Matius 18:1-35

  • Yang terbesar dalam Kerajaan (1-6)

  • Batu sandungan (7-11)

  • Perumpamaan tentang bebiri yang sesat (12-14)

  • Membantu saudara kembali ke pangkal jalan (15-20)

  • Perumpamaan tentang hamba yang tidak mengampuni (21-35)

18  Ketika itu, murid-murid Yesus datang kepada Yesus dan bertanya, “Siapakah yang terbesar dalam Kerajaan di syurga?”  Dia memanggil seorang anak kecil dan menyuruhnya berdiri di hadapan mereka.  Yesus berkata, “Ketahuilah: Jika kamu tidak mengubah sikap dan tidak menjadi seperti kanak-kanak, kamu pasti tidak akan memasuki Kerajaan di syurga.  Oleh itu, sesiapa yang merendahkan diri seperti anak kecil ini, dialah yang terbesar dalam Kerajaan di syurga.  Sesiapa yang menerima seorang anak kecil seperti ini demi namaku juga menerima aku.  Tetapi bagi sesiapa yang menyebabkan salah seorang muridku yang bagaikan anak kecil tersandung, lebih baik dia menggantungkan pada lehernya batu kisar besar yang ditarik oleh keldai lalu tenggelam di tengah laut.  “Malanglah dunia ini kerana menyebabkan orang tersandung! Walaupun perkara yang menyebabkan orang tersandung memang akan wujud, tetapi malanglah orang yang menyebabkan orang lain tersandung!  Oleh itu, jika sebelah tangan atau kaki kamu membuat kamu tersandung, potonglah dan buanglah tangan atau kaki itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah tangan atau kaki dan menerima kehidupan daripada memiliki dua tangan dan dua kaki tetapi dibuang ke dalam api yang kekal.  Begitu juga, jika sebelah mata kamu membuat kamu tersandung, cungkillah dan buanglah mata itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah mata dan menerima kehidupan daripada memiliki dua belah mata tetapi dibuang ke dalam api Gehena.* 10  Jangan sekali-kali memandang rendah pada muridku yang bagaikan anak kecil, kerana malaikat-malaikat mereka di syurga sentiasa menghadap muka Bapaku yang di syurga. 11 * —— 12  “Apakah pendapat kamu? Jika seseorang memiliki 100 ekor bebiri dan salah seekor bebirinya sesat, tidakkah dia akan meninggalkan 99 ekor bebirinya di gunung untuk mencari bebiri yang sesat itu? 13  Sekiranya dia menjumpai bebiri itu, dia lebih bersukacita atas seekor bebiri itu berbanding 99 ekor bebiri yang tidak sesat. 14  Demikian juga, Bapaku* yang di syurga tidak ingin seorang pun daripada muridku yang bagaikan anak kecil sesat. 15  “Jika saudara kamu berdosa terhadap kamu, pergilah kepadanya dan nyatakan kesilapannya* antara kamu berdua sahaja. Sekiranya dia mendengarkan kamu, kamu sudah membantu saudaramu kembali ke pangkal jalan. 16  Tetapi jika dia enggan mendengar, bawalah satu atau dua orang bersama-samamu, kerana setiap perkara dapat disahkan dengan adanya keterangan dua atau tiga orang saksi. 17  Jika dia enggan mendengar kata-kata mereka, maklumkanlah sidang. Jika sidang pun tidak diendahkannya, anggaplah dia sebagai orang daripada bangsa-bangsa lain dan pemungut cukai. 18  “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Apa sahaja yang kamu ikat di bumi sudah diikat di syurga, dan apa sahaja yang kamu lepaskan di bumi sudah dilepaskan di syurga. 19  Aku juga berkata kepada kamu: Jika dua orang daripada kamu di bumi bersetuju untuk meminta sebarang perkara yang penting, Bapaku yang di syurga akan mengabulkan permintaan mereka. 20  Apabila dua atau tiga orang berkumpul atas namaku, aku akan ada bersama-sama mereka.” 21  Kemudian Petrus datang lalu bertanya kepada Yesus, “Tuan, jika saudaraku berdosa terhadapku, berapa kalikah aku harus mengampuninya? Sehingga tujuh kalikah?” 22  Yesus berkata kepadanya, “Aku memberitahumu, bukan 7 kali tetapi sehingga 77 kali. 23  “Itulah sebabnya Kerajaan di syurga bagaikan seorang raja yang ingin memungut hutang daripada hamba-hambanya. 24  Apabila dia mula berbuat demikian, seorang hamba yang berhutang 10,000 talenta* dibawa masuk. 25  Dia tidak mampu melangsaikan hutangnya. Maka, raja itu memerintahkan agar dia bersama anak isterinya, serta segala yang dimilikinya dijual untuk membayar hutang. 26  Hamba itu segera bersujud kepada raja itu dan merayu, ‘Bersabarlah terhadap hamba. Hamba akan membayar balik semua hutang itu.’ 27  Raja itu berasa kasihan terhadapnya lalu membatalkan hutangnya dan membebaskannya. 28  Tetapi apabila hamba itu keluar, dia berjumpa dengan seorang hamba lain yang meminjam 100 denari* daripadanya. Dia menangkap rakannya dan mula mencekiknya sambil berkata, ‘Bayarlah semua hutang kamu.’ 29  Rakannya bersujud sambil merayu, ‘Bersabarlah terhadapku. Aku akan membayar hutangku.’ 30  Tetapi hamba itu enggan mendengarkannya. Dia beredar dan mengarahkan supaya rakannya dipenjarakan sehingga hutangnya dilangsaikan. 31  Semasa hamba-hamba lain nampak apa yang terjadi, mereka sangat susah hati dan melaporkan kepada raja segala perkara yang berlaku. 32  Kemudian raja memanggil hamba itu lalu berkata, ‘Hai hamba yang jahat! Beta membatalkan semua hutangmu semasa kamu merayu kepada beta. 33  Tidakkah kamu harus berbelas kasihan terhadap rakanmu sebagaimana beta berbelas kasihan terhadapmu?’ 34  Raja itu marah dan menyuruh pengawal memenjarakannya sehingga dia membayar semua hutangnya. 35  Demikianlah Bapaku yang di syurga akan memperlakukan kamu jika kamu masing-masing tidak mengampuni saudaramu dengan ikhlas.”

Nota Kaki

Lihat Daftar Kata.
Ayat ini tidak terdapat dalam beberapa naskhah kuno dan nampaknya bukan sebahagian daripada Ayat-Ayat Suci yang diilhami.
Atau mungkin, “Bapa kamu.”
Harfiah, “tegurnya.”
Nilainya sama dengan 60,000,000 denari.
Duit perak Roma.