Yohanes 9:1-41

  • Lelaki yang dilahirkan buta disembuhkan (1-12)

  • Orang Farisi menyoal lelaki yang sembuh (13-34)

  • Orang Farisi “buta” (35-41)

9  Semasa dalam perjalanan, Yesus nampak seorang lelaki yang buta sejak lahir.  Murid-murid Yesus bertanya kepadanya, “Rabbi, siapakah yang berdosa sehingga lelaki ini dilahirkan buta? Dia atau ibu bapanya?”  Yesus menjawab, “Lelaki ini buta bukan kerana dosanya sendiri ataupun dosa ibu bapanya. Hal ini berlaku supaya perbuatan Tuhan dapat disingkapkan.  Semasa hari masih siang, kita harus melakukan kerja yang diberikan oleh Dia yang mengutus aku. Apabila malam tiba, tiada seorang pun dapat bekerja.  Selagi aku masih di dunia ini, akulah cahaya dunia.”  Setelah berkata demikian, Yesus meludah ke tanah, mencampurkan tanah dengan ludahnya, lalu menyapukan campuran itu pada mata lelaki tersebut.  Kemudian Yesus berkata kepadanya, “Pergilah basuh mata kamu di Kolam Siloam” (yang bererti “Yang Membuak-buak”). Maka lelaki itu pergi membasuh matanya. Apabila dia kembali, dia dapat melihat.  Maka jiran-jirannya dan orang yang biasa melihat dia mengemis bertanya, “Bukankah dia lelaki yang selalu duduk meminta sedekah?”  Ada orang yang berkata, “Ya, dialah orangnya.” Ada pula berkata, “Bukan. Orang ini hanya mirip dengan dia.” Tetapi lelaki itu asyik berkata, “Akulah orang itu.” 10  Maka mereka bertanya kepadanya, “Bagaimanakah kamu dapat melihat?” 11  Dia menjawab, “Seorang lelaki yang bernama Yesus menyediakan sesuatu lalu menyapukannya pada mataku. Selepas itu, dia berkata kepada aku, ‘Pergilah basuh mata kamu di Kolam Siloam,’ maka aku pun pergi. Selepas membasuh mata, aku dapat melihat.” 12  Mereka bertanya, “Di manakah lelaki itu?” Dia menjawab, “Aku tidak tahu.” 13  Mereka membawa lelaki yang dahulunya buta itu kepada orang Farisi. 14  Kebetulan Yesus membuat campuran itu dan memulihkan penglihatan lelaki tersebut pada hari Sabat. 15  Maka orang Farisi juga bertanya kepada lelaki itu bagaimana dia dapat melihat. Lelaki itu menjawab, “Dia menyapukan sesuatu pada mataku lalu aku membasuh mata dan dapat melihat.” 16  Beberapa orang Farisi mula berkata, “Dia tidak berasal daripada Tuhan kerana dia tidak mematuhi hukum Sabat.” Yang lain pula berkata, “Bagaimanakah seorang pendosa dapat melakukan mukjizat-mukjizat seperti ini?” Maka timbullah perpecahan antara mereka. 17  Mereka berkata lagi kepada orang buta itu, “Memandangkan dia telah menyembuhkan mata kamu, apakah pendapat kamu tentangnya?” Lelaki itu menjawab, “Dia seorang nabi.” 18  Namun, orang Yahudi tidak percaya bahawa dahulu dia buta tetapi sekarang dapat melihat. Maka mereka memanggil ibu bapa lelaki itu 19  dan bertanya kepada mereka, “Benarkah dia ini anak kamu yang kamu kata dilahirkan buta? Sekarang bagaimanakah dia dapat melihat?” 20  Ibu bapanya menjawab, “Ya. Dia memang anak kami yang dilahirkan buta. 21  Tetapi kami tidak tahu bagaimana dia dapat melihat sekarang, atau siapa yang telah memulihkan penglihatannya. Tanyalah dia. Dia sudah dewasa dan harus menjawab sendiri.” 22  Ibu bapanya berkata demikian kerana mereka takut akan pemimpin agama Yahudi. Pemimpin agama Yahudi sudah bersepakat bahawa sesiapa sahaja yang mengakui Yesus sebagai Kristus patut dibuang dari rumah ibadat. 23  Itulah sebabnya ibu bapanya berkata, “Dia sudah dewasa. Tanyalah dia.” 24  Sekali lagi mereka memanggil lelaki yang dahulunya buta itu dan berkata kepadanya, “Muliakanlah Tuhan dengan bercakap benar. Kami tahu bahawa lelaki itu seorang pendosa.” 25  Maka dia menjawab, “Sama ada dia seorang pendosa atau tidak, aku tidak tahu. Tetapi aku tahu satu hal: Dahulu aku buta tetapi sekarang aku dapat melihat.” 26  Mereka pun bertanya, “Apakah yang dilakukannya terhadap kamu? Bagaimanakah dia memulihkan penglihatan kamu?” 27  Dia menjawab, “Aku sudah pun memberitahu kamu tetapi kamu semua enggan mendengarnya. Mengapakah kamu mahu mendengarnya lagi? Adakah kamu pun mahu menjadi murid-muridnya?” 28  Mereka mencaci dia dengan berkata, “Kamu murid lelaki itu tetapi kami murid Musa. 29  Kami tahu bahawa Tuhan telah berfirman kepada Musa tetapi kami tidak tahu dari mana datangnya lelaki itu.” 30  Dia berkata, “Hal ini sungguh menghairankan! Kamu tidak tahu dari mana dia datang, namun dia telah memulihkan penglihatanku. 31  Kita tahu bahawa Tuhan tidak mendengar doa orang yang berdosa, tetapi Dia mendengar doa orang yang takut kepada-Nya dan yang melakukan kehendak-Nya. 32  Dari dahulu lagi, tidak pernah ada berita tentang sesiapa yang dapat memulihkan penglihatan orang yang dilahirkan buta. 33  Jika orang ini tidak berasal daripada Tuhan, dia tidak akan dapat melakukan apa-apa pun.” 34  Mereka berkata, “Sejak lahir lagi kamu diselubungi dosa. Adakah kamu cuba mengajar kami?” Lalu mereka menghalau dia keluar! 35  Selepas Yesus mendengar bahawa mereka telah menghalau lelaki itu keluar, dia berjumpa dengannya lalu berkata, “Adakah kamu beriman kepada Anak manusia?” 36  Lelaki itu menjawab, “Tuan, siapakah dia? Beritahulah aku agar aku dapat beriman kepadanya.” 37  Yesus berkata kepadanya, “Kamu sudah melihat dia. Sebenarnya, dialah yang bercakap dengan kamu sekarang ini.” 38  Maka lelaki itu berkata, “Ya Tuan. Aku beriman.” Kemudian, lelaki itu sujud kepadanya. 39  Yesus berkata, “Aku datang ke dunia ini agar orang dapat dihakimi. Dengan ini orang yang buta dapat melihat, dan orang yang dapat melihat menjadi buta.” 40  Pada masa itu, ada beberapa orang Farisi bersamanya. Apabila mereka mendengar semua itu, mereka berkata, “Adakah Guru bermaksud bahawa kami juga buta?” 41  Yesus menjawab, “Jika kamu buta, kamu tidak berdosa. Tetapi sekarang kamu berkata, ‘Kami melihat.’ Maka dosa kamu tidak akan diampunkan.”

Nota Kaki