Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Markus 7:1-37

RANGKA KANDUNGAN

  • Adat istiadat dikutuk (1-13)

  • Kenajisan berasal dari hati (14-23)

  • Iman wanita Fenisia (24-30)

  • Lelaki pekak disembuhkan (31-37)

7  Orang Farisi dan sebilangan jurutulis hukum yang datang dari Yerusalem berkumpul di sekeliling Yesus.  Mereka nampak beberapa orang muridnya makan dengan tangan yang kotor, iaitu dengan tangan yang tidak dibasuh.*  (Sebenarnya semua orang Yahudi, termasuk orang Farisi, berpegang erat pada adat istiadat nenek moyang mereka. Oleh itu, mereka tidak akan makan selagi tidak membasuh tangan sampai ke siku.  Apabila mereka pulang dari tempat awam,* mereka tidak akan makan selagi tidak membersihkan diri. Mereka juga berpegang erat pada banyak adat turun-temurun yang lain, contohnya merendamkan cawan, kendi, dan bejana tembaga di dalam air.)  Jadi orang Farisi dan jurutulis hukum di situ bertanya kepada Yesus, “Mengapakah murid-muridmu melanggar adat istiadat nenek moyang kita dan makan dengan tangan yang kotor?”  Dia berkata kepada mereka, “Hai orang yang bermuka dua! Betapa tepatnya nubuat Yesaya tentang kamu semasa dia menulis, ‘Umat ini menghormati Aku dengan bibir mereka, tetapi hati mereka jauh daripada-Ku.  Sia-sia sahaja mereka terus menyembah Aku, kerana mereka mengajarkan perintah manusia seolah-olah perintah itu firman-Ku.’  Kamu mengabaikan hukum Tuhan tetapi berpegang erat pada adat istiadat manusia.”  Seterusnya dia berkata kepada mereka, “Kamu pandai mencari jalan untuk menolak hukum Tuhan supaya dapat berpegang pada adat istiadat sendiri. 10  Misalnya, Musa berkata, ‘Hormatilah ibu bapa kamu,’ dan, ‘Orang yang mencaci ibu bapa harus dihukum mati.’ 11  Tetapi kamu pula berkata, ‘Tidaklah salah bagi seseorang untuk berkata kepada ibu bapanya, “Apa pun yang dapat saya gunakan untuk membantu ayah dan emak sudah saya jadikan korban (iaitu persembahan yang dikhaskan untuk Tuhan).”’ 12  Dengan cara itu, kamu tidak lagi mengizinkan orang itu melakukan apa-apa untuk ibu bapanya. 13  Dengan ini kamu telah menjadikan firman Tuhan tidak bernilai kerana adat turun-temurun kamu. Ada banyak lagi perkara sebegini yang kamu lakukan.” 14  Sekali lagi Yesus memanggil orang ramai dan berkata kepada mereka, “Hendaklah kamu semua mendengar dan memahami maknanya. 15  Tiada apa-apa yang masuk ke dalam mulut seseorang dapat menajiskannya, tetapi apa yang keluar daripada seseorang itu dapat menajiskannya.” 16 * —— 17  Apabila Yesus meninggalkan orang ramai lalu masuk ke dalam sebuah rumah, murid-muridnya mula bertanya kepadanya tentang perumpamaan itu. 18  Jadi dia berkata kepada mereka, “Adakah kamu semua juga tidak faham seperti mereka? Tidakkah kamu sedar bahawa tiada apa-apa yang masuk ke dalam mulut seseorang dapat menajiskannya? 19  Hal ini demikian kerana apa yang masuk itu tidak masuk ke dalam hati tetapi masuk ke dalam perut lalu keluar dari tubuh.” Dengan demikian, dia menyatakan bahawa semua makanan tidak najis. 20  Dia menyambung, “Apa yang keluar daripada seseorang dapat menajiskannya, 21  kerana dari dalam, iaitu dari hati, timbul fikiran-fikiran jahat yang menyebabkan seseorang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral,* mencuri, membunuh, 22  berzina, bersikap tamak, berbuat jahat, memperdaya, berkelakuan buruk tanpa rasa malu,* iri hati,* mengucapkan kata-kata hinaan, bersikap sombong, dan tidak munasabah. 23  Semua perkara jahat ini timbul dari dalam dan itulah yang menajiskan seseorang.” 24  Kemudian Yesus bertolak dari situ lalu pergi ke kawasan sekitar Tirus dan Sidon. Dia memasuki sebuah rumah di situ. Dia tidak mahu sesiapa pun mengetahui bahawa dia sudah tiba, tetapi orang ramai masih mengetahuinya. 25  Seorang wanita yang anak perempuannya dirasuk roh jahat mendengar tentang Yesus. Maka dia segera datang dan bersujud di depan kakinya. 26  Wanita itu berbangsa Yunani dan datang dari Fenisia di Siria. Dia berkali-kali meminta Yesus untuk mengusir roh jahat itu daripada anak perempuannya. 27  Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Biarlah anak-anak makan sampai kenyang terlebih dahulu, kerana adalah tidak wajar untuk mengambil makanan anak-anak lalu melemparkannya kepada anak-anak anjing.” 28  Wanita itu menjawab, “Betul Tuan, tetapi anak-anak anjing di bawah meja pun makan sisa makanan anak-anak.” 29  Yesus pun berkata kepadanya, “Pulanglah. Oleh sebab kamu berkata demikian, roh jahat itu sudah keluar daripada anak perempuanmu.” 30  Maka wanita itu pun pulang ke rumahnya. Dia mendapati anak kecilnya berbaring di atas katil dan roh jahat itu sudah keluar daripadanya. 31  Yesus keluar dari kawasan Tirus dan pergi ke Tasik Galilea melalui Sidon. Semasa dia melalui kawasan Dekapolis,* 32  orang di situ membawa seorang lelaki yang pekak dan mempunyai masalah pertuturan kepadanya. Mereka merayu agar dia meletakkan tangannya atas lelaki tersebut. 33  Yesus membawa lelaki itu jauh daripada orang ramai. Apabila tiada orang lain di situ, Yesus meletakkan jarinya ke dalam telinga lelaki itu. Selepas itu dia meludah dan menyentuh lidah lelaki tersebut. 34  Kemudian Yesus menengadah ke langit dan menarik nafas panjang lalu berkata kepadanya, “Effata,” yang bererti, “Terbukalah.” 35  Pada masa itu juga, daya pendengaran lelaki itu dipulihkan dan masalah pertuturannya pun tiada lagi. Dia dapat bercakap seperti biasa. 36  Yesus melarang mereka memberitahu sesiapa pun tentang hal itu. Tetapi semakin dia melarang, semakin mereka menyebarkannya. 37  Mereka semua sangat terpesona lalu berkata, “Alangkah hebatnya segala perbuatannya! Dia bahkan membuat orang pekak mendengar dan orang bisu bercakap.”

Nota Kaki

Iaitu, membasuh mengikut upacara agama.
Atau “pasar.”
Ayat ini tidak terdapat dalam beberapa naskhah kuno dan nampaknya bukan sebahagian daripada Ayat-Ayat Suci yang diilhami.
Bentuk jamak bagi perkataan Yunani por·neiʹa. Lihat Daftar Kata.
Yunani, a·selʹgei·a. Lihat Daftar Kata.
Harfiah, “mata yang iri hati.”
Atau “Wilayah Sepuluh Kota.”