Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Wahyu 19:1-21

RANGKA KANDUNGAN

  • Pujilah Yah kerana penghakiman-Nya benar (1-10)

    • Perkahwinan Anak Bebiri (7-9)

  • Penunggang kuda putih (11-16)

  • Perjamuan malam besar Tuhan (17, 18)

  • Binatang buas dikalahkan (19-21)

19  Selepas itu, aku mendengar sesuatu seperti suara lantang sekumpulan besar makhluk di syurga yang berseru, “Pujilah Yah!* Penyelamatan, kemuliaan, dan kuasa merupakan milik Tuhan kita  kerana penghakiman-Nya benar dan adil. Dia telah menghukum pelacur besar yang merosakkan bumi dengan perbuatan seks yang tidak bermoral,* dan Dia telah membalas dendam bagi hamba-hamba-Nya yang telah dibunuh oleh pelacur itu.”  Dengan segera, mereka berkata untuk kali kedua, “Pujilah Yah!* Asap daripada api yang membakar pelacur itu terus naik buat selama-lamanya.”  Lalu 24 orang penatua dan empat makhluk hidup itu sujud menyembah Tuhan yang duduk di atas takhta. Mereka berkata, “Amin! Pujilah Yah!”*  Selepas itu, kedengaran suara dari takhta yang berkata, “Pujilah Tuhan kita, hai semua hamba-Nya yang takut kepada-Nya, baik orang biasa mahupun orang yang berpangkat tinggi.”  Kemudian, aku mendengar sesuatu yang kedengaran seperti suara sekumpulan besar makhluk, seperti deruman air terjun yang besar, dan seperti bunyi guruh yang kuat. Mereka berkata, “Pujilah Yah,* kerana Yehuwa, Tuhan kita yang Maha Kuasa, sudah mula memerintah sebagai raja!  Marilah kita bersukacita dan bergembira! Marilah kita memberikan kemuliaan kepada-Nya, kerana masa untuk perkahwinan Anak Bebiri sudah tiba dan pengantin perempuannya sudah bersiap sedia.  Pengantin perempuannya dibenarkan untuk memakai kain linen yang bermutu tinggi, yang terang, dan yang bersih. Kain linen yang bermutu tinggi itu melambangkan perbuatan baik umat suci Tuhan.”  Malaikat itu berkata kepadaku, “Tuliskanlah hal ini: Berbahagialah orang yang dijemput ke majlis perkahwinan Anak Bebiri.” Dia juga berkata kepadaku, “Inilah firman yang benar daripada Tuhan.” 10  Ketika itu, aku bersujud di depan kakinya untuk menyembahnya. Tetapi dia memberitahu aku, “Berhati-hatilah! Jangan buat begitu! Sembahlah Tuhan. Aku hanyalah seorang hamba seperti kamu dan seperti saudara-saudara kamu yang mempunyai kerja untuk memberikan kesaksian tentang Yesus. Hal ini demikian kerana tujuan nubuat-nubuat disampaikan adalah untuk memberikan kesaksian tentang Yesus.” 11  Aku nampak langit terbuka dan lihatlah! Ada seekor kuda putih. Penunggang kuda itu dipanggil yang Setia dan yang Benar. Dia menghakimi dan berperang dengan adil. 12  Matanya seperti api yang bernyala-nyala dan di atas kepalanya terdapat banyak mahkota. Padanya tertulis satu nama yang tidak diketahui oleh sesiapa pun kecuali dia sendiri. 13  Dia memakai sehelai jubah luar yang mempunyai kesan* darah, dan namanya ialah Firman Tuhan. 14  Angkatan tentera di syurga juga mengikutnya dengan menunggang kuda putih. Mereka memakai kain linen bermutu tinggi yang bersih dan berwarna putih. 15  Daripada mulutnya keluar sebilah pedang yang tajam dan panjang supaya dia dapat membunuh bangsa-bangsa dengan pedang itu, dan dia akan menggembala mereka dengan tongkat besi. Selain itu, dia akan menginjak-injak pemeras anggur, yang melambangkan kemurkaan besar Tuhan Yang Maha Kuasa. 16  Pada jubah luarnya, iaitu pada bahagian pahanya, tertulis nama ini: Raja atas segala raja dan Tuan atas segala tuan. 17  Aku juga nampak satu malaikat berdiri di depan matahari. Malaikat itu berseru dengan suara yang lantang kepada semua burung yang terbang di langit, “Marilah ke sini. Berkumpullah untuk perjamuan malam besar Tuhan, 18  supaya kamu boleh makan daging raja-raja, daging ketua pasukan tentera, daging lelaki yang perkasa, daging kuda, dan daging penunggang kuda. Kamu juga boleh makan daging semua orang, baik orang bebas mahupun hamba, baik orang biasa mahupun orang yang berpangkat tinggi.” 19  Kemudian aku nampak binatang buas dan raja-raja di bumi serta angkatan tentera mereka berkumpul untuk berperang melawan dia yang duduk di atas kuda itu dan angkatan tenteranya. 20  Binatang buas itu ditangkap bersama-sama nabi palsu yang melakukan tanda-tanda di hadapannya. Nabi palsu itu telah menyesatkan orang yang menerima tanda binatang buas tersebut dan orang yang menyembah patungnya. Binatang buas dan nabi palsu itu dicampakkan hidup-hidup ke dalam tasik yang bernyala-nyala dengan api dan belerang. 21  Tetapi yang lain dibunuh dengan pedang panjang yang keluar daripada mulut penunggang kuda itu. Kemudian semua burung memakan daging mereka sehingga kenyang.

Nota Kaki

Atau “Halleluyah!” “Yah” ialah singkatan bagi nama Yehuwa.
Yunani, por·neiʹa. Lihat Daftar Kata.
Atau “Halleluyah!” “Yah” ialah singkatan bagi nama Yehuwa.
Atau “Halleluyah!” “Yah” ialah singkatan bagi nama Yehuwa.
Atau “Halleluyah!” “Yah” ialah singkatan bagi nama Yehuwa.
Atau mungkin, “percikan.”