Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Matius 9:1-38

RANGKA KANDUNGAN

  • Lelaki lumpuh disembuhkan (1-8)

  • Yesus memanggil Matius (9-13)

  • Soalan tentang puasa (14-17)

  • Anak Yairus; wanita yang menyentuh jubah Yesus (18-26)

  • Orang buta dan orang bisu disembuhkan (27-34)

  • Tuaian banyak, pekerja sedikit (35-38)

9  Oleh itu, dia menaiki sebuah perahu dan menyeberangi tasik, lalu tiba di kota yang didiaminya.  Di situ, beberapa orang mengusung seorang lelaki yang lumpuh kepadanya. Semasa Yesus melihat iman mereka, dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Teguhkanlah hatimu, hai anakku. Dosamu sudah diampunkan.”  Beberapa orang jurutulis hukum di situ berkata sesama sendiri, “Orang ini menghina Tuhan.”  Yesus tahu apa yang bermain dalam fikiran mereka. Maka dia berkata, “Mengapakah kamu memikirkan hal-hal yang jahat?  Manakah yang lebih mudah untuk dikatakan: ‘Dosamu sudah diampunkan,’ atau, ‘Bangunlah dan berjalanlah’?  Namun, untuk membuktikan kepada kamu bahawa Anak manusia mempunyai kuasa di bumi untuk mengampunkan dosa—” dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Bangunlah! Angkatlah usunganmu dan pulanglah.”  Lelaki itu pun bangun dan pulang ke rumahnya.  Semasa menyaksikan hal ini, orang ramai berasa sangat kagum. Mereka memuliakan Tuhan kerana memberikan kuasa sedemikian kepada manusia.  Kemudian, Yesus beredar dari situ. Dalam perjalanannya, dia nampak seorang lelaki bernama Matius yang sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Jadilah pengikutku.” Maka Matius pun berdiri lalu mengikutnya. 10  Semasa Yesus makan di rumah Matius, ramai pemungut cukai dan pendosa datang lalu makan bersama Yesus dan murid-muridnya. 11  Orang Farisi melihat hal ini dan bertanya kepada murid-muridnya, “Mengapakah guru kamu makan bersama pemungut cukai dan pendosa?” 12  Yesus mendengar pertanyaan mereka lalu menjawab, “Orang yang memerlukan doktor bukannya orang yang sihat, tetapi orang yang sakit. 13  Pergilah dan belajarlah maksud kata-kata ini: ‘Aku mahukan belas kasihan, bukannya korban.’ Aku datang untuk memanggil pendosa, bukannya orang yang alim.” 14  Kemudian murid-murid Yohanes datang kepada Yesus dan bertanya, “Mengapakah kami dan orang Farisi sering berpuasa, tetapi murid-muridmu tidak berpuasa?” 15  Yesus menjawab, “Semasa pengantin lelaki masih bersama sahabat-sahabatnya, adakah mereka berdukacita? Tentu tidak! Tetapi masanya akan tiba apabila pengantin lelaki diambil daripada mereka. Pada waktu itulah mereka akan berpuasa. 16  Tiada orang yang mengambil kain baru untuk menampal pakaian yang lama, kerana kain baru itu akan mengecut dan mengakibatkan koyakan yang lebih besar. 17  Demikian juga, orang tidak akan menyimpan wain baru dalam kirbat lama. Jika tidak, kirbat akan pecah, wain akan tumpah, dan kirbat itu pun rosak. Sebaliknya orang selalu menyimpan wain baru dalam kirbat baru, supaya kedua-duanya terpelihara.” 18  Sewaktu dia bercakap kepada mereka, seorang ketua rumah ibadat datang lalu sujud kepadanya sambil berkata, “Pada saat ini, anak perempuanku mungkin sudah mati. Tetapi datanglah dan letakkanlah tangan Guru atasnya supaya dia hidup semula.” 19  Jadi Yesus bangun dan pergi bersamanya. Murid-murid Yesus juga ikut serta. 20  Seorang wanita yang menderita masalah pendarahan selama 12 tahun menghampiri Yesus dari belakang dan menyentuh hujung jubah luarnya. 21  Wanita itu asyik berkata dalam hatinya, “Jika aku menyentuh jubah luarnya, aku pasti sembuh.” 22  Yesus berpaling dan memandang dia lalu berkata, “Teguhkanlah hatimu, hai anakku! Kamu sembuh kerana kamu beriman.” Pada waktu itu juga, wanita itu sembuh. 23  Apabila Yesus masuk ke dalam rumah ketua itu, dia melihat para pemain seruling dan mendengar orang ramai meraung kesedihan. 24  Yesus berkata, “Keluarlah kamu semua. Gadis kecil ini tidak mati, dia hanya tidur.” Mereka pun mentertawakannya. 25  Sebaik sahaja mereka keluar, dia masuk ke tempat gadis kecil itu berada. Kemudian, dia memegang tangan gadis kecil itu, dan gadis itu pun bangkit. 26  Sudah pasti, berita tentang hal ini telah tersebar ke seluruh kawasan itu. 27  Kemudian Yesus beredar dari situ. Dalam perjalanan, dua orang buta mula mengikutnya. Mereka berseru, “Kasihanilah kami, hai Anak Daud.” 28  Setelah dia masuk ke dalam sebuah rumah, dua orang buta itu datang kepadanya. Yesus bertanya, “Adakah kamu percaya bahawa aku dapat menyembuhkan kamu?” Mereka menjawab, “Ya, Tuan.” 29  Lalu dia menyentuh mata mereka dan berkata, “Biarlah apa yang kamu percaya berlaku.” 30  Penglihatan mereka pun dipulihkan. Yesus mengingatkan mereka dengan tegas, “Jangan beritahu sesiapa pun tentang hal ini.” 31  Tetapi selepas mereka keluar dari rumah itu, mereka mengheboh-hebohkan berita tentangnya di seluruh kawasan itu. 32  Sementara dua orang itu beredar, seorang lelaki yang bisu kerana dirasuk roh jahat dibawa kepada Yesus. 33  Selepas roh jahat itu diusir, lelaki yang bisu itu mula bercakap. Orang ramai berasa takjub dan berkata, “Kami belum pernah menyaksikan hal sebegini di Israel.” 34  Tetapi orang Farisi berkata, “Dia mengusir roh jahat kerana mendapat kuasa daripada ketua roh-roh jahat.” 35  Yesus menjelajah ke semua kota dan pekan. Dia mengajar di rumah ibadat dan menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan. Dia juga menyembuhkan semua penyakit dan masalah kesihatan. 36  Apabila dia melihat orang ramai, dia berasa kasihan terhadap mereka kerana mereka ditindas dan diabaikan seperti biri-biri tanpa gembala. 37  Dia berkata kepada murid-muridnya, “Tuaian memang banyak, tetapi pekerja hanya sedikit. 38  Jadi, rayulah Pemilik tuaian supaya menghantar pekerja untuk mengumpulkan tuaian.”

Nota Kaki