Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Yakobus 4:1-17

RANGKA KANDUNGAN

  • Jangan menjadi sahabat dunia (1-12)

    • Lawanlah Iblis (7)

    • Hampirilah Tuhan (8)

  • Amaran tentang keangkuhan (13-17)

    • “Jika Yehuwa mengizinkan” (15)

4  Apakah punca perbalahan dan pergaduhan antara kamu? Bukankah semua itu berpunca daripada keinginan berdosa yang sentiasa berlawanan dalam diri kamu?  Kamu mengingini sesuatu, tetapi kamu tidak mendapatnya. Kamu terus membunuh dan sangat mengingini harta milik orang lain, namun kamu masih tidak memperolehnya. Kamu terus bergaduh dan berkelahi, tetapi kamu tidak mendapatnya kerana kamu tidak meminta.  Meskipun kamu meminta, kamu tidak mendapatnya kerana kamu meminta untuk tujuan yang salah. Kamu hendak menggunakan apa yang kamu minta itu untuk memuaskan keinginan kamu yang berdosa.  Hai para penzina,* tidakkah kamu tahu bahawa persahabatan dengan dunia bererti permusuhan dengan Tuhan? Oleh itu, sesiapa yang ingin menjadi sahabat dunia menjadikan dirinya musuh Tuhan.  Ayat suci menyatakan, “Kecenderungan mental* yang terpendam dalam diri kita berkobar-kobar dengan keinginan dan rasa iri hati.” Adakah kamu berfikir bahawa kata-kata ini sia-sia sahaja?  Meskipun begitu, kebaikan hati yang unggul yang diberikan oleh Tuhan lebih besar daripada kecenderungan mental* itu. Itulah sebabnya ayat suci menyatakan: “Tuhan menentang orang yang angkuh, tetapi Dia menunjukkan kebaikan hati yang unggul kepada orang yang rendah hati.”  Oleh itu, taatlah kepada Tuhan dan lawanlah Iblis, maka Iblis akan lari daripada kamu.  Hampirilah Tuhan dan Dia pun akan menghampiri kamu. Basuhlah tangan kamu, hai orang yang berdosa, dan murnikanlah hati kamu, hai orang yang tidak tetap pendirian.  Bersedihlah, merataplah, dan menangislah. Biarlah gelak ketawa kamu bertukar menjadi ratapan, dan sukacita kamu menjadi dukacita. 10  Rendahkanlah diri kamu di hadapan Yehuwa, dan Dia akan meninggikan kamu. 11  Saudara-saudara, jangan lagi mencela satu sama lain kerana sesiapa yang mencela atau menghakimi saudaranya sebenarnya mencela dan menghakimi hukum. Jika kamu menghakimi hukum, kamu bukanlah orang yang mematuhi hukum. Sebaliknya kamu sudah menjadi hakim. 12  Hanya ada satu Pemberi Hukum dan Hakim, dan Dia sahaja yang dapat menyelamatkan dan membinasakan orang. Jadi, siapakah kamu untuk menghakimi orang lain? 13  Sekarang dengarlah, hai kamu yang berkata, “Hari ini atau esok kami akan pergi ke kota selama setahun untuk berniaga dan mencari keuntungan,” 14  padahal kamu tidak tahu apa yang akan berlaku dengan hidup kamu hari esok. Kamu bagaikan kabus yang muncul seketika lalu lenyap begitu sahaja. 15  Sepatutnya kamu berkata, “Jika Yehuwa mengizinkan, kami akan hidup dan melakukan hal ini atau hal itu.” 16  Tetapi sekarang kamu bersikap angkuh dan bercakap besar tentang diri sendiri. Bercakap besar seperti itu ialah perbuatan yang jahat. 17  Oleh itu, jika seseorang mengetahui cara untuk melakukan apa yang betul tetapi tidak melakukannya, dia sudah berdosa.

Nota Kaki

Atau “kamu yang tidak setia.”
Lihat Daftar Kata, “Roh.”
Lihat Daftar Kata, “Roh.”