Wahyu 5:1-14

  • Gulungan dengan tujuh meterai (1-5)

  • Anak Bebiri mengambil gulungan (6-8)

  • Anak Bebiri layak membuka meterai (9-14)

5  Aku nampak sebuah gulungan di dalam tangan kanan Dia yang duduk di atas takhta itu. Ada tulisan pada muka depan dan muka belakang gulungan itu, dan gulungan itu ditutup rapat dengan tujuh buah meterai.  Selepas itu, aku nampak satu malaikat yang perkasa berseru dengan suara lantang, “Siapakah yang layak untuk memecahkan meterai-meterai tersebut dan membuka gulungan itu?”  Namun demikian, tiada sesiapa pun di syurga atau di atas bumi atau di bawah bumi yang dapat membuka gulungan itu atau membacanya.  Aku menangis teresak-esak kerana tidak ada seorang pun yang layak membuka gulungan itu atau membacanya.  Tetapi salah seorang penatua berkata kepadaku, “Jangan menangis lagi. Lihatlah! Singa daripada suku Yehuda, akar Daud, sudah menang dalam pertempuran, dan dia dapat memecahkan tujuh buah meterai itu dan membuka gulungan tersebut.”  Kemudian, aku nampak seekor anak bebiri yang nampaknya pernah disembelih. Empat makhluk itu berdiri berhampiran dengan takhta, dan anak bebiri itu berdiri di hadapan mereka dan mereka dikelilingi semua penatua itu. Anak bebiri itu mempunyai tujuh tanduk dan tujuh mata. Matanya melambangkan tujuh daya Tuhan yang telah diutus ke seluruh bumi.  Dengan serta-merta, anak bebiri itu tampil ke hadapan dan mengambil gulungan tersebut dari tangan kanan Dia yang duduk di atas takhta.  Semasa Anak Bebiri itu mengambil gulungan tersebut, empat makhluk hidup dan 24 orang penatua itu bersujud di hadapannya. Mereka masing-masing mempunyai sebuah kecapi dan mangkuk emas yang penuh dengan kemenyan. (Kemenyan itu melambangkan doa umat suci Tuhan.)  Mereka menyanyikan sebuah lagu baru dengan kata-kata berikut: “Kamu layak mengambil gulungan itu dan membuka meterai-meterainya kerana kamu telah disembelih, dan dengan darah kamu, orang daripada setiap suku, bahasa, kaum, dan bangsa telah kamu beli untuk Tuhan. 10  Kamu juga menjadikan mereka raja dan imam kepada Tuhan kita, dan mereka akan memerintah sebagai raja ke atas bumi.” 11  Lalu aku melihat dan aku mendengar suara malaikat yang berpuluh-puluh ribu dan beribu-ribu* bilangannya. Mereka berada di sekeliling takhta, makhluk hidup, dan penatua-penatua itu. 12  Mereka semua berkata dengan suara yang lantang, “Anak Bebiri yang disembelih itu layak menerima kuasa, kekayaan, kebijaksanaan, kekuatan, penghormatan, kemuliaan, dan berkat.” 13  Aku mendengar setiap makhluk yang ada di syurga, di atas bumi, di bawah bumi, di laut—pendek kata, semua makhluk hidup—berkata, “Semoga berkat, penghormatan, kemuliaan, dan kuasa diberikan buat selama-lamanya kepada Dia yang duduk di atas takhta dan kepada Anak Bebiri.” 14  Lalu keempat-empat makhluk hidup itu berkata, “Amin!” dan para penatua pun sujud dan menyembah Tuhan.

Nota Kaki

Atau “sepuluh ribu darab sepuluh ribu dan seribu darab seribu.”