Wahyu 10:1-11

  • Malaikat perkasa dengan gulungan kecil (1-7)

    • “Masanya tidak akan ditunda lagi” (6)

    • Terlaksanalah rahsia suci (7)

  • Yohanes memakan gulungan kecill (8-11)

10  Aku melihat satu lagi malaikat perkasa turun dari syurga. Dia diselubungi awan dan ada sebuah pelangi di atas kepalanya. Wajahnya bagaikan matahari dan kakinya bagaikan tiang berapi.  Di dalam tangannya ada sebuah gulungan kecil yang terbuka. Dia meletakkan kaki kanannya di laut, dan kaki kirinya di bumi.  Lalu dia berseru dengan suara yang kuat, seperti seekor singa yang mengaum. Semasa dia berseru, tujuh guruh itu bercakap.  Pada masa tujuh guruh itu bercakap, aku hendak menulis apa yang telah dikatakan, tetapi aku mendengar suara dari syurga berkata, “Rahsiakanlah* hal-hal yang dikatakan oleh tujuh guruh itu, dan jangan tulis hal-hal itu.”  Kemudian, malaikat yang aku nampak berdiri di laut dan di bumi mengangkat tangan kanannya ke langit.  Malaikat itu bersumpah demi Dia yang hidup selama-lamanya, yang menciptakan langit serta segala sesuatu di langit, bumi serta segala sesuatu di bumi, dan laut serta segala sesuatu di laut. Dia berkata, “Masanya tidak akan ditunda lagi.  Semasa malaikat ketujuh hampir meniup trompetnya, terlaksanalah rahsia suci yang telah diisytiharkan oleh Tuhan sebagai berita baik kepada hamba-hamba-Nya, iaitu para nabi.”  Setelah itu, aku mendengar suara dari syurga berkata lagi kepadaku, “Pergilah ambil gulungan terbuka itu yang terdapat dalam tangan malaikat yang sedang berdiri di laut dan di bumi.”  Aku pergi kepada malaikat itu dan meminta dia untuk memberikan gulungan yang kecil itu kepadaku. Dia berkata kepadaku, “Ambillah dan makanlah gulungan ini. Gulungan ini akan menjadi pahit di dalam perutmu, tetapi manis seperti madu di dalam mulutmu.” 10  Aku pun mengambil gulungan kecil itu dari tangan malaikat itu lalu memakannya. Dalam mulutku, rasanya manis seperti madu, tetapi selepas aku habis memakannya, perutku menjadi pahit. 11  Mereka berkata kepadaku, “Kamu mesti bernubuat lagi tentang pelbagai kaum, bangsa, bahasa, dan banyak raja.”

Nota Kaki

Harfiah, “Meteraikanlah.”