Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Matius 21:1-46

RANGKA KANDUNGAN

  • Yesus memasuki Yerusalem (1-11)

  • Yesus menyucikan Rumah Tuhan (12-17)

  • Pohon ara dikutuk (18-22)

  • Kuasa Yesus dicabar (23-27)

  • Perumpamaan tentang dua orang anak (28-32)

  • Perumpamaan tentang peladang yang jahat (33-46)

    • Batu penjuru utama dibuang (42)

21  Semasa mereka hampir tiba di Yerusalem, mereka berhenti di Betfagi yang terletak di Gunung Zaitun. Yesus mengutus dua orang muridnya  dan berkata kepada mereka, “Pergilah ke pekan yang ada di hadapan itu. Sebaik sahaja kamu tiba, kamu akan menjumpai seekor keldai yang terikat, dan anaknya juga ada di situ. Lepaskanlah dan bawalah kedua-dua ekor keldai itu kepadaku.  Jika ada seseorang mengatakan sesuatu kepada kamu, katakan kepadanya, ‘Tuan memerlukan kedua-dua ekor keldai ini.’ Maka dengan segera dia akan membiarkan keldai itu dibawa pergi.”  Sebenarnya hal ini berlaku supaya terjadilah apa yang dikatakan melalui nabi,  “Katakanlah kepada kota Sion, ‘Lihatlah! Rajamu sedang datang kepadamu. Dia lemah lembut dan menunggang seekor keldai muda. Ya, dia datang dengan menunggang seekor anak keldai.’”  Maka kedua-dua orang murid itu pergi dan melakukan apa yang diarahkan oleh Yesus.  Mereka membawa kedua-dua ekor keldai itu dan meletakkan jubah luar mereka di atas keldai-keldai tersebut. Yesus pun duduk di atasnya.  Ramai orang membentangkan jubah luar mereka di atas jalan, yang lain pula memotong pelepah-pelepah pokok lalu menyelerakkannya di atas jalan.  Orang ramai yang berjalan di hadapan dan belakangnya berseru-seru, “Moga Tuhan menyelamatkan Anak Daud! Diberkatilah dia yang datang dengan nama Yehuwa! Moga Tuhan yang di syurga menyelamatkannya!” 10  Semasa Yesus masuk ke Yerusalem, seluruh kota itu menjadi gempar. Orang bertanya, “Siapakah dia?” 11  Orang ramai yang ada bersamanya asyik berkata, “Dia ialah Yesus, nabi dari Nasaret di Galilea!” 12  Yesus masuk ke dalam Rumah Tuhan dan mengusir semua orang yang berjual beli di sana. Dia menterbalikkan meja para penukar wang dan bangku para penjual burung merpati. 13  Dia berkata kepada mereka, “Ada tertulis, ‘Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa,’ tetapi kamu menjadikannya sarang perompak.” 14  Selain itu, orang buta dan tempang juga datang kepada Yesus di Rumah Tuhan dan dia menyembuhkan mereka. 15  Para ketua imam dan jurutulis hukum marah semasa melihat mukjizat-mukjizat yang dilakukan olehnya. Mereka juga marah apabila mendengar kanak-kanak di Rumah Tuhan berseru, “Moga Tuhan menyelamatkan Anak Daud!” 16  Mereka berkata kepadanya, “Tidakkah kamu mendengar apa yang dikatakan oleh mereka?” Yesus menjawab, “Ya, aku dengar. Belum pernahkah kamu membaca ayat yang berbunyi: ‘Engkau menyebabkan mulut kanak-kanak dan bayi mengucapkan pujian kepada-Mu’?” 17  Yesus meninggalkan mereka lalu keluar dari kota itu. Dia pergi ke Betania dan bermalam di situ. 18  Semasa Yesus kembali ke kota pada awal pagi, dia berasa lapar. 19  Dia nampak sepohon pokok ara di tepi jalan lalu menghampiri pokok itu. Namun dia tidak menjumpai sebiji buah pun. Yang ada cuma daun-daun. Maka dia berkata, “Mulai sekarang, kamu tidak akan berbuah lagi untuk selama-lamanya.” Dengan serta-merta, pokok ara itu pun layu. 20  Semasa murid-murid Yesus melihat kejadian itu, mereka berasa sangat hairan lalu berkata, “Bagaimanakah pokok ara itu boleh layu dengan serta-merta?” 21  Yesus menjawab, “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Jika kamu beriman dan tidak ragu-ragu, kamu juga dapat melakukan apa yang telah aku lakukan terhadap pokok ara ini. Bukan itu sahaja, jika kamu berkata kepada gunung ini, ‘Terangkatlah dan terbuanglah ke dalam laut,’ hal itu pun akan berlaku. 22  Jika kamu beriman, semua perkara yang kamu minta dalam doa akan kamu terima.” 23  Selepas itu, Yesus masuk ke dalam Rumah Tuhan. Semasa dia sedang mengajar, para ketua imam dan pemimpin orang Yahudi datang kepadanya lalu bertanya, “Dari manakah datangnya kuasamu? Siapakah yang memberi kamu kuasa untuk melakukan semua ini?” 24  Yesus menjawab, “Aku juga akan tanya kamu satu soalan. Jika kamu menjawabnya, aku akan memberitahu kamu siapa yang memberi aku kuasa untuk melakukan semua ini: 25  Siapakah yang memberi Yohanes kuasa untuk membaptis orang? Tuhan* atau manusia?” Mereka mula berbincang sesama sendiri dan berkata, “Jika kita kata, ‘Tuhan,’ dia akan bertanya, ‘Jadi, mengapakah kamu tidak percaya kepadanya?’ 26  Namun, jika kita kata, ‘Manusia,’ kita takut orang ramai akan mengapa-apakan kita, kerana mereka semua menganggap Yohanes sebagai seorang nabi.” 27  Oleh itu, mereka berkata kepada Yesus, “Kami tidak tahu.” Maka Yesus berkata, “Kalau begitu, aku pun tidak akan memberitahu kamu siapa yang memberi aku kuasa untuk melakukan semua ini. 28  “Apakah pendapat kamu? Seorang lelaki mempunyai dua orang anak. Dia pergi kepada anak yang pertama dan berkata, ‘Nak, pergilah bekerja di ladang anggur hari ini.’ 29  Anaknya menjawab, ‘Saya tidak mahu pergi,’ tetapi dia kemudiannya menyesal lalu pergi ke ladang anggur. 30  Ayah itu pergi kepada anaknya yang kedua dan mengatakan hal yang sama. Anak itu menjawab, ‘Saya akan pergi, ayah,’ tetapi dia tidak pergi. 31  Yang manakah antara kedua-dua orang anak itu yang melakukan kehendak ayahnya?” Mereka menjawab, “Anak yang pertama.” Yesus berkata kepada mereka, “Ketahuilah bahawa pemungut cukai dan pelacur akan masuk ke dalam Kerajaan Tuhan lebih dahulu daripada kamu. 32  Yohanes datang untuk mengajar kamu jalan hidup yang diperkenankan Tuhan, tetapi kamu tidak percaya kepadanya. Sebaliknya pemungut cukai dan pelacur telah mempercayainya. Meskipun kamu melihat hal ini, kamu masih tidak insaf dan enggan mempercayainya. 33  “Dengarlah satu lagi perumpamaan: Ada seorang pemilik ladang anggur. Dia menanam anggur dan mendirikan pagar di sekeliling ladangnya. Dia juga menggali tempat untuk memerah buah anggur, dan membina sebuah menara tempat berkawal. Kemudian dia menyewakan ladang itu kepada beberapa orang peladang lalu berangkat ke luar negeri. 34  Apabila musim anggur tiba, dia menghantar hamba-hambanya kepada para peladang itu untuk menerima sebahagian daripada hasil ladang. 35  Namun hamba-hambanya ditangkap oleh para peladang itu; seorang dipukul, seorang dibunuh, dan seorang lagi direjam. 36  Lalu dia menghantar hamba-hamba yang lain, kali ini lebih ramai daripada kumpulan yang sebelumnya. Namun hamba-hamba itu juga diperlakukan dengan cara yang sama. 37  Akhirnya dia mengutus anak lelakinya kepada mereka kerana dia berfikir, ‘Mereka akan menghormati anakku.’ 38  Namun, apabila para peladang melihat anaknya, mereka bercakap sesama sendiri, ‘Ini dia pewaris ladang anggur. Mari kita bunuh dia supaya kita mendapat harta yang bakal diwarisinya!’ 39  Maka mereka menangkapnya lalu membuangnya ke luar ladang anggur itu dan membunuhnya. 40  Semasa pemilik ladang anggur itu datang, apakah yang akan dilakukannya terhadap para peladang itu?” 41  Ketua imam dan pemimpin orang Yahudi menjawab, “Oleh sebab mereka jahat, dia pasti akan membunuh mereka. Kemudian dia akan menyewakan ladang anggurnya kepada peladang lain yang akan memberikan bahagiannya apabila musim anggur tiba.” 42  Yesus berkata kepada mereka, “Belum pernahkah kamu membaca dalam Ayat-Ayat Suci: ‘Batu yang dibuang oleh para pembina bangunan telah menjadi batu penjuru yang utama. Batu itu berasal daripada Yehuwa dan betapa indahnya batu itu di mata kita’? 43  Inilah sebabnya aku berkata kepada kamu bahawa Kerajaan Tuhan akan diambil daripada kamu dan diserahkan kepada bangsa yang melakukan kehendak Tuhan. 44  Sesiapa yang jatuh ke atas batu itu akan hancur, dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan remuk.” 45  Setelah mendengar perumpamaan-perumpamaan itu, barulah ketua-ketua imam dan orang Farisi tahu bahawa Yesus sedang bercakap tentang mereka. 46  Meskipun mereka mahu menangkap Yesus, mereka takut terhadap orang ramai yang menganggapnya sebagai seorang nabi.

Nota Kaki

Harfiah, “Syurga.”