Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Wahyu 7:1-17

RANGKA KANDUNGAN

  • Empat malaikat memegang angin pembinasaan (1-3)

  • 144,000 orang dimeterai (4-8)

  • Kumpulan besar manusia memakai jubah putih (9-17)

7  Selepas itu, aku nampak empat malaikat berdiri di empat penjuru bumi. Mereka memegang erat keempat-empat angin bumi supaya tidak ada angin yang dapat bertiup di bumi, di laut, atau pada pokok-pokok.  Lalu aku nampak satu lagi malaikat naik dari arah matahari terbit* sambil membawa meterai yang diterima daripada Tuhan yang hidup. Dia berseru dengan suara lantang kepada keempat-empat malaikat yang diizinkan untuk merosakkan bumi dan laut,  “Jangan rosakkan bumi atau laut atau pokok-pokok sehingga kami telah meletakkan meterai pada dahi hamba-hamba Tuhan kita.”  Aku mendengar bahawa mereka yang dimeterai itu berjumlah 144,000 orang. Mereka yang dimeterai berasal daripada setiap suku Israel:  12,000 dimeterai daripada suku Yehuda;12,000 daripada suku Ruben;12,000 daripada suku Gad;  12,000 daripada suku Asyer;12,000 daripada suku Naftali;12,000 daripada suku Manasye;  12,000 daripada suku Simeon;12,000 daripada suku Lewi;12,000 daripada suku Isakhar;  12,000 daripada suku Zebulon;12,000 daripada suku Yusuf;12,000 dimeterai daripada suku Benyamin.  Selepas itu, aku nampak kumpulan besar manusia yang jumlahnya tidak dapat dihitung oleh sesiapa pun. Mereka datang daripada semua bangsa, suku, kaum, dan bahasa. Mereka berdiri di hadapan takhta dan di hadapan Anak Bebiri dengan memakai jubah putih dan terdapat pelepah palma di tangan mereka. 10  Mereka terus berseru dengan suara yang lantang, “Penyelamatan datang daripada Tuhan kita yang duduk di atas takhta, dan daripada Anak Bebiri.” 11  Semua malaikat berdiri di sekeliling takhta, para penatua, dan empat makhluk hidup itu. Mereka bersujud di hadapan takhta dan menyembah Tuhan 12  dengan berkata, “Amin! Semoga pujian, kemuliaan, penghormatan, dan kesyukuran diberikan kepada Tuhan kita untuk selama-lamanya. Dialah yang mempunyai segala kebijaksanaan, kuasa, dan kekuatan. Amin.” 13  Kemudian salah seorang penatua bertanya kepadaku, “Siapakah mereka yang memakai jubah putih itu? Dari manakah mereka datang?” 14  Dengan segera aku menjawab, “Tuanlah yang tahu jawapannya.” Lalu dia berkata kepadaku, “Merekalah yang selamat mengharungi kesengsaraan besar. Mereka telah mencuci dan menjadikan jubah mereka putih dengan darah Anak Bebiri. 15  Itulah sebabnya mereka berada di hadapan takhta Tuhan dan menjalankan khidmat suci kepada Tuhan di Rumah-Nya siang dan malam. Dia yang duduk di atas takhta akan membentangkan khemah-Nya untuk melindungi mereka. 16  Mereka tidak akan lapar atau dahaga lagi. Matahari atau panas terik juga tidak akan mencederakan mereka, 17  kerana Anak Bebiri yang berdiri berhampiran dengan takhta akan menggembala mereka dan memimpin mereka ke mata air kehidupan. Tuhan juga akan menyapu segala air mata mereka.”

Nota Kaki

Atau “dari arah timur.”