Matius 14:1-36

  • Yohanes Pembaptis dipancung (1-12)

  • 5,000 lelaki diberi makanan (13-21)

  • Yesus berjalan atas air (22-33)

  • Menyembuhkan orang di Genesaret (34-36)

14  Pada masa itu, Herodes,* pemerintah daerah itu, mendengar laporan tentang Yesus.  Maka Herodes berkata kepada hamba-hambanya, “Dia ialah Yohanes Pembaptis yang telah dibangkitkan daripada kematian. Itulah sebabnya dia mempunyai kuasa untuk melakukan mukjizat.”  Herodes telah menangkap dan merantai Yohanes lalu memenjarakannya. Herodes berbuat demikian untuk menyenangkan hati Herodias, iaitu isteri kepada abangnya, Filipus.  Yohanes sentiasa berkata kepada Herodes, “Tuan bersalah kerana berkahwin dengan Herodias!”  Herodes mahu membunuh Yohanes, tetapi dia takut kepada orang ramai kerana mereka menganggap Yohanes sebagai seorang nabi.  Namun demikian, semasa majlis hari jadi Herodes, anak perempuan Herodias mempersembahkan tarian yang membuat Herodes berasa sangat gembira.  Maka dia bersumpah untuk memberi gadis itu apa sahaja yang dimintanya.  Gadis itu menurut arahan ibunya dan berkata, “Berilah anakanda kepala Yohanes Pembaptis di atas dulang ini.”  Permintaan itu membuat raja berasa sedih. Tetapi memandangkan dia telah bersumpah di depan semua tetamunya, dia mengeluarkan perintah agar kepala Yohanes diberikan kepada gadis itu. 10  Dia mengutus orang ke penjara untuk memancung kepala Yohanes. 11  Maka kepala Yohanes diberikan kepada gadis itu di atas sebuah dulang, dan gadis itu menyerahkannya kepada ibunya. 12  Selepas itu, murid-murid Yohanes datang untuk mengambil mayatnya dan mengebumikannya. Kemudian mereka memberitahu Yesus apa yang telah berlaku. 13  Apabila Yesus mendengar hal itu, dia beredar dari sana. Dia menaiki sebuah perahu, lalu pergi ke suatu tempat yang terpencil supaya dia dapat bersendirian. Tetapi orang ramai mendapat tahu hal itu lalu meninggalkan kota masing-masing dan mengikut Yesus melalui jalan darat. 14  Semasa Yesus keluar dari perahu, dia melihat banyak orang di situ. Dia berasa kasihan terhadap mereka lalu menyembuhkan semua orang yang sakit. 15  Apabila hari mula senja, murid-muridnya datang dan berkata kepadanya, “Masa sudah lewat dan tempat ini terpencil. Suruhlah orang ramai pergi agar mereka dapat membeli makanan di pekan yang berhampiran.” 16  Tetapi Yesus berkata, “Mereka tidak perlu pergi. Kamu berilah mereka makanan.” 17  Mereka berkata kepadanya, “Kami hanya mempunyai lima ketul roti dan dua ekor ikan.” 18  Dia berkata, “Bawalah makanan itu kepadaku.” 19  Kemudian, dia menyuruh orang ramai duduk di atas rumput. Dia mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu lalu menengadah ke langit dan mengucapkan syukur.* Selepas itu, dia membahagikan roti itu dan memberikannya kepada murid-muridnya untuk diedarkan kepada orang ramai. 20  Semua orang makan sampai kenyang dan baki roti yang dikumpulkan oleh mereka telah mengisi 12 buah bakul. 21  Mereka yang makan berjumlah kira-kira 5,000 orang lelaki, tidak termasuk wanita dan kanak-kanak. 22  Kemudian tanpa berlengah-lengah, dia menyuruh murid-muridnya menaiki perahu ke seberang tasik terlebih dahulu. Sementara itu, dia menyuruh orang ramai pulang. 23  Setelah dia menyuruh orang ramai pulang, Yesus naik ke atas gunung seorang diri untuk berdoa. Ketika hari sudah malam, Yesus berada di situ seorang diri. 24  Pada masa itu, perahu murid-muridnya sudah beratus-ratus meter* jauhnya dari darat, dan diumbang-ambingkan ombak kerana angin bertiup dari arah yang bertentangan. 25  Tetapi sebelum fajar menyingsing,* Yesus berjalan di atas air dan menghampiri mereka. 26  Apabila murid-muridnya nampak bayang-bayang seorang lelaki berjalan di atas air, mereka berasa takut lalu menjerit. 27  Dengan segera, Yesus berkata, “Ini aku. Janganlah takut!” 28  Petrus berkata kepadanya, “Jika kamu benar-benar Tuan, suruhlah aku berjalan di atas air kepada Tuan.” 29  “Marilah,” jawab Yesus. Petrus keluar dari perahu dan mula berjalan di atas air menuju ke arah Yesus. 30  Tetapi apabila Petrus melihat ke arah ribut, dia berasa takut. Semasa dia mula tenggelam, dia berseru, “Tuan, selamatkanlah aku!” 31  Yesus segera menghulurkan tangannya lalu memegangnya dan berkata, “Alangkah kecilnya imanmu! Mengapa kamu ragu-ragu?” 32  Selepas mereka berdua naik ke dalam perahu, ribut pun reda. 33  Murid-murid Yesus di dalam perahu sujud kepadanya sambil berkata, “Sememangnya Guru ialah Anak Tuhan.” 34  Mereka pun menyeberangi tasik lalu tiba di Genesaret. 35  Sebaik sahaja orang di situ sedar bahawa dia ialah Yesus, mereka memberitahu semua orang di sekitar kawasan itu bahawa Yesus sudah datang. Maka mereka membawa semua orang yang sakit kepadanya. 36  Mereka merayu kepadanya supaya sekurang-kurangnya diizinkan untuk menyentuh hujung jubah luarnya. Semua orang sakit yang menyentuh hujung jubahnya sembuh sama sekali.

Nota Kaki

Iaitu, Herodes Antipas. Lihat Daftar Kata.
Harfiah, “memberkati.”
Harfiah, “banyak stadium.” Satu stadium panjangnya 185 m.
Iaitu, kira-kira pukul tiga pagi sehingga matahari terbit kira-kira pada pukul enam pagi.