Matius 26:1-75

  • Para imam berkomplot membunuh Yesus (1-5)

  • Minyak wangi dituang atas Yesus (6-13)

  • Paska terakhir dan pengkhianatan (14-25)

  • Perjamuan Malam Tuan diasaskan (26-30)

  • Penyangkalan Petrus dinubuatkan (31-35)

  • Yesus berdoa di Getsemani (36-46)

  • Yesus ditangkap (47-56)

  • Di hadapan Majlis Orang Yahudi (57-68)

  • Petrus menyangkal Yesus (69-75)

26  Selepas Yesus mengatakan semua ini, dia berkata kepada murid-muridnya,  “Kamu tahu bahawa dua hari lagi, Perayaan Paska* akan disambut dan Anak manusia akan diserahkan kepada musuh untuk dihukum bunuh pada tiang.”  Selepas itu, ketua-ketua imam dan para pemimpin orang Yahudi berkumpul di halaman dalam rumah imam agung yang bernama Kayafas.  Mereka berkomplot untuk menangkap Yesus dengan cara yang licik dan membunuhnya.  Tetapi mereka berkata, “Kita tidak patut melakukannya semasa perayaan supaya orang ramai tidak menimbulkan huru-hara.”  Semasa Yesus berada di Betania, di rumah Simon yang dahulunya menghidap penyakit kusta,  seorang wanita datang kepadanya sambil membawa sebuah botol* berisi minyak wangi yang mahal. Wanita tersebut menuangkan minyak itu ke atas kepala Yesus semasa dia sedang makan.  Murid-murid Yesus nampak hal ini lalu naik marah. Mereka berkata, “Mengapakah dia membazirkan minyak itu?  Minyak wangi itu dapat dijual dengan harga yang tinggi dan wangnya boleh diberikan kepada orang miskin.” 10  Yesus tahu apa yang sedang dibincangkan oleh mereka. Jadi dia berkata, “Mengapakah kamu menyusahkan wanita ini? Dia melakukan sesuatu yang baik untuk aku. 11  Orang miskin sentiasa ada bersama kamu, tetapi aku tidak akan sentiasa bersama kamu. 12  Semasa wanita ini menuangkan minyak wangi pada tubuhku, dia sedang membuat persiapan untuk pengebumianku. 13  Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Di mana sahaja berita baik disebarkan di seluruh dunia, perbuatan wanita ini juga akan diceritakan untuk mengenang dia.” 14  Kemudian, salah seorang daripada 12 orang rasul yang bernama Yudas Iskariot pergi berjumpa dengan ketua-ketua imam. 15  Dia berkata, “Apakah yang akan kamu berikan kepadaku jika aku mengkhianati Yesus dan menyerahkannya kepada kamu?” Mereka berjanji untuk memberinya 30 keping wang perak. 16  Sejak itu, dia asyik mencari kesempatan yang baik untuk mengkhianati Yesus. 17  Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, murid-murid Yesus menghampirinya lalu bertanya, “Di manakah Guru mahu kami membuat persiapan untuk jamuan Paska?” 18  Dia menjawab, “Pergilah berjumpa dengan seorang lelaki di kota. Beritahulah dia, ‘Guru berkata, “Masa yang ditetapkan untuk aku sudah dekat. Aku akan menyambut Perayaan Paska dengan murid-muridku di rumahmu.”’” 19  Murid-murid Yesus melakukan apa yang disuruh oleh Yesus dan membuat persiapan untuk menyambut Perayaan Paska. 20  Pada lewat petang, dia duduk dan makan di meja bersama-sama 12 orang muridnya. 21  Sementara mereka makan, dia berkata, “Ketahuilah: Salah seorang daripada kamu akan mengkhianati aku.”  22  Murid-muridnya sangat sedih ketika mendengarnya, maka seorang demi seorang mula bertanya, “Tuan, adakah aku orangnya?” 23  Yesus menjawab, “Orang yang mengambil makanan daripada mangkuk yang sama dengan aku akan mengkhianati aku. 24  Seperti yang tertulis, Anak manusia memang akan mati. Tetapi malanglah orang yang mengkhianati Anak manusia! Lebih baik jika orang itu tidak dilahirkan.” 25  Yudas yang akan mengkhianati Yesus berkata, “Rabbi, adakah aku orangnya?” Yesus menjawab, “Kamu sendiri tahu jawapannya.” 26  Sementara mereka makan, Yesus mengambil roti lalu mengucapkan syukur. Dia membahagikan roti itu dan memberikannya kepada murid-muridnya sambil berkata, “Ambillah dan makan. Roti ini melambangkan tubuhku.” 27  Kemudian, dia mengambil sebuah cawan. Selepas mengucapkan syukur, dia memberikan cawan itu kepada mereka sambil berkata, “Kamu semua, minumlah daripada cawan ini. 28  Wain dalam cawan ini melambangkan ‘darah perjanjian’ aku yang akan dicurahkan supaya dosa banyak orang diampunkan. 29  Tetapi aku berkata kepada kamu: Mulai sekarang, aku tidak akan minum wain lagi sehingga hari aku minum wain baru bersama kamu dalam Kerajaan Bapaku.” 30  Akhirnya, selepas mereka menyanyikan lagu pujian,* mereka bertolak ke Gunung Zaitun. 31  Kemudian Yesus berkata kepada mereka, “Malam ini, kamu semua akan tersandung kerana apa yang bakal menimpa aku. Hal ini demikian kerana ada tertulis, ‘Aku akan membunuh gembala, dan kawanan bebirinya akan berselerak ke merata tempat.’ 32  Tetapi selepas aku dibangkitkan, aku akan mendahului kamu untuk pergi ke Galilea.” 33  Namun Petrus berkata kepadanya, “Walaupun mereka semua tersandung kerana apa yang bakal menimpa Guru, aku sama sekali tidak akan tersandung!” 34  Yesus berkata kepadanya, “Ketahuilah: Pada malam ini, sebelum ayam jantan berkokok, kamu akan berkata sebanyak tiga kali bahawa kamu tidak mengenal aku.” 35  Petrus berkata kepadanya, “Biarpun aku terpaksa mati bersamamu, aku tidak akan menafikan bahawa aku mengenalmu.” Murid-murid yang lain juga mengatakan hal yang sama. 36  Kemudian Yesus pergi bersama mereka ke tempat yang bernama Getsemani. Dia berkata kepada murid-muridnya, “Duduklah di sini sementara aku pergi ke sana untuk berdoa.” 37  Dia membawa Petrus dan dua orang anak Zebedeus bersamanya. Pada masa itu, dia berasa sedih dan sangat gelisah. 38  Dia berkata kepada mereka, “Aku sedih sekali sehingga hendak mati rasanya. Teruslah berada di sini dan berjaga-jagalah bersamaku.” 39  Dia pergi jauh sedikit daripada mereka lalu bersujud dan berdoa, “Bapaku, jika boleh, jauhkanlah cawan ini daripadaku. Namun, janganlah turut kehendakku, tetapi turutlah kehendak-Mu.” 40  Semasa dia kembali, dia mendapati bahawa murid-muridnya sedang tidur. Maka, dia berkata kepada Petrus, “Tidak dapatkah kamu semua berjaga-jaga bersama aku selama satu jam? 41  Teruslah berjaga-jaga dan berdoa supaya kamu semua tidak terjerat oleh godaan. Sememangnya, hati ingin membuat apa yang benar tetapi tubuh* lemah.” 42  Buat kali kedua, dia pergi dan berdoa, “Bapaku, jika cawan ini tidak boleh diambil daripadaku, dan aku harus minum daripadanya, biarlah kehendak-Mu berlaku.” 43  Sekali lagi, dia kembali dan mendapati bahawa mereka sedang tidur kerana kelopak mata mereka terasa sangat berat. 44  Jadi dia meninggalkan mereka dan pergi berdoa tentang hal yang sama untuk kali ketiga. 45  Kemudian dia kembali dan berkata kepada murid-muridnya, “Adakah kamu masih tidur dan berehat pada saat genting ini? Lihatlah! Masanya sudah dekat untuk Anak manusia dikhianati dan diserahkan ke dalam tangan pendosa. 46  Bangunlah, mari kita pergi. Lihatlah! Pengkhianatku sudah dekat.” 47  Sementara dia masih bercakap, salah seorang daripada 12 orang rasul yang bernama Yudas tiba. Bersamanya terdapat ramai orang yang membawa pedang dan belantan. Mereka diutus oleh ketua-ketua imam dan para pemimpin orang Yahudi. 48  Pengkhianatnya telah memberi mereka satu tanda dengan berkata, “Sesiapa yang aku cium, dialah orang yang kamu cari. Tangkaplah dia.” 49  Apabila Yudas tiba, dia terus menghampiri Yesus dan berkata, “Salam sejahtera, Rabbi!” lalu menciumnya. 50  Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Mengapakah kamu datang?” Kemudian mereka melangkah ke depan dan menangkap Yesus. 51  Tiba-tiba, salah seorang murid Yesus menghunus pedangnya dan menyerang hamba imam agung lalu mengerat telinganya. 52  Tetapi Yesus berkata kepada dia, “Sarungkanlah pedangmu. Orang yang menggunakan pedang akan dibinasakan oleh pedang. 53  Adakah kamu menyangka bahawa aku tidak boleh merayu kepada Bapaku supaya mengutus lebih daripada 12 pasukan* malaikat sekarang juga? 54  Tetapi jika aku berbuat demikian, bagaimanakah Ayat-Ayat Suci yang menyatakan bahawa perkara ini mesti berlaku dapat menjadi kenyataan?” 55  Kemudian Yesus berkata kepada orang ramai di situ, “Adakah kamu datang dengan membawa pedang dan belantan untuk menangkap aku seperti menangkap seorang perompak? Tiap-tiap hari aku duduk sambil mengajar di Rumah Tuhan. Namun, kamu tidak menangkap aku. 56  Tetapi semua ini berlaku supaya apa yang ditulis oleh para nabi menjadi kenyataan.” Ketika itu, semua muridnya meninggalkannya lalu melarikan diri. 57  Orang yang menangkap Yesus membawanya kepada imam agung Kayafas. Jurutulis hukum dan pemimpin orang Yahudi sudah berkumpul di situ. 58  Tetapi Petrus mengikut Yesus dari jauh sehingga ke halaman dalam rumah imam agung. Dia masuk dan duduk bersama hamba-hamba di situ untuk melihat apa yang akan berlaku. 59  Sementara itu, para ketua imam dan seluruh Majlis Orang Yahudi mencari saksi palsu untuk menuduh Yesus supaya mereka dapat membunuhnya. 60  Walaupun banyak saksi palsu tampil, mereka tidak menjumpai apa-apa bukti. Kemudian, dua orang tampil 61  dan berkata, “Lelaki ini berkata, ‘Aku dapat merobohkan Rumah Tuhan dan membinanya semula dalam masa tiga hari.’” 62  Imam agung pun berdiri dan berkata kepada Yesus, “Mengapakah kamu tidak menjawab? Tidakkah kamu mendengar tuduhan yang dilontarkan terhadap kamu?” 63  Tetapi Yesus terus membisu. Jadi imam agung berkata kepadanya, “Bersumpahlah demi Tuhan yang hidup dan beritahulah kami sama ada kamu ialah Kristus, iaitu Anak Tuhan, atau tidak!” 64  Yesus berkata kepadanya, “Kamu sendiri yang mengatakannya. Namun aku berkata kepada kamu semua: Mulai sekarang, kamu akan melihat Anak manusia datang atas awan di langit dan duduk di sebelah kanan Dia Yang Berkuasa.” 65  Imam agung mengoyakkan jubah luarnya lalu berkata, “Dia telah menghina Tuhan! Adakah kita memerlukan saksi lagi? Kamu semua sudah mendengar kata-katanya yang menghina Tuhan. 66  Apakah pendapat kamu?” Mereka menjawab, “Dia patut mati.” 67  Kemudian mereka meludahi mukanya dan menumbuknya. Orang lain pula menampar mukanya 68  dan berkata, “Wahai Kristus, bukankah kamu seorang nabi? Beritahulah kami siapa yang memukul kamu.” 69  Semasa Petrus duduk di halaman dalam, seorang hamba perempuan datang kepadanya dan berkata, “Kamu juga bersama dengan Yesus, orang Galilea itu!” 70  Tetapi dia menafikan hal itu di hadapan mereka semua dan berkata, “Aku tidak faham apa maksud kamu.” 71  Selepas dia pergi ke kawasan berhampiran pagar, seorang lagi hamba perempuan melihatnya dan berkata kepada orang di situ, “Lelaki ini bersama dengan Yesus, orang Nasaret itu.” 72  Sekali lagi dia menafikan hal itu dan bersumpah, “Aku tidak kenal lelaki itu!” 73  Tidak lama kemudian, mereka yang berdiri di situ datang kepada Petrus dan berkata, “Tentu kamu juga salah seorang daripada mereka kerana loghat kamu membuktikannya.” 74  Lalu Petrus bersumpah, “Terkutuklah aku jika aku berdusta! Aku tidak kenal lelaki itu!” Pada saat itu juga, seekor ayam jantan berkokok. 75  Lalu Petrus teringat kata-kata Yesus, “Sebelum ayam jantan berkokok, kamu akan berkata sebanyak tiga kali bahawa kamu tidak mengenal aku.” Dia pun keluar dan menangis tersedu-sedu.

Nota Kaki

Lihat Daftar Kata.
Harfiah, “botol alabaster.” Lihat Daftar Kata, “Alabaster.”
Atau “mazmur.”
Merujuk kepada keadaan manusia yang berdosa dan tidak sempurna.
Harfiah, “12 legiun.” Dalam pasukan tentera Roma, ada kira-kira 4,000 hingga 6,000 orang askar dalam satu legiun.