Yohanes 13:1-38

  • Yesus membasuh kaki murid-murid (1-20)

  • Yudas dikenal pasti sebagai pengkhianat (21-30)

  • Perintah baru (31-35)

    • “Jika kamu saling mengasihi” (35)

  • Penyangkalan Petrus dinubuatkan (36-38)

13  Sebelum Perayaan Paska, Yesus sudah tahu bahawa saatnya untuk meninggalkan dunia ini dan pergi kepada Bapa sudah tiba. Dia mengasihi murid-muridnya yang berada di dunia, dan dia mengasihi mereka sampai akhir.  Pada masa itu, mereka sedang makan malam, dan Iblis sudah menanam keinginan untuk mengkhianati Yesus dalam hati Yudas Iskariot anak Simon.  Yesus tahu bahawa Bapa telah menyerahkan segala-galanya ke dalam tangannya. Dia juga tahu bahawa dia berasal daripada Tuhan dan akan pergi kepada Tuhan.  Semasa mereka makan, Yesus berdiri dan meletakkan jubah luarnya ke tepi. Kemudian dia mengambil sehelai tuala dan mengikat tuala itu pada pinggangnya.  Dia menuangkan air ke dalam sebuah besen dan mula membasuh kaki murid-muridnya. Selepas itu dia mengeringkan kaki mereka dengan tuala yang terikat pada pinggangnya.  Apabila dia datang kepada Simon Petrus, Petrus berkata, “Adakah Tuan akan membasuh kakiku?”  Yesus menjawab, “Sekarang kamu tidak memahami apa yang aku lakukan, tetapi kamu akan memahaminya kelak.”  Petrus berkata, “Guru sama sekali tidak boleh membasuh kakiku.” Yesus menjawab, “Jika aku tidak membasuh kakimu, kamu bukan milikku.”  Simon Petrus pun berkata, “Kalau begitu Tuan, janganlah basuh kakiku sahaja. Basuhlah tangan dan kepalaku juga.” 10  Yesus berkata, “Sesiapa yang sudah mandi hanya perlu membasuh kakinya kerana seluruh tubuhnya bersih. Kamu semuanya bersih, kecuali seorang.” 11  Sebenarnya Yesus tahu siapa yang akan mengkhianatinya. Itulah sebabnya dia berkata, “Kamu semuanya bersih kecuali seorang.” 12  Setelah dia membasuh kaki mereka, dia mengenakan jubah luarnya lalu duduk semula. Dia berkata kepada mereka, “Adakah kamu memahami apa yang sudah aku lakukan untuk kamu? 13  Kamu memanggil aku ‘Guru’ dan ‘Tuan.’ Kata-kata kamu itu benar kerana aku memang Guru dan Tuan kamu. 14  Jika aku sebagai Tuan dan Guru kamu sudah membasuh kaki kamu, kamu juga harus* membasuh kaki satu sama lain. 15  Oleh sebab aku sudah menetapkan teladan* untuk kamu, kamu juga harus melakukan apa yang sudah aku lakukan untuk kamu. 16  Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Tidak ada hamba yang lebih besar daripada tuannya, dan tidak ada utusan yang lebih besar daripada orang yang mengutusnya. 17  Jika kamu mengetahui hal-hal ini, berbahagialah kamu jika kamu melakukannya. 18  Aku bukan bercakap tentang kamu semua. Aku mengenal orang yang telah aku pilih. Namun, hal ini berlaku supaya apa yang tertulis dalam ayat suci menjadi kenyataan, ‘Orang yang makan rotiku telah mengangkat tumitnya* menentang aku.’ 19  Sekarang, aku akan memberitahu kamu apa yang bakal berlaku, supaya apabila hal itu terjadi, kamu akan percaya bahawa akulah dia. 20  Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Sesiapa yang menyambut orang yang aku utus juga menyambut aku. Sesiapa yang menyambut aku juga menyambut Dia yang mengutus aku.” 21  Setelah berkata demikian, Yesus berasa susah hati. Lalu dia berkata dengan terus terang, “Ketahuilah: Salah seorang daripada kamu akan mengkhianati aku.” 22  Murid-muridnya memandang satu sama lain kerana tidak tahu siapa yang dimaksudkan olehnya. 23  Salah seorang murid Yesus, iaitu murid yang disayanginya, sedang duduk di sisinya. 24  Simon Petrus pun mengangguk sebagai isyarat kepada murid itu lalu berkata, “Beritahulah kami siapa yang dimaksudkannya.” 25  Maka murid itu bersandar pada Yesus lalu bertanya, “Tuan, siapakah orang itu?” 26  Yesus menjawab, “Orang yang aku berikan roti yang aku celup ke dalam mangkuk, dialah orang itu.” Maka Yesus mencelup roti ke dalam mangkuk dan menghulurkannya kepada Yudas anak Simon Iskariot. 27  Setelah Yudas menerima roti itu, Syaitan memasukinya. Kemudian Yesus berkata kepadanya, “Cepatlah lakukan apa yang hendak kamu lakukan.” 28  Namun, tiada seorang pun yang duduk di situ tahu mengapa dia berkata demikian kepada Yudas. 29  Oleh sebab Yudas yang menjaga peti wang, ada yang menyangka bahawa Yesus sedang menyuruhnya untuk membeli barang yang diperlukan bagi perayaan itu, atau memberikan sedekah kepada orang miskin. 30  Setelah Yudas menerima roti itu, dia segera keluar. Hari sudah malam. 31  Apabila Yudas sudah beredar, Yesus berkata, “Kini Anak manusia dimuliakan, dan Tuhan pun dimuliakan melaluinya. 32  Tuhan sendiri akan memuliakannya. Ya, Tuhan akan segera memuliakannya. 33  Anak-anak yang dikasihi, aku akan bersama kamu hanya untuk seketika lagi. Kamu akan mencari aku, tetapi seperti yang pernah aku katakan kepada orang Yahudi, aku juga berkata kepada kamu sekarang, ‘Kamu tidak boleh datang ke tempat yang akan aku pergi.’ 34  Aku memberi kamu satu perintah baru: Kamu harus saling mengasihi. Sebagaimana aku sudah mengasihi kamu, kamu juga harus saling mengasihi. 35  Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamulah murid-muridku.” 36  Simon Petrus berkata kepadanya, “Tuan, ke manakah Tuan akan pergi?” Yesus menjawab, “Sekarang kamu tidak boleh mengikut aku ke tempat yang akan aku pergi, tetapi kamu akan mengikut aku kelak.”  37  Petrus berkata kepadanya, “Tuan, mengapakah aku tidak boleh mengikut Tuan sekarang? Aku rela mengorbankan nyawaku untuk Tuan.” 38  Yesus menjawab, “Adakah kamu rela mengorbankan nyawamu untukku? Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Sebelum ayam jantan berkokok, kamu akan berkata sebanyak tiga kali bahawa kamu tidak mengenal aku.”

Nota Kaki

Atau “wajib.”
Harfiah, “corak.”
Atau “telah berpaling tadah.”