Matius 7:1-29

  • CERAMAH DI ATAS GUNUNG (1-27)

    • Jangan lagi menghakimi (1-6)

    • Terus minta, cari, ketuk (7-11)

    • Cara memperlakukan orang (12)

    • Pintu yang sempit (13, 14)

    • Dikenal melalui perbuatan (15-23)

    • Rumah atas batu, rumah atas pasir (24-27)

  • Ramai kagum dengan ajaran Yesus (28, 29)

7  “Jangan lagi menghakimi orang lain supaya kamu tidak dihakimi.  Hal ini demikian kerana kamu akan dihakimi sebagaimana kamu menghakimi orang. Sukatan yang kamu gunakan untuk orang, juga akan digunakan untuk kamu.  Jika begitu, mengapakah kamu melihat jerami di dalam mata saudaramu tetapi tidak melihat kayu balak di dalam matamu sendiri?  Bagaimanakah kamu dapat berkata kepada saudara kamu, ‘Biarlah aku mengeluarkan jerami dari matamu,’ sedangkan ada kayu balak di dalam matamu sendiri?  Hai orang yang bermuka dua! Keluarkanlah dahulu kayu balak dari matamu sendiri, kemudian barulah kamu dapat melihat dengan jelas bagaimana untuk mengeluarkan jerami dari mata saudaramu.  “Jangan berikan apa yang suci kepada anjing dan jangan berikan mutiara kamu kepada babi, kerana babi hanya akan memijak-mijak mutiara itu lalu menyerang kamu.  “Teruslah meminta, dan kamu akan menerimanya; teruslah mencari, dan kamu akan menemukannya; teruslah mengetuk, dan pintu akan dibuka bagimu.  Hal ini demikian kerana setiap orang yang terus meminta akan menerima, setiap orang yang terus mencari akan menemukan, dan pintu pasti akan dibuka bagi setiap orang yang terus mengetuk.  Sesungguhnya, siapakah antara kamu yang akan memberikan batu kepada anaknya apabila anaknya meminta roti? 10  Atau siapakah yang akan memberikan ular kepada anaknya apabila anaknya meminta ikan? 11  Oleh itu, jika kamu yang jahat pun tahu memberikan apa yang baik kepada anak-anakmu, apatah lagi Bapa kamu yang di syurga! Sudah pasti Dia akan memberikan apa yang baik kepada mereka yang meminta daripada-Nya. 12  “Maka, semua hal yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, kamu juga mesti melakukannya untuk mereka. Sebenarnya, inilah yang dimaksudkan dalam Hukum dan Ajaran Para Nabi. 13  “Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana pintu yang lebar dan jalan yang luas menuju kebinasaan. Ramai orang melalui jalan itu. 14  Tetapi pintu yang sempit dan jalan yang susah menuju kehidupan. Hanya sedikit orang menjumpai jalan itu. 15  “Berwaspadalah terhadap nabi-nabi palsu yang datang bertopengkan biri-biri, tetapi sebenarnya mereka ialah serigala yang buas. 16  Kamu akan mengenal mereka melalui perbuatan* mereka. Tumbuhan berduri tidak akan menghasilkan buah anggur atau buah ara, bukan? 17  Demikian juga, setiap pokok yang baik akan menghasilkan buah yang baik, tetapi setiap pokok yang buruk akan menghasilkan buah yang buruk. 18  Pokok yang baik tidak dapat menghasilkan buah yang buruk, dan pokok yang buruk tidak dapat menghasilkan buah yang baik. 19  Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang lalu dibuang ke dalam api. 20  Demikianlah kamu akan mengenal mereka melalui perbuatan mereka. 21  “Bukan semua orang yang berkata kepadaku, ‘Tuan, Tuan,’ akan masuk ke dalam Kerajaan di syurga. Hanya mereka yang melakukan kehendak Bapaku yang di syurga akan memasukinya. 22  Pada hari itu, ramai orang akan berkata kepadaku, ‘Tuan, Tuan, bukankah kami bernubuat atas namamu, mengusir roh-roh jahat atas namamu, dan melakukan banyak mukjizat atas namamu?’ 23  Tetapi aku akan menjawab, ‘Aku tidak mengenal kamu! Pergilah dari sini, hai orang yang melanggar hukum!’ 24  “Oleh itu, setiap orang yang mendengar kata-kataku dan melakukannya akan menjadi seperti orang bijaksana yang membina rumahnya di atas batu. 25  Hujan lebat turun, banjir melanda, dan angin kencang menimpa rumah itu, tetapi rumah itu tidak roboh kerana dibina di atas batu. 26  Namun, setiap orang yang mendengar kata-kataku tetapi tidak melakukannya akan menjadi seperti orang bodoh yang membina rumahnya di atas pasir. 27  Hujan lebat turun, banjir melanda, dan angin kencang menimpa rumah itu, lalu rumah itu roboh. Alangkah dahsyatnya kerosakan rumah itu!” 28  Setelah Yesus mengatakan perkara-perkara ini, orang ramai sangat kagum dengan cara dia mengajar. 29  Hal ini demikian kerana dia mengajar mereka sebagai seorang yang berwibawa dan bukan seperti jurutulis hukum mereka.

Nota Kaki

Perkataan Yunani ini secara harfiah bermaksud “buah,” tetapi membawa erti kiasan “perbuatan.”