Matius 8:1-34

  • Pesakit kusta disembuhkan (1-4)

  • Iman pegawai tentera (5-13)

  • Ramai orang di Kapernaum disembuhkan (14-17)

  • Cara mengikut Yesus (18-22)

  • Yesus meredakan ribut (23-27)

  • Roh jahat diusir ke dalam babi (28-34)

8  Setelah Yesus turun dari gunung, banyak orang mengikutnya.  Kemudian, seorang pesakit kusta datang lalu sujud kepadanya. Dia merayu, “Tuan, jika Tuan rela, Tuan dapat menyembuhkan aku.”  Yesus menghulurkan tangannya lalu menyentuh lelaki itu sambil berkata, “Aku rela. Sembuhlah!” Dengan serta-merta penyakit kustanya hilang.  Selepas itu, Yesus berkata kepadanya, “Jangan beritahu orang lain tentang hal ini. Pergilah berjumpa dengan imam. Kemudian, persembahkanlah korban mengikut arahan dalam Hukum Musa untuk membuktikan kepada para imam bahawa kamu sudah sembuh.”  Semasa Yesus tiba di Kapernaum, seorang pegawai tentera datang dan merayu kepadanya.  Pegawai itu berkata, “Tuan, hambaku sangat menderita. Dia terlantar di rumah dan tidak dapat bergerak.”  Yesus berkata kepadanya, “Apabila aku tiba di sana, aku akan menyembuhkannya.”  Tetapi pegawai tentera itu menjawab, “Tuan, aku tidak layak menyambut Tuan ke dalam rumahku. Perintahkanlah sahaja, tentu hambaku akan sembuh.  Aku pun menurut perintah orang lain dan aku juga mempunyai askar-askar yang menurut perintahku. Semasa aku menyuruh seorang askar, ‘Pergilah!’ dia pun pergi. Apabila aku menyuruh askar lain, ‘Datanglah!’ dia pun datang. Apabila aku menyuruh hambaku, ‘Buatlah ini!’ dia pun melakukannya.” 10  Yesus kagum semasa mendengar kata-katanya lalu memberitahu orang yang mengikutnya, “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Aku belum pernah menjumpai sesiapa pun di Israel yang mempunyai iman sebesar iman orang ini. 11  Namun aku memberitahu kamu bahawa ramai orang dari timur dan barat akan datang lalu duduk dan makan bersama-sama Abraham, Ishak, dan Yakub dalam Kerajaan di syurga. 12  Sebaliknya, anak-anak Kerajaan Tuhan akan dibuang ke dalam kegelapan di luar. Di sana mereka akan menangis dan menggertakkan gigi.” 13  Selepas itu, Yesus berkata kepada pegawai tentera itu, “Pulanglah. Apa yang kamu percaya akan berlaku.” Pada saat itu juga, hamba kepada pegawai tersebut sembuh. 14  Semasa Yesus masuk ke dalam rumah Petrus, dia nampak ibu mentua Petrus berbaring di tempat tidur kerana demam. 15  Dia menyentuh tangannya dan demamnya pun hilang. Kemudian ibu mentua Petrus bangun lalu mula melayaninya. 16  Apabila hari sudah petang, orang ramai membawa banyak orang yang dirasuk roh-roh jahat kepadanya. Yesus mengusir roh-roh jahat itu dengan sepatah kata sahaja. Dia juga menyembuhkan semua orang sakit. 17  Dia berbuat demikian supaya nubuat nabi Yesaya yang berikut menjadi kenyataan: “Dia menyembuhkan penyakit kita dan menanggung penderitaan kita.” 18  Apabila Yesus nampak orang ramai di sekelilingnya, dia menyuruh pengikut-pengikutnya untuk pergi ke seberang tasik. 19  Seorang jurutulis hukum datang dan berkata kepadanya, “Guru, aku akan mengikut Guru ke mana sahaja Guru pergi.” 20  Yesus berkata kepadanya, “Rubah* mempunyai lubang dan burung di langit mempunyai sarang, tetapi Anak manusia tidak mempunyai tempat tidur sendiri.” 21  Kemudian, seorang pengikut yang lain berkata, “Tuan, izinkanlah aku pergi mengebumikan bapaku terlebih dahulu.” 22  Yesus berkata kepadanya, “Teruslah mengikut aku, dan biarlah orang mati mengebumikan orang mati.” 23  Kemudian, Yesus dan murid-muridnya menaiki sebuah perahu. 24  Tiba-tiba, ribut kencang bertiup di tasik dan perahu mereka dipukul ombak sehingga hampir tenggelam. Tetapi Yesus masih tidur. 25  Oleh itu, mereka mengejutkannya daripada tidur dan berkata, “Tuan, selamatkanlah kami! Kami hampir mati!” 26  Tetapi dia berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu begitu takut? Alangkah lemahnya iman kamu!” Yesus pun bangun lalu menegur angin dan tasik. Dalam sekelip mata, keadaan tasik menjadi tenang sekali. 27  Para pengikut Yesus hairan lalu berkata, “Siapakah orang ini? Angin dan ombak pun mematuhinya.” 28  Apabila dia tiba di seberang tasik di kawasan Gadara, dua orang lelaki yang dirasuk roh-roh jahat datang dari kuburan dan berjalan ke arahnya. Mereka begitu ganas sehingga tiada sesiapa pun yang berani lalu di jalan itu. 29  Mereka berteriak, “Hai Anak Tuhan! Apa kena-mengena kami dengan kamu? Adakah kamu datang untuk menyeksa kami sebelum waktu yang ditetapkan?” 30  Jauh dari situ, ada banyak babi yang sedang makan. 31  Roh-roh jahat itu merayu kepada Yesus, “Jika kamu hendak mengusir kami, izinkanlah kami masuk ke dalam babi-babi itu.” 32  “Pergilah!” kata Yesus kepada mereka. Jadi mereka pun keluar daripada lelaki tersebut dan masuk ke dalam babi-babi itu. Kemudian, semua babi itu meluru ke arah tebing curam lalu terjun dan mati di dalam tasik. 33  Tetapi orang yang menjaga kawanan babi tersebut melarikan diri ke kota lalu memberitahu semua orang apa yang berlaku, termasuk apa yang terjadi kepada dua orang lelaki yang dirasuk itu. 34  Semua orang di kota keluar untuk mencari Yesus. Selepas mereka menjumpainya, mereka mendesaknya untuk meninggalkan kawasan mereka.

Nota Kaki

Sejenis binatang di negeri Israel yang menyerupai anjing.