Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Yohanes 2:1-25

RANGKA KANDUNGAN

  • Perkahwinan di Kana; air menjadi wain (1-12)

  • Yesus menyucikan Rumah Tuhan (13-22)

  • Yesus tahu isi hati manusia (23-25)

2  Dua hari kemudian, sebuah majlis perkahwinan diadakan di Kana, Galilea, dan ibu Yesus ada di sana.  Yesus dan murid-muridnya juga dijemput ke majlis perkahwinan itu.  Apabila wain hampir habis, ibu Yesus berkata kepada Yesus, “Mereka kehabisan wain.”  Tetapi Yesus berkata kepada ibunya, “Apakah kaitan hal itu dengan ibu dan aku? Saatku belum tiba.”  Kemudian ibu Yesus berkata kepada pelayan-pelayan di situ, “Lakukan apa sahaja yang dikatakannya kepada kamu.”  Sesuai dengan adat penyucian orang Yahudi, ada enam buah tempayan air yang diperbuat daripada batu diletakkan di situ. Setiap tempayan dapat mengisi kira-kira 44 sehingga 66 liter cecair.  Yesus berkata kepada mereka, “Isilah tempayan-tempayan itu dengan air.” Maka mereka mengisi semua tempayan itu sehingga penuh.  Kemudian dia berkata kepada mereka, “Sekarang ambillah sedikit untuk dihidangkan kepada ketua majlis.” Mereka pun menurut kata-katanya.  Ketua majlis itu merasai air yang telah diubah menjadi wain. Dia tidak tahu dari mana datangnya wain itu (tetapi hamba-hamba yang telah mengambil air itu tahu). Maka dia memanggil pengantin lelaki 10  lalu berkata kepadanya, “Orang lain biasanya menyajikan wain yang bermutu tinggi terlebih dahulu. Selepas tetamu sudah mabuk, barulah wain yang kurang bermutu dihidangkan. Tetapi kamu telah menyimpan wain yang bermutu tinggi sehingga sekarang.” 11  Inilah mukjizat Yesus yang pertama, yang dilakukannya di Kana, Galilea. Dengan berbuat demikian, dia telah menyatakan kemuliaannya, dan murid-muridnya beriman kepadanya. 12  Selepas itu, Yesus, ibunya, adik-adiknya, dan murid-muridnya pergi ke Kapernaum. Tetapi mereka hanya tinggal di sana selama beberapa hari. 13  Memandangkan Perayaan Paska* orang Yahudi sudah dekat, Yesus pergi ke Yerusalem. 14  Di dalam Rumah Tuhan, dia melihat orang menjual lembu, biri-biri, dan burung merpati. Para penukar wang juga duduk di situ. 15  Selepas dia membuat cemeti daripada tali, dia mengusir semua orang yang menjual biri-biri dan lembu keluar dari Rumah Tuhan. Dia juga menghamburkan duit syiling para penukar wang dan menterbalikkan meja-meja mereka. 16  Dia berkata kepada para penjual burung merpati, “Bawa keluar semua benda ini! Jangan lagi jadikan rumah Bapaku tempat berniaga!” 17  Semasa melihat semua ini, murid-muridnya teringat bahawa ada tertulis, “Semangatku untuk rumah-Mu akan berkobar-kobar seperti api.” 18  Maka orang Yahudi berkata, “Apakah mukjizat yang akan Tuan tunjukkan kepada kami untuk membuktikan bahawa Tuan berhak melakukan hal-hal ini?” 19  Yesus menjawab, “Robohkanlah Rumah Tuhan, dan dalam masa tiga hari aku akan membinanya semula.” 20  Maka orang Yahudi berkata, “Empat puluh enam tahun diperlukan untuk membina Rumah Tuhan. Adakah kamu akan membinanya semula dalam masa tiga hari?” 21  Sebenarnya, Rumah Tuhan yang dimaksudkan oleh Yesus ialah tubuhnya sendiri. 22  Selepas dia dibangkitkan daripada kematian, murid-muridnya teringat bahawa dia sering berkata demikian. Oleh itu, mereka mempercayai Ayat-Ayat Suci dan apa yang telah dikatakan oleh Yesus. 23  Pada masa Perayaan Paska, dia berada di Yerusalem dan banyak orang beriman kepada namanya setelah menyaksikan mukjizat-mukjizat yang dilakukannya. 24  Namun demikian, Yesus tidak mempercayai mereka dengan sepenuhnya kerana dia mengetahui sifat sebenar mereka semua. 25  Lagipun dia tidak memerlukan orang untuk memberikan kesaksian tentang sesiapa pun kerana dia tahu benar isi hati manusia.

Nota Kaki

Lihat Daftar Kata.