Markus 8:1-38

  • 4,000 lelaki diberi makanan (1-9)

  • Tanda diminta (10-13)

  • Ragi orang Farisi dan Herodes (14-21)

  • Lelaki buta disembuhkan di Betsaida (22-26)

  • “Guru ialah Kristus” (27-30)

  • Kematian Yesus dinubuatkan (31-33)

  • Murid Yesus yang sejati (34-38)

8  Pada masa itu, ramai orang berkumpul sekali lagi, dan mereka telah kehabisan makanan. Oleh itu Yesus memanggil murid-muridnya lalu berkata,  “Aku berasa kasihan terhadap orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersamaku dan sekarang mereka telah kehabisan makanan.  Jika aku menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, mereka mungkin akan pengsan di tengah jalan. Lagipun ada antara mereka yang datang dari jauh.”  Tetapi murid-muridnya menjawab, “Di tempat terpencil ini, di manakah orang dapat mencari roti yang cukup supaya semua orang ini dapat makan sehingga kenyang?”  Maka dia bertanya kepada mereka, “Berapa banyak roti yang ada pada kamu?” Mereka menjawab, “Tujuh ketul.”  Jadi dia menyuruh orang ramai duduk di atas tanah. Kemudian dia mengambil tujuh ketul roti itu lalu mengucapkan syukur. Seterusnya dia membahagikan roti itu lalu memberikannya kepada murid-muridnya untuk diedarkan kepada orang ramai.  Mereka juga mempunyai beberapa ekor ikan kecil. Yesus mengucapkan syukur lalu menyuruh murid-muridnya untuk mengedarkan ikan tersebut juga.  Maka mereka makan sehingga kenyang dan baki roti yang dikumpulkan oleh mereka telah mengisi tujuh buah bakul yang besar.  Terdapat kira-kira 4,000 orang lelaki di situ. Kemudian, dia menyuruh orang ramai pulang. 10  Sejurus selepas itu, dia menaiki perahu bersama murid-muridnya dan tiba di kawasan Dalmanuta. 11  Di sana orang Farisi datang kepada Yesus untuk berdebat dengannya. Mereka mengujinya dengan memintanya untuk menunjukkan tanda dari langit. 12  Yesus berasa sangat sedih lalu berkata, “Mengapakah generasi ini meminta tanda? Sesungguhnya aku berkata: Tiada tanda yang akan diberikan kepada generasi ini.” 13  Selepas itu dia meninggalkan mereka. Sekali lagi dia menaiki perahu dan pergi ke seberang tasik. 14  Tetapi murid-muridnya lupa membawa roti dan hanya ada seketul roti dalam perahu. 15  Ketika itu, Yesus memberikan amaran kepada mereka, “Berwaspadalah dan berjaga-jagalah terhadap ragi orang Farisi dan ragi Herodes.” 16  Maka mereka mula bertengkar sesama sendiri kerana tidak membawa roti. 17  Yesus mengetahui apa yang terjadi lalu berkata, “Mengapakah kamu bertengkar tentang roti yang kamu lupa bawa? Adakah kamu masih belum mengerti dan faham? Adakah hati kamu masih tidak mengerti? 18  ‘Kamu mempunyai mata, tetapi mengapa kamu tidak dapat melihat? Kamu mempunyai telinga, tetapi mengapa kamu tidak dapat mendengar?’ Tidakkah kamu ingat: 19  Semasa aku membahagi-bahagikan lima ketul roti untuk 5,000 orang lelaki, baki roti yang kamu kumpulkan telah mengisi berapa buah bakul?” Mereka berkata, “Dua belas.” 20  “Semasa aku membahagi-bahagikan tujuh ketul roti untuk 4,000 orang lelaki, baki roti yang kamu kumpulkan telah mengisi berapa buah bakul besar?” Mereka berkata, “Tujuh.” 21  Maka dia berkata kepada mereka, “Adakah kamu masih belum faham?” 22  Kemudian mereka tiba di Betsaida. Di situ orang ramai membawa seorang lelaki yang buta kepada Yesus dan merayunya untuk menyentuh lelaki tersebut. 23  Dia memegang tangan lelaki yang buta itu lalu membawanya ke luar pekan. Selepas meludah di atas matanya, Yesus meletakkan tangannya pada lelaki itu dan bertanya, “Apakah yang dapat kamu lihat?” 24  Lelaki itu memandang ke hadapan dan berkata, “Aku rasa apa yang aku nampak itu ialah manusia, tetapi mereka kelihatan seperti pokok yang berjalan ke sana sini.” 25  Sekali lagi Yesus meletakkan tangannya pada mata lelaki itu, lalu penglihatannya pulih dan dia dapat melihat segala-galanya dengan jelas. 26  Semasa menyuruhnya pulang, Yesus berkata, “Jangan masuk ke dalam pekan.” 27  Selepas itu, Yesus dan murid-muridnya pergi ke pekan-pekan di Kaisarea Filipi. Dalam perjalanan, dia bertanya kepada murid-muridnya, “Menurut orang, siapakah aku?” 28  Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis, yang lain berkata Elia, dan ada juga yang berkata Guru ialah salah seorang nabi.” 29  Dia bertanya lagi kepada mereka, “Bagaimana pula dengan kamu? Menurut kamu, siapakah aku?” Petrus menjawab, “Guru ialah Kristus.” 30  Kemudian dia melarang mereka memberitahu sesiapa pun tentangnya. 31  Dia juga mula mengajar mereka bahawa Anak manusia mesti dianiaya dengan teruk. Para pemimpin orang Yahudi, ketua imam, dan jurutulis hukum tidak akan menerimanya. Dia akan dibunuh, tetapi tiga hari kemudian, dia akan dibangkitkan. 32  Yesus mengatakan hal-hal ini dengan terus terang. Tetapi Petrus membawanya ke tepi dan mula menegurnya. 33  Yesus berpaling, melihat murid-muridnya, dan menegur Petrus dengan berkata, “Jauhkanlah dirimu daripadaku, Syaitan! Fikiranmu ialah fikiran manusia, bukan fikiran Tuhan.” 34  Yesus memanggil orang ramai dan murid-muridnya lalu berkata, “Jika sesiapa ingin mengikutku, hendaklah dia menolak kepentingan sendiri, memikul tiang seksaannya,* dan terus mengikut aku. 35  Sesiapa yang ingin menyelamatkan nyawanya akan kehilangan nyawanya, tetapi sesiapa yang kehilangan nyawanya demi aku dan demi berita baik akan menyelamatkan nyawanya. 36  Sesungguhnya, apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia tetapi kehilangan nyawanya? 37  Biarpun seseorang menggadaikan segala yang dimilikinya, dapatkah dia menyelamatkan nyawa sendiri? 38  Generasi ini berdosa dan tidak setia kepada Tuhan.* Dalam generasi ini, sesiapa yang berasa malu untuk menjadi muridku dan mempercayai kata-kataku, Anak manusia juga akan berasa malu untuk menerimanya semasa dia datang dengan kemuliaan yang dikurniakan oleh Bapanya bersama para malaikat yang suci.”

Nota Kaki

Lihat Daftar Kata.
Harfiah, “dan berzina.”