Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Roma 4:1-25

RANGKA KANDUNGAN

  • Abraham diperkenankan Tuhan kerana beriman (1-12)

    • Abraham, bapa kepada orang yang beriman (11)

  • Menerima janji kerana beriman (13-25)

4  Jika demikian, apakah yang dapat kita katakan tentang apa yang sudah diterima oleh Abraham, nenek moyang kita?  Misalnya, andai kata Abraham mendapat perkenan Tuhan kerana perbuatannya, dia tentu mempunyai sebab untuk berasa bangga. Tetapi dari sudut pandangan Tuhan, dia tidak mempunyai sebab untuk berbangga.  Ada ayat yang menyatakan, “Oleh sebab Abraham beriman kepada Yehuwa, dia mendapat perkenan-Nya.”  Seorang pekerja biasanya menerima gaji, dan gajinya tidak dianggap sebagai suatu pemberian* kerana dia berhak untuk menerima gajinya.  Sebaliknya, jika seseorang beriman kepada Tuhan dan tidak bergantung pada perbuatan sendiri, dia akan mendapat perkenan Tuhan meskipun dia berdosa.  Itulah yang dimaksudkan oleh Daud apabila dia berkata tentang kebahagiaan seseorang yang mendapat perkenan Tuhan walaupun perbuatannya tidak selaras sepenuhnya dengan hukum. Daud berkata,  “Berbahagialah orang yang kejahatan mereka diampunkan oleh Tuhan, dan yang dosa mereka ditutupi* oleh Tuhan!  Berbahagialah orang yang dosanya tidak diperhitungkan oleh Yehuwa!”  Adakah kebahagiaan ini hanya untuk orang yang bersunat? Atau adakah kebahagiaan ini untuk orang yang tidak bersunat juga? Seperti yang dikatakan sebelum ini, “Oleh sebab Abraham beriman kepada Tuhan, dia mendapat perkenan-Nya.” 10  Bilakah Abraham mendapat perkenan Tuhan? Sebelum atau sesudah dia bersunat? Dia mendapat perkenan Tuhan sebelum dia bersunat. 11  Tuhan menyuruh Abraham untuk bersunat sebagai tanda bahawa dia diperkenankan Tuhan kerana dia beriman walaupun dia belum bersunat. Dengan demikian, Abraham menjadi bapa kepada orang yang beriman tetapi yang tidak bersunat agar mereka diperkenankan Tuhan. 12  Abraham juga menjadi bapa kepada orang yang bersunat, bukan sahaja kepada orang yang berpaut pada hukum bersunat, tetapi juga kepada orang yang mengikuti jejak iman Abraham sebelum dia bersunat. 13  Abraham dan benihnya* menerima janji untuk mewarisi dunia bukan kerana dia menurut hukum, tetapi kerana dia beriman kepada Tuhan dan mendapat perkenan-Nya. 14  Hal ini demikian kerana jika apa yang dijanjikan oleh Tuhan hanya diberikan kepada orang yang menurut hukum, maka tidak ada gunanya orang beriman kepada Tuhan, dan janji Tuhan akan menjadi sia-sia. 15  Sebenarnya Hukum mendatangkan kemurkaan Tuhan. Jika tidak ada hukum, maka pelanggaran pun tidak ada. 16  Abraham menerima janji Tuhan kerana imannya, dan Tuhan memperlihatkan kebaikan hati yang unggul melalui janji itu. Maka semua benih* Abraham juga menerima janji itu, baik orang yang menurut Hukum mahupun orang yang mempunyai iman seperti iman Abraham, bapa kepada kita semua. 17  (Hal itu tepat seperti yang tertulis, “Aku sudah menjadikan kamu bapa kepada banyak bangsa.”) Janji ini pasti terlaksana. Abraham beriman kepada Tuhan yang menghidupkan orang mati. Dialah yang berfirman tentang perkara-perkara yang belum terjadi seolah-olah perkara-perkara itu sudah terjadi. 18  Abraham berharap dan beriman bahawa dia akan menjadi bapa kepada banyak bangsa meskipun hal ini nampaknya mustahil. Dia percaya akan kata-kata ini: “Benihmu* akan menjadi banyak sekali.” 19  Pada masa itu, umur Abraham kira-kira 100 tahun dan Sara sudah terlalu tua untuk melahirkan anak. Abraham berfikir bahawa dia tidak mungkin mendapat keturunan. Namun begitu, imannya tidak menjadi lemah. 20  Dia sama sekali tidak ragu akan janji Tuhan. Sebaliknya dia menjadi kuat kerana imannya. Dia memuliakan Tuhan 21  dan yakin sepenuhnya bahawa Tuhan dapat melakukan apa yang sudah dijanjikan-Nya. 22  Maka, “dia mendapat perkenan Tuhan.” 23  Kata-kata “dia mendapat perkenan Tuhan” tertulis bukan hanya untuk Abraham, 24  tetapi untuk kita juga. Kita juga akan diperkenankan Tuhan kerana kita percaya kepada Dia yang membangkitkan Tuan kita, Yesus, daripada kematian. 25  Yesus dibunuh untuk dosa kita dan dibangkitkan supaya kita mendapat perkenan Tuhan.

Nota Kaki

Atau “perbuatan yang menunjukkan kebaikan hati yang unggul.”
Atau “diampunkan.”
Atau “keturunannya.”
Atau “keturunan.”
Atau “Keturunanmu.”