Roma 13:1-14

  • Taat kepada pihak berkuasa (1-7)

    • Pembayaran cukai (6, 7)

  • Sesiapa mengasihi orang lain mematuhi hukum (8-10)

  • Berkelakuan seperti kelakuan orang pada siang hari (11-14)

13  Setiap orang harus taat kepada pihak berkuasa, kerana semua kuasa datang daripada Tuhan. Pihak berkuasa yang ada sekarang diberikan kedudukan masing-masing menurut aturan Tuhan.  Oleh itu, sesiapa yang menentang pihak berkuasa menentang aturan Tuhan, dan orang yang menentang aturan Tuhan akan membawa hukuman ke atas diri sendiri.  Orang yang berbuat baik tidak perlu takut kepada pemerintah, hanya orang yang berbuat jahat yang harus takut kepada mereka. Jika kamu tidak mahu berasa takut kepada pihak berkuasa, teruslah melakukan apa yang baik, dan kamu akan dipuji oleh mereka.  Hal ini demikian kerana mereka ialah hamba Tuhan yang berkhidmat demi kebaikan kamu. Tetapi kamu harus berasa takut jika kamu berbuat jahat, kerana kuasa* yang ada dalam tangan mereka bukanlah untuk tujuan yang sia-sia. Mereka ialah hamba Tuhan yang menjatuhkan hukuman ke atas orang yang sering berbuat jahat.  Maka, ada alasan yang kukuh bagi kamu untuk taat kepada pihak berkuasa, iaitu bukan sahaja kerana takut dihukum, tetapi juga kerana hati nurani kamu.  Itulah sebabnya kamu juga membayar cukai, kerana mereka ialah hamba Tuhan yang sentiasa berkhidmat kepada orang ramai.  Berikanlah kepada pihak berkuasa apa yang berhak diterima oleh mereka. Bayarlah cukai kepada orang yang meminta cukai, dan berikanlah ufti kepada orang yang meminta ufti. Takutlah akan orang yang harus ditakuti, dan hormatilah orang yang harus dihormati.  Jangan berhutang apa-apa kepada sesiapa pun, tetapi kamu harus saling mengasihi, kerana sesiapa yang mengasihi orang lain sudah mematuhi hukum.  Hukum-hukum seperti, “Jangan berzina, jangan membunuh, jangan mencuri, jangan menginginkan milik orang lain,” dan semua hukum yang lain disimpulkan dengan kata-kata ini: “Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.” 10  Seseorang yang mempunyai kasih tidak akan berbuat jahat terhadap orang lain. Orang yang mengasihi orang lain sudah mematuhi hukum. 11  Kamu harus melakukan semua ini, kerana kamu tahu bahawa sekaranglah masanya bagi kamu untuk bangun daripada tidur. Hal ini demikian kerana masa kita untuk diselamatkan lebih dekat sekarang berbanding semasa kita mula percaya. 12  Malam sudah larut, dan fajar akan menyingsing. Oleh itu, marilah kita membuang perbuatan-perbuatan yang dilakukan dalam kegelapan, dan marilah kita mengenakan senjata-senjata yang digunakan dalam terang. 13  Biarlah kelakuan kita baik seperti kelakuan orang pada siang hari. Janganlah berpesta liar dan minum sehingga mabuk. Janganlah melakukan hubungan yang tidak bermoral dan perkara-perkara yang buruk.* Janganlah berkelahi atau bersikap cemburu. 14  Janganlah membuat rancangan untuk memuaskan keinginan tubuh yang berdosa. Sebaliknya ikutlah teladan Tuan Yesus Kristus.

Nota Kaki

Harfiah, “pedang.”
Atau “berkelakuan buruk tanpa rasa malu.” Bentuk jamak bagi perkataan Yunani a·selʹgei·a. Lihat Daftar Kata.