pasangannya yang tidak seiman itu. Tuhan telah memberi kamu kedamaian.+ 16  Hai isteri, bagaimana kamu tahu bahawa kamu tidak akan dapat menyelamatkan suami kamu?+ Hai suami, bagaimana kamu tahu bahawa kamu tidak akan dapat menyelamatkan isteri kamu? 17  Hendaklah setiap orang hidup menurut apa yang sudah diberikan oleh Yehuwa* kepadanya, iaitu menurut keadaannya semasa dia dipanggil oleh Tuhan.+ Aku memberikan arahan ini kepada semua sidang. 18  Adakah sesiapa sudah bersunat ketika dia dipanggil?+ Biarlah dia tetap dalam keadaannya. Adakah sesiapa belum bersunat ketika dia dipanggil? Biarlah dia tetap tidak bersunat.+ 19  Tidaklah penting sama ada bersunat atau tidak.+ Yang penting ialah kepatuhan pada perintah Tuhan.+ 20  Hendaklah setiap orang tetap dalam keadaan seperti pada masa dia dipanggil.+ 21  Adakah kamu seorang hamba semasa kamu dipanggil? Janganlah biarkan hal itu membuat kamu susah hati.+ Namun jika kamu mendapat peluang untuk dibebaskan, janganlah lepaskan peluang itu. 22  Mana-mana murid Tuan kita yang merupakan seorang hamba semasa dipanggil sudah dibebaskan dan menjadi milik Tuan kita.+ Begitu juga, sesiapa yang merupakan orang bebas semasa dipanggil ialah hamba kepada Kristus. 23  Kamu sudah dibeli dengan harga yang tinggi,+ maka jangan lagi menjadi hamba manusia. 24  Saudara-saudara, tidak kira apa keadaan kamu pada masa kamu dipanggil, hendaklah kamu semua tetap hidup menurut keadaan itu di hadapan Tuhan. 25  Sehubungan dengan orang yang belum berkahwin,* aku tidak menerima perintah daripada Tuan kita. Tetapi sebagai seorang yang setia kerana belas kasihan yang ditunjukkan oleh Tuan kita, aku memberikan pendapatku.+ 26  Memandangkan keadaan sekarang susah, aku berpendapat bahawa lebih baik seorang lelaki tetap dalam keadaannya. 27  Jika kamu sudah beristeri, jangan lagi mencari jalan untuk berpisah dengannya.+ Jika kamu tidak beristeri, jangan lagi berusaha untuk mencari seorang isteri. 28  Namun, kamu tidak berdosa jika kamu berkahwin. Seseorang yang belum berkahwin* juga tidak berdosa jika dia berkahwin. Tetapi orang yang berkahwin akan menghadapi banyak kesusahan. Aku mahu kamu terhindar daripada hal itu. 29  Saudara-saudara, pertimbangkanlah juga hal ini: Waktu yang ada hanya tinggal sedikit.+ Mulai sekarang, orang yang beristeri hendaklah menjadi seperti orang yang tidak beristeri; 30  orang yang menangis hendaklah menjadi seperti orang yang tidak menangis; orang yang bersukacita hendaklah menjadi seperti orang yang tidak bersukacita; orang yang membeli hendaklah menjadi seperti orang yang tidak memiliki apa yang dibeli; 31  orang yang menggunakan dunia ini hendaklah menjadi seperti orang yang tidak menggunakan dunia ini dengan sepenuhnya. Hal ini demikian kerana keadaan dunia ini sedang berubah. 32  Aku mahu kamu bebas daripada kekhuatiran. Lelaki yang tidak berkahwin menumpukan perhatian kepada perkara-perkara Tuan, kerana dia mahu menyenangkan hati Tuan. 33  Namun, lelaki yang berkahwin menumpukan perhatian kepada perkara-perkara di dunia,+ kerana dia mahu menyenangkan hati isterinya. 34  Oleh itu, perhatiannya berbelah bahagi. Seorang wanita yang tidak berkahwin dan seorang perawan menumpukan perhatian kepada perkara-perkara Tuan,+ supaya tubuh dan fikiran mereka menjadi suci. Namun, wanita yang berkahwin menumpukan perhatian kepada perkara-perkara di dunia, kerana dia mahu menyenangkan hati suaminya. 35  Aku mengatakan hal ini demi kebaikan kamu sendiri, bukannya untuk mengongkong kamu. Aku ingin mendorong kamu agar melakukan apa yang sewajarnya dan mendorong kamu agar sentiasa berkhidmat kepada Tuan dengan sepenuh hati tanpa gangguan. 36  Namun, jika seseorang yang belum berkahwin berasa bahawa dia tidak dapat mengawal nafsunya, dan jika dia sudah melewati masa remaja,* inilah yang harus dilakukan: Biarlah dia melakukan apa yang ingin dilakukannya; dia tidak berdosa. Biarlah mereka berkahwin.+ 37  Namun seseorang mungkin berasa bahawa dia tidak perlu berkahwin dan dapat mengawal nafsunya. Dia mungkin sudah bertekad untuk tidak berkahwin, dan membuat keputusan ini dalam hatinya sendiri. Jika demikian, dia melakukan hal yang baik.+ 38  Maka, sesiapa yang berkahwin melakukan hal yang baik, tetapi sesiapa yang tidak berkahwin melakukan hal yang lebih baik.+ 39  Seorang isteri terikat kepada suaminya selagi suaminya masih hidup.+ Jika suaminya tidur dalam kematian, dia bebas berkahwin dengan sesiapa sahaja yang diingininya, asalkan orang itu pengikut Tuan kita.+ 40  Namun dia akan lebih berbahagia jika dia tidak berkahwin lagi. Walaupun ini pendapatku sendiri, aku juga berpendapat bahawa aku memiliki kuasa suci Tuhan.

Nota Kaki

Atau mungkin, “tidak berkahwin dan mengadakan hubungan seks dengan.”
Bentuk jamak bagi perkataan Yunani por·neiʹa. Lihat Kamus.
Atau “berpisah dengan.”
Harfiah, “dara atau teruna.”
Harfiah, “dara atau teruna.”
Merujuk kepada masa remaja apabila seseorang mempunyai hawa nafsu yang sangat kuat.