Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Yohanes 4:1-54

RANGKA KANDUNGAN

  • Yesus dan wanita Samaria (1-38)

    • Sembah Tuhan dengan “daya aktif dan kebenaran” (23, 24)

  • Orang Samaria beriman kepada Yesus (39-42)

  • Anak pegawai raja disembuhkan (43-54)

4  Orang Farisi mendengar bahawa Yesus mendapat dan membaptis lebih banyak murid berbanding Yohanes. Apabila Tuan Yesus mengetahui hal ini,  (sebenarnya Yesus tidak membaptis sesiapa pun tetapi murid-muridnya yang melakukan hal itu)  dia meninggalkan Yudea dan bertolak ke Galilea sekali lagi.  Namun, dia harus melalui Samaria.  Dalam perjalanannya, dia tiba di sebuah kota di Samaria yang disebut Sikhar. Kota itu berhampiran dengan tanah yang diberikan oleh Yakub kepada anaknya, Yusuf.  Sebenarnya, perigi Yakub ada di sana. Yesus penat kerana perjalanannya, maka dia duduk di tepi perigi* itu. Pada masa itu, waktunya kira-kira jam 12 tengah hari.*  Seorang wanita Samaria datang untuk menimba air. Yesus berkata kepadanya, “Berilah aku minum.”  (Murid-muridnya sudah pergi ke kota untuk membeli makanan.)  Wanita Samaria itu berkata kepadanya, “Tuan ialah orang Yahudi sedangkan aku seorang wanita Samaria. Mengapakah Tuan meminta minum daripada aku?” (Hal ini demikian kerana orang Yahudi tidak bercakap dengan orang Samaria.) 10  Yesus menjawab, “Jika kamu tahu tentang kurniaan Tuhan yang diberikan secara percuma dan siapa yang berkata kepadamu, ‘Berilah aku minum,’ sudah pasti kamu akan meminta air daripadanya, dan dia akan memberikan air kehidupan kepadamu.” 11  Wanita itu berkata kepadanya, “Tuan tidak mempunyai timba untuk mengambil air, lagipun perigi ini dalam. Dari manakah Tuan boleh mendapat air kehidupan ini? 12  Adakah Tuan lebih besar daripada Yakub, nenek moyang kami? Dia yang memberi kami perigi ini, dan dia juga minum air perigi ini bersama anak-anak lelakinya dan ternakannya.” 13  Yesus menjawab, “Sesiapa yang minum air ini akan dahaga lagi. 14  Namun, sesiapa yang minum air yang aku berikan tidak akan dahaga lagi. Air itu akan menjadi seperti mata air dalam dirinya yang memberikan kehidupan kekal.” 15  Wanita itu berkata, “Tuan, berilah aku air itu supaya aku tidak dahaga lagi dan tidak perlu kembali ke sini untuk menimba air.” 16  Dia berkata kepada wanita itu, “Pergilah dan panggil suamimu. Kemudian, datanglah ke sini.” 17  Wanita itu menjawab, “Aku tidak mempunyai suami.” Yesus berkata, “Benar katamu bahawa kamu tidak bersuami. 18  Kamu pernah mempunyai lima orang suami, dan lelaki yang tinggal bersamamu sekarang bukanlah suamimu. Memang benar katamu.” 19  Kemudian wanita itu berkata, “Sekarang aku tahu bahawa Tuan ialah seorang nabi. 20  Nenek moyang kami beribadat di gunung ini, tetapi bangsa Tuan mengatakan bahawa orang hanya boleh beribadat di Yerusalem.” 21  Yesus membalas, “Percayalah kepadaku, masanya akan tiba apabila kamu semua tidak akan menyembah Bapa di gunung ini ataupun di Yerusalem. 22  Kamu semua tidak tahu siapa yang kamu sembah, tetapi kami tahu siapa yang kami sembah, kerana penyelamatan bermula daripada orang Yahudi. 23  Walau bagaimanapun, masanya akan tiba, malahan sudah tiba, apabila penyembah sejati akan menyembah Bapa dengan bimbingan daya aktif dan kebenaran. Sebenarnya, Bapa sedang mencari orang sedemikian untuk menyembah-Nya. 24  Tuhan ialah Roh, dan semua penyembah-Nya mesti menyembah-Nya dengan bimbingan daya aktif dan kebenaran.” 25  Kemudian wanita itu berkata kepadanya, “Aku tahu bahawa Mesias yang dipanggil Kristus akan datang. Apabila dia tiba, dia akan memberitahu kami segala-galanya secara terbuka.” 26  Yesus berkata kepadanya, “Akulah dia; aku yang sedang bercakap denganmu.” 27  Pada masa itu, murid-murid Yesus kembali. Mereka berasa hairan apabila melihatnya bercakap dengan seorang wanita. Tetapi, tiada seorang pun yang bertanya, “Apakah yang Guru perlukan?” atau, “Mengapakah Guru bercakap dengan dia?” 28  Maka wanita tersebut meninggalkan tembikar airnya lalu pergi ke kota dan memberitahu orang di sana, 29  “Datanglah dan lihatlah lelaki yang memberitahu aku semua hal yang pernah aku lakukan. Mungkinkah dia itu Kristus?” 30  Mereka keluar dari kota lalu pergi kepada Yesus. 31  Sementara itu, murid-murid Yesus mengajaknya makan. Mereka berkata, “Rabbi, makanlah.” 32  Tetapi dia berkata kepada mereka, “Aku mempunyai makanan yang tidak kamu ketahui.” 33  Maka murid-muridnya berkata kepada satu sama lain, “Tiada sesiapa yang membawa makanan untuknya, bukan?” 34  Yesus berkata kepada mereka, “Makananku ialah melakukan kehendak Dia yang mengutus aku dan menyelesaikan pekerjaan yang diberikan-Nya kepadaku. 35  Kamu mengatakan bahawa masih ada empat bulan sebelum musim menuai tiba. Namun, aku berkata kepada kamu: Lihatlah, ladang-ladang sudah menguning dan siap untuk dituai. 36  Penuai sudah pun menerima upah dan sedang mengumpulkan hasil tuaian, iaitu orang yang akan menerima kehidupan kekal. Dengan itu, penabur benih dan penuai dapat bersukacita bersama-sama. 37  Dalam hal ini, benarlah pepatah yang berbunyi: Seorang ialah penabur benih dan seorang lagi ialah penuai. 38  Aku mengutus kamu untuk menuai apa yang tidak kamu usahakan. Orang lain bekerja dan kamu mendapat faedah daripada hasil titik peluh mereka.” 39  Banyak orang Samaria dari kota itu mula beriman kepada Yesus setelah wanita itu memberikan kesaksian dengan berkata, “Dia memberitahu aku semua hal yang pernah aku lakukan.” 40  Maka, apabila orang Samaria pergi kepada Yesus, mereka memintanya tinggal bersama mereka. Jadi dia tinggal di situ selama dua hari. 41  Hasilnya, lebih banyak orang percaya setelah mendengar ajarannya. 42  Mereka berkata kepada wanita itu, “Sekarang kami percaya, bukan sahaja kerana apa yang kamu katakan, tetapi kerana kami sendiri sudah mendengarnya dan kami tahu bahawa lelaki ini sememangnya penyelamat dunia.” 43  Yesus tinggal di sana selama dua hari. Kemudian dia bertolak ke Galilea. 44  Yesus sendiri pernah mengatakan bahawa seorang nabi tidak dihormati di kampung halamannya sendiri. 45  Apabila dia tiba di Galilea, orang Galilea menyambutnya kerana semasa mereka menghadiri perayaan di Yerusalem, mereka telah melihat semua perkara yang dilakukannya di situ. 46  Selepas itu, dia kembali ke Kana di Galilea, iaitu tempat dia pernah mengubah air menjadi wain. Di situ ada seorang pegawai raja. Dia mempunyai seorang anak lelaki yang sakit di Kapernaum. 47  Apabila pegawai tersebut mendapat tahu bahawa Yesus bertolak dari Yudea dan tiba di Galilea, dia pergi berjumpa dengan Yesus. Dia memintanya untuk datang dan menyembuhkan anaknya yang hampir mati. 48  Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Jika kamu semua tidak melihat mukjizat dan perkara yang ajaib, kamu tidak akan percaya sama sekali.” 49  Pegawai raja itu berkata kepadanya, “Tuan, datanglah sebelum anakku mati.” 50  Yesus berkata, “Pergilah. Anakmu sudah sembuh.” Lelaki itu percaya pada kata-kata Yesus lalu pergi dari situ. 51  Dalam perjalanan pulang, hamba-hamba pegawai itu datang dan memberitahunya bahawa anaknya sudah sembuh. 52  Maka pegawai itu bertanya bila anaknya sembuh. Mereka berkata, “Demamnya hilang kira-kira jam satu tengah hari* semalam.” 53  Bapa anak tersebut tahu bahawa pada waktu itulah Yesus berkata kepadanya, “Anakmu sudah sembuh.” Jadi dia dan seluruh rumah tangganya percaya kepada Yesus. 54  Itulah mukjizat kedua yang dilakukan oleh Yesus semasa dia datang dari Yudea ke Galilea.

Nota Kaki

Atau “mata air.”
Harfiah, “kira-kira jam yang keenam.”
Harfiah, “jam yang ketujuh.”