Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Matius 25:1-46

RANGKA KANDUNGAN

  • TANDA KEHADIRAN KRISTUS (1-46)

    • Perumpamaan tentang 10 anak dara (1-13)

    • Perumpamaan tentang talenta (14-30)

    • Bebiri dan kambing (31-46)

25  “Pada masa itu, Kerajaan di syurga adalah seperti 10 orang anak dara yang mengambil pelita mereka dan keluar untuk menyambut pengantin lelaki.  Lima orang daripada mereka bodoh, dan lima orang lagi bijaksana.  Anak dara yang bodoh membawa pelita tetapi tidak membawa minyak tambahan,  manakala anak dara yang bijaksana membawa pelita dan bekas berisi minyak.  Memandangkan pengantin lelaki lambat datang, mereka semua mengantuk lalu tertidur.  Pada tengah malam, ada orang berseru, ‘Pengantin lelaki sudah sampai! Pergilah menyambutnya.’  Semua anak dara itu bangun dan menyediakan pelita mereka.  Anak dara yang bodoh berkata kepada anak dara yang bijaksana, ‘Berilah kami sedikit minyak kerana pelita kami hampir padam.’  Anak dara yang bijaksana menjawab, ‘Mungkin bekalan minyak kami tidak cukup untuk kita semua. Pergilah dan belilah minyak daripada mereka yang menjualnya.’ 10  Semasa mereka bertolak untuk membeli minyak, pengantin lelaki sampai. Anak-anak dara yang sudah bersedia mengikutnya ke dalam rumah untuk menghadiri majlis perkahwinan, lalu pintu ditutup. 11  Kemudian, anak dara yang lain tiba lalu berkata, ‘Tuan, Tuan, bukalah pintu untuk kami!’ 12  Pengantin lelaki menjawab, ‘Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Aku tidak mengenal kamu.’ 13  “Maka, teruslah berjaga-jaga, kerana kamu semua tidak tahu hari atau waktunya. 14  “Tambahan lagi, Kerajaan di syurga bagaikan seorang lelaki yang akan berangkat ke luar negeri. Dia memanggil hamba-hambanya dan mengamanahkan hartanya kepada mereka. 15  Berdasarkan kebolehan masing-masing, dia memberi seorang hamba lima talenta,* seorang dua talenta, dan seorang lagi satu talenta. Kemudian dia berangkat ke luar negeri. 16  Hamba yang menerima lima talenta itu segera pergi berniaga lalu mendapat lima talenta lagi. 17  Begitu juga, hamba yang menerima dua talenta mendapat dua talenta lagi. 18  Tetapi hamba yang menerima satu talenta sahaja pergi dan menggali lubang di tanah lalu menyembunyikan wang perak tuannya. 19  “Setelah sekian lama, tuan kepada hamba-hamba itu kembali untuk memeriksa apa yang telah dilakukan oleh mereka dengan wangnya. 20  Jadi, hamba yang menerima lima talenta tampil dan membawa lima talenta lagi lalu berkata, ‘Tuan telah mengamanahkan lima talenta kepada hamba. Lihatlah, hamba sudah mendapat lima talenta lagi.’ 21  Tuannya berkata, ‘Bagus, hamba yang baik dan setia! Kamu menguruskan hal yang kecil dengan setia. Jadi, aku akan melantik kamu untuk menguruskan lebih banyak hal. Bersukacitalah bersama tuanmu.’ 22  Kemudian, hamba yang menerima dua talenta tampil dan berkata, ‘Tuan telah mengamanahkan dua talenta kepada hamba. Lihatlah, hamba sudah mendapat dua talenta lagi.’ 23  Tuannya berkata, ‘Bagus, hamba yang baik dan setia! Kamu menguruskan hal yang kecil dengan setia. Jadi, aku akan melantik kamu untuk menguruskan lebih banyak hal. Bersukacitalah bersama tuanmu.’ 24  “Akhirnya, hamba yang menerima satu talenta tampil dan berkata, ‘Hamba tahu tuan seorang yang amat tegas. Tuan menuai meskipun tidak menanam, dan memungut hasil meskipun tidak mengusahakannya. 25  Jadi hamba berasa takut dan pergi menyembunyikan talenta tuan di dalam tanah. Lihat, inilah milik tuan.’ 26  Tuannya berkata, ‘Kamu hamba yang jahat dan malas. Kamu tahu bahawa aku menuai meskipun tidak menanam, dan memungut hasil meskipun tidak mengusahakannya, bukan? 27  Kalau begitu, kamu sepatutnya menyimpan wang perakku di bank supaya apabila aku pulang, aku dapat menerima wangku dengan bunganya. 28  “‘Oleh itu, ambillah talentanya dan berikannya kepada hamba yang mempunyai 10 talenta. 29  Bagi setiap orang yang mempunyai sesuatu, dia akan diberikan lebih banyak supaya dia memilikinya dengan melimpah. Tetapi bagi orang yang tiada apa-apa, bahkan apa yang dimilikinya juga akan diambil daripadanya. 30  Sekarang, buanglah hamba yang tidak berguna itu ke tempat yang gelap di luar. Di situ dia akan menangis dan menggertakkan gigi.’ 31  “Apabila Anak manusia datang dalam kemuliaannya dengan semua malaikat, dia akan duduk di atas takhtanya yang agung. 32  Semua bangsa akan dikumpulkan di hadapannya, dan dia akan memisahkan orang menjadi dua kumpulan, sepertimana seorang gembala memisahkan biri-biri daripada kambing. 33  Dia akan meletakkan biri-biri di sebelah kanannya tetapi kambing di sebelah kirinya. 34  “Kemudian Raja akan berkata kepada mereka yang ada di sebelah kanannya, ‘Marilah, kamu yang telah diberkati oleh Bapaku. Warisilah Kerajaan Tuhan yang telah disediakan untuk kamu sejak dunia diasaskan.* 35  Semasa aku lapar, kamu memberi aku makanan; aku dahaga dan kamu memberi aku minuman. Kamu tidak mengenal aku, tetapi kamu menyambut aku ke dalam rumahmu. 36  Aku tidak berpakaian tetapi kamu memberi aku pakaian. Aku jatuh sakit dan kamu menjaga aku. Aku dipenjarakan dan kamu datang melawat aku.’ 37  Orang yang melakukan apa yang benar akan menjawabnya, ‘Tuan, bilakah kami nampak Tuan lapar lalu memberi Tuan makanan, atau nampak Tuan dahaga lalu memberi Tuan minuman? 38  Bilakah kami menyambut Tuan ke dalam rumah meskipun kami tidak mengenal Tuan, atau nampak Tuan tidak berpakaian lalu memberi Tuan pakaian? 39  Bilakah kami nampak Tuan sakit atau dipenjarakan lalu melawat Tuan?’ 40  Maka Raja akan menjawab, ‘Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Apa sahaja yang kamu lakukan untuk salah seorang daripada saudaraku yang paling kecil, kamu lakukannya untukku.’ 41  “Kemudian dia akan berkata kepada mereka yang ada di sebelah kirinya, ‘Pergilah dari sini, hai orang yang terkutuk! Pergilah ke dalam api kekal yang disediakan untuk Iblis dan malaikat-malaikatnya. 42  Semasa aku lapar, kamu tidak memberi aku makanan; aku dahaga tetapi kamu tidak memberi aku minuman. 43  Aku tidak kamu kenali, tetapi kamu tidak menyambut aku ke dalam rumahmu. Aku tidak berpakaian tetapi kamu tidak memberi aku pakaian. Aku jatuh sakit dan dipenjarakan tetapi kamu tidak menjaga aku.’ 44  Mereka juga akan menjawab, ‘Tuan, bilakah kami nampak Tuan lapar atau dahaga atau sebagai orang yang tidak dikenali atau tidak berpakaian atau sakit atau dipenjarakan tetapi tidak menolong Tuan?’ 45  Maka dia akan menjawab, ‘Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Apa sahaja yang tidak kamu lakukan untuk salah seorang daripada saudaraku yang paling kecil, kamu tidak lakukannya untukku.’ 46  Orang sebegini akan mati selama-lamanya, tetapi orang yang melakukan apa yang benar akan hidup selama-lamanya.”

Nota Kaki

Talenta ialah wang yang beratnya 20.4 kg.
Iaitu, sejak anak-anak Adam dan Hawa dilahirkan.