Markus 5:1-43

  • Roh jahat diusir ke dalam babi (1-20)

  • Anak Yairus; wanita yang menyentuh jubah Yesus (21-43)

5  Kemudian mereka tiba di seberang tasik di kawasan Gerasa.  Sebaik sahaja Yesus keluar dari perahu, seorang lelaki yang dirasuk roh jahat datang dari kuburan dan berjalan ke arahnya.  Dia tinggal di kawasan kubur, dan sehingga masa itu tiada orang yang berjaya membelenggunya walaupun dengan rantai.  Sudah banyak kali orang merantai tangannya dan membelenggu kakinya, tetapi dia memutuskan rantai dan meremukkan belenggu itu. Tiada orang yang cukup kuat untuk menahannya.  Siang malam dia menjerit-jerit di kuburan dan di pergunungan, dan melukai dirinya dengan batu.  Apabila dia nampak Yesus dari jauh, dia berlari dan bersujud di hadapannya.  Kemudian dia menjerit dengan suara yang lantang, “Hai Yesus, Anak Tuhan Yang Maha Tinggi! Apa kena-mengena aku dengan kamu? Bersumpahlah demi Tuhan bahawa kamu tidak akan menyeksa aku.”  Hal itu demikian kerana Yesus telah menyuruhnya, “Roh jahat, keluarlah daripada lelaki ini!”  Yesus bertanya kepadanya, “Siapakah nama kamu?” Lalu roh jahat itu menjawab, “Nama aku Legiun* kerana bilangan kami banyak sekali.” 10  Roh-roh itu memohon berkali-kali agar Yesus tidak menghalau mereka keluar dari kawasan itu. 11  Ketika itu ada banyak babi yang sedang makan di gunung. 12  Jadi roh-roh jahat itu merayu kepadanya, “Izinkanlah kami masuk ke dalam babi-babi itu.” 13  Yesus pun mengizinkan mereka berbuat demikian. Jadi mereka keluar daripada lelaki tersebut dan masuk ke dalam babi-babi itu yang jumlahnya kira-kira 2,000 ekor. Kemudian, semua babi itu meluru ke arah tebing curam dan terjun lalu mati lemas di dalam tasik. 14  Orang yang menjaga kawanan babi itu melarikan diri dan melaporkan hal itu di kota dan di desa. Maka orang ramai pun datang untuk melihat apa yang terjadi. 15  Mereka datang kepada Yesus dan nampak lelaki yang sebelumnya dirasuk Legiun. Mereka semua menjadi takut semasa melihatnya sedang duduk dan sudah berpakaian serta berfikiran waras. 16  Tambahan lagi, orang yang telah menyaksikan kejadian itu memberitahu mereka apa yang berlaku kepada lelaki yang dirasuk roh-roh jahat itu dan apa yang berlaku kepada kawanan babi itu. 17  Jadi mereka merayu kepada Yesus supaya meninggalkan kawasan mereka. 18  Semasa Yesus menaiki perahu, lelaki yang sebelumnya dirasuk roh jahat itu merayu supaya dia dibenarkan mengikut Yesus. 19  Tetapi Yesus tidak membenarkannya berbuat demikian. Dia berkata kepada lelaki itu, “Pulanglah kepada sanak saudaramu. Beritahulah mereka semua yang telah dilakukan oleh Yehuwa untukmu dan bagaimana Dia menunjukkan belas kasihan terhadapmu.” 20  Lelaki itu pun pergi dan memberitahu penduduk Dekapolis* segala-gala yang dilakukan oleh Yesus untuknya, dan semua orang di situ berasa kagum. 21  Yesus menaiki perahu lalu kembali ke seberang tasik. Semasa dia berada di tepi tasik, ramai orang datang kepadanya. 22  Salah seorang ketua rumah ibadat yang bernama Yairus datang kepadanya. Apabila dia nampak Yesus, dia bersujud di depan kakinya 23  dan terus-menerus merayu, “Anak perempuanku yang masih kecil sakit tenat.* Tolonglah datang dan letakkanlah tangan Guru atasnya supaya dia sembuh dan tidak mati.” 24  Semasa Yesus pergi bersamanya, dia dihimpit oleh ramai orang yang berasak-asak mengikutnya.   25  Di situ ada seorang wanita yang menderita masalah pendarahan selama 12 tahun. 26  Dia sudah banyak menderita semasa dirawat oleh banyak doktor dan telah menghabiskan semua wangnya. Namun begitu dia tidak sembuh, malah keadaannya bertambah parah. 27  Semasa wanita itu mendengar apa yang dikatakan orang tentang Yesus, dia berjalan di antara orang ramai dan menghampiri Yesus dari belakang lalu menyentuh jubah luarnya. 28  Wanita itu asyik berkata, “Jika aku menyentuh jubah luarnya, aku pasti sembuh.” 29  Dengan serta-merta, pendarahannya berhenti, dan wanita itu mendapati bahawa tubuhnya sudah sembuh daripada penyakit yang teruk itu. 30  Pada saat itu juga, Yesus sedar bahawa ada kuasa yang keluar daripadanya, lalu dia berpaling kepada orang ramai dan bertanya, “Siapakah yang menyentuh jubah luarku?” 31  Tetapi murid-muridnya berkata, “Orang ramai sedang menghimpit Guru. Jadi mengapa Guru bertanya, ‘Siapakah yang menyentuh aku?’” 32  Yesus memandang di sekelilingnya untuk melihat siapa yang menyentuhnya. 33  Wanita itu tahu apa yang telah berlaku kepada dirinya, jadi dia berasa takut dan gementar. Dia bersujud di depan Yesus dan memberitahunya segala-gala yang berlaku. 34  Yesus berkata kepada wanita itu, “Hai anakku! Kamu sembuh kerana kamu beriman. Pergilah dengan damai dan sembuhlah daripada penyakitmu yang teruk itu.” 35  Semasa Yesus sedang bercakap, beberapa orang dari rumah Yairus datang dan berkata, “Anak perempuan tuan sudah mati! Usahlah menyusahkan Guru lagi.” 36  Yesus terdengar kata-kata mereka dan berkata kepada Yairus, “Janganlah bimbang. Berimanlah.” 37  Selepas itu, Yesus tidak mengizinkan sesiapa pun untuk mengikutnya kecuali Petrus, Yakobus, dan Yohanes, iaitu saudara kandung Yakobus. 38  Semasa mereka tiba di rumah Yairus, Yesus mendapati suasana di situ kecoh. Ada orang yang meratap dan menangis dengan kuat. 39  Selepas dia masuk, dia berkata, “Mengapakah suasana di sini kecoh dan mengapakah kamu semua menangis? Gadis ini tidak mati, dia hanya tidur.” 40  Orang di situ pun mentertawakannya. Setelah Yesus menyuruh mereka semua keluar, dia membawa ibu bapa anak itu serta murid-muridnya ke tempat anak itu berbaring. 41  Dia memegang tangan gadis itu dan berkata kepadanya, “Talita kumi,” yang bererti “Gadis kecil, aku berkata kepada kamu, ‘Bangunlah!’” 42  Anak perempuan itu segera bangun dan mula berjalan. (Umurnya 12 tahun.) Pada saat itu, ibu bapanya tidak dapat mengawal perasaan kerana mereka terlalu gembira. 43  Tetapi Yesus berulang kali* melarang mereka memberitahu orang lain tentang hal itu. Kemudian dia menyuruh mereka untuk memberi gadis itu makanan.

Nota Kaki

“Legiun” ialah unit bagi pasukan tentera Roma kuno. Di sini perkataan “legiun” merujuk kepada angka yang besar.
Atau “Wilayah Sepuluh Kota.”
Atau “sudah hampir mati.”
Atau “dengan tegas.”