Matius 24:1-51

  • TANDA KEHADIRAN KRISTUS (1-51)

    • Peperangan, kebuluran, gempa bumi (7)

    • Berita baik akan disebarkan (14)

    • Kesengsaraan besar (21, 22)

    • Tanda Anak manusia (29)

    • Pokok ara (32-34)

    • Seperti zaman Nuh (37-39)

    • Teruslah berjaga-jaga (42-44)

    • Hamba yang setia, hamba yang jahat (45-51)

24  Semasa Yesus meninggalkan Rumah Tuhan, murid-muridnya menghampirinya. Mereka menunjukkan bangunan-bangunan Rumah Tuhan kepadanya.  Dia berkata kepada mereka, “Kamu nampak semua bangunan ini, bukan? Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Batu-batu di sini pasti dirobohkan sehingga satu batu pun tidak akan tersusun di atas batu yang lain.”  Semasa dia duduk di atas Gunung Zaitun, murid-muridnya datang kepadanya ketika tiada orang lain di situ. Mereka bertanya, “Beritahulah kami bila hal-hal ini akan berlaku, dan apakah tanda bagi kehadiranmu* dan penghujung sistem ini?”*  Lalu Yesus menjawab, “Berhati-hatilah supaya tiada orang menyesatkan kamu.  Ramai orang akan datang dengan namaku dan berkata, ‘Akulah Kristus,’ dan menyesatkan banyak orang.  Kamu akan mendengar tentang peperangan di pelbagai tempat tetapi janganlah takut. Semua perkara ini mesti berlaku, tetapi akhir masih belum tiba.  “Satu bangsa akan menyerang bangsa yang lain, dan satu kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain. Kebuluran dan gempa bumi akan terjadi secara berturut-turut di merata tempat.  Semua perkara ini hanyalah permulaan kesusahan, seperti kesakitan yang dialami oleh seorang wanita yang akan bersalin.  “Pada masa itu, orang akan menganiaya dan membunuh kamu. Kamu akan dibenci oleh semua bangsa kerana namaku. 10  Tambahan lagi, ramai orang akan tersandung. Mereka akan mengkhianati dan membenci satu sama lain. 11  Banyak nabi palsu akan muncul dan menyesatkan banyak orang. 12  Oleh sebab kejahatan semakin bertambah, kasih kebanyakan orang akan mendingin. 13  Tetapi sesiapa yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan. 14  Berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa. Kemudian, barulah akhir akan datang. 15  “Sebaik sahaja kamu nampak perkara jijik yang membawa kemusnahan yang disebut oleh nabi Daniel berdiri di tempat yang suci (hendaklah pembaca menggunakan daya penilaian untuk memahami hal ini), 16  hendaklah mereka yang berada di Yudea melarikan diri ke kawasan pergunungan. 17  Orang yang berada di bumbung rumah,* janganlah turun untuk mengambil barang dari rumah. 18  Orang yang berada di ladang pula, janganlah balik untuk mengambil jubah luar. 19  Alangkah malangnya wanita yang hamil dan ibu yang menyusui bayi pada masa itu! 20  Teruslah berdoa agar kamu tidak perlu melarikan diri semasa musim sejuk atau pada hari Sabat, 21  kerana akan berlakunya kesengsaraan besar yang tidak pernah berlaku semenjak permulaan dunia sehingga sekarang, dan yang tidak akan berlaku lagi. 22  Sebenarnya, jika tempoh masa itu tidak dipendekkan, tiada seorang pun yang dapat diselamatkan. Tetapi disebabkan umat yang terpilih, masa itu akan dipendekkan. 23  “Ketika itu, jika ada orang berkata kepada kamu, ‘Lihatlah! Kristus di sini,’ atau, ‘Kristus di situ!’ janganlah kamu mempercayai mereka, 24  kerana Kristus palsu dan nabi palsu akan muncul. Mereka akan melakukan keajaiban dan mukjizat yang hebat agar dapat menyesatkan orang. Jika mungkin, mereka bahkan ingin menyesatkan umat Tuhan yang terpilih. 25  Lihatlah! Aku sudah memberi kamu amaran sebelum hal ini berlaku. 26  Maka, jika orang memberitahu kamu, ‘Lihatlah! Dia berada di padang belantara,’ janganlah keluar. Jika mereka berkata, ‘Lihatlah! Dia berada di suatu tempat yang rahsia,’ janganlah mempercayai mereka, 27  kerana kehadiran* Anak manusia adalah seperti kilat yang memancar dari timur ke barat. 28  Di mana ada bangkai, di situlah burung helang akan berkumpul. 29  “Sejurus selepas kesengsaraan pada hari itu, matahari akan menjadi gelap dan bulan tidak akan bercahaya. Bintang-bintang akan jatuh dari langit, dan kuasa-kuasa di langit akan digoncang. 30  Tanda Anak manusia akan muncul di langit dan semua suku bangsa di bumi akan memukul dada dengan sedih. Mereka akan melihat Anak manusia datang di atas awan* dengan kuasa dan kemuliaan yang besar. 31  Trompet akan dibunyikan dengan kuat dan dia akan mengutus malaikat-malaikatnya ke empat arah mata angin untuk mengumpulkan umatnya yang terpilih dari satu hujung langit ke hujung yang lain. 32  “Belajarlah daripada perumpamaan tentang pokok ara: Sebaik sahaja dahan muda yang lembut mula mengeluarkan daun, kamu tahu bahawa musim panas sudah dekat. 33  Demikian juga, apabila kamu melihat semua perkara ini, ketahuilah bahawa dia sudah berada di ambang pintu. 34  Sesungguhnya aku berkata kepada kamu bahawa generasi ini tidak akan lenyap sehingga semua perkara ini berlaku. 35  Langit dan bumi akan lenyap, tetapi kata-kataku tidak akan lenyap sama sekali. 36  “Tiada seorang pun yang tahu hari atau waktunya,* baik malaikat di syurga mahupun Anak. Hanya Bapa yang tahu. 37  Sebagaimana keadaannya pada zaman Nuh, begitulah keadaannya semasa kehadiran* Anak manusia. 38  Sebelum Banjir melanda, orang makan dan minum, lelaki dan wanita berkahwin, sehingga pada hari Nuh masuk ke dalam bahtera. 39  Mereka tidak ambil peduli, sehingga Banjir melanda dan melenyapkan mereka semua. Begitulah keadaannya semasa kehadiran Anak manusia. 40  Pada masa itu, dua orang lelaki bekerja di ladang; seorang akan dibawa pergi, manakala seorang lagi ditinggalkan. 41  Dua orang wanita mengisar gandum; seorang akan dibawa pergi, manakala seorang lagi ditinggalkan. 42  Maka, teruslah berjaga-jaga, kerana kamu tidak tahu bila Tuan kamu akan datang. 43  “Tetapi ketahuilah hal ini: Jika tuan rumah tahu pada jam berapa pencuri akan datang, dia akan terus berjaga sepanjang malam dan tidak membenarkan pencuri pecah masuk ke dalam rumahnya. 44  Oleh itu, pastikan bahawa kamu bersedia, kerana Anak manusia akan datang pada waktu yang tidak kamu jangkakan. 45  “Siapakah sebenarnya hamba yang setia dan bijaksana, yang dilantik oleh tuannya untuk menjaga hamba-hamba lain dan untuk memberi mereka makanan pada masa yang sesuai? 46  Alangkah bahagianya hamba itu jika tuannya datang dan mendapati bahawa dia sedang menjalankan tugasnya! 47  Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Dia akan melantik hamba itu untuk mengurus segala hartanya. 48  “Tetapi jika hamba yang jahat itu berkata dalam hatinya, ‘Masih lama lagi sebelum tuanku balik,’ 49  lalu dia mula memukul hamba-hamba yang lain dan makan serta minum dengan para pemabuk, 50  tuan kepada hamba itu akan datang pada hari yang tidak dijangkakannya dan pada masa yang tidak diketahuinya. 51  Kemudian, tuannya akan menjatuhkan hukuman yang berat sekali ke atasnya dan membuangnya bersama orang yang bermuka dua. Di situlah dia akan meratap dan menggertakkan gigi.

Nota Kaki

Lihat Daftar Kata.
Atau “zaman ini.” Lihat Daftar Kata, “Sistem dunia.”
Kebanyakan rumah pada masa itu mempunyai bumbung rata yang digunakan untuk pelbagai aktiviti.
Lihat Daftar Kata.
Harfiah, “awan di langit.”
Harfiah, “jamnya.”
Lihat Daftar Kata.